Mengetuk Pintu Ramadhan

KESYUKURAN di panjangkan ke hadrat Ilahi atas kesempatan bertemu Ramadan tahun 1437H. Semoga ianya menjadi pembebas kepada api neraka buat semua yang dapat mengecapinya. Saat melangkahkan kaki di bulan mulia ini, Adakah ada rasa getar di hati sepertimana sahabat baginda SAW; Saidina Umar yang menyeru-nyeru Ramadan umpama kekasih yang mabuk kerinduan? Mengapa kelazatan Ramadan itu tidak mampu dicicip oleh umat hari ini? Sedang Ramadan pada zaman para sahabat dengan Ramadan era ini adalah Ramadan yang sama. Apa yang mebezakannya serta bagaimana Ramadan yang bertandang disambut dengan rasa penuh istimewa?

Persoalan-persoalan itu mendorong naqib; Ustaz Zul Ramli M. Razali membawa seluruh keluarga besar Usrah Nurani untuk sama-sama muhasabah diri bersempena memasuki Ramadan yang penuh keberkatan ini. Berkongsi konti bersama Saudara Farihin Fattah dan PU Taha, usrah yang bersiaran pada pukul 5.15 petang itu menjadi benar-benar pembangkit semangat untuk mengimarahkan Ramadan kali ini menjadikannya lebih baik daripada tahun-tahun sebelum.

Ramadan umpama air, air yang sangat bening, manis dan lazat. Bayangkan jika ia di minum, pasti terasa kelazatannya dan dinikmati dengan penuh rakus untuk peroleh kepuasan maksimum selagi air itu masih berbaki untuk di hirup. Itu yang terjadi pada para sahabat yang mendapat didikan terus daripada Rasulullah SAW tatkala memperoleh air yang penuh nikmat dan lazat itu. Tetapi umat hari ini, masih memperoleh air yang memiliki kualiti, rasa dan nikmat yang sama, tetapi menikmatinya dalam keadaan yang tidak serupa. Serasa air itu kelat, pahit dan memualkan sehingga tidak sabar untuk diluah semula.

Sebagai analogi, rasa air dibezakan pada cawan yang diguna bukan air yang tersedia. Air tetap sama tetapi menggunakan cawan yang berbeza. Cawan para sahabat adalah cawan yang bersih. Pada cawan yang bersih itu dituangkan air jernih yang lazat penuh nikmat tersebut, maka terteguklah air yang sangat memberi kepuasan dari sudut rasa dan kualitinya. Namun malang sekali, cawan umat nabi hari ini berada nun jauh di dasar longkang yang kotor dan menjijikkan. Dengan selaput lumpur itu, air di tuangkan ke dalamnya. Berbaur air hebat dengan kekotoran yang mengeruhkan warna dan menjengkelkan rasa. Maka, ketidak seronokan terasa sepanjang meneguk air tersebut. Akhirnya, terbit keluh kesah dan kegelisahan sementara menantikan kesudahan air yang bersisa.

Ibn Abbas menyatakan bahawa setiap orang beriman akan memanggung kepala merasa dirinya terpanggil saat Allah SWT menyeru menerusi firmanNya yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 183). Berbanding golongan munafik mereka tidak merasa terpanggil waktu ayat tersebut di bacakan.

Justeru, sebaik-baiknya menyediakan cawan yang cantik dan bersih sebelum tibanya Ramadan agar air lazat yang bakal di tuang nanti bukan sekadar menzahirkan rupa yang sedap di pandang malah enah di teguk menghilang haus yang berpanjangan. Maka, solusi untuk mendapatkan cawan yang bersih dan ibadah puasa yang penuh kenikmatan adalah dengan bertaubat kepadaNya.

Sesungguhnya tertib dalam beribadah adalah dimulakan dengan bertaubat sepertimana firman Allah SWT mafhumnya : “(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).” (Surah At-Taubah, ayat 112).

Selain taubat, Ramadan ini perlu di mantapkan dengan syukur yang bersungguh sebagaimana teladan yang di tunjukkan sendiri oleh baginda nabi SAW sebagaimana yang di riwayatkan oleh Saidatina Aishah: “Bahawa Rasulullah SAW bangun sebahagian daripada malam bersolat hingga bengkak kedua-dua kakinya, maka aku (Aishah) berkata kepada Baginda: Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang. Baginda bersabda: Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?”. (Riwayat Imam al-Bukhari).

Oleh itu, kehadiran Ramadan kali ini lakukanlah dengan betul dari awal. Sediakan cawan seeloknya, bersihkan hati dengan taubat kepada Ilahi serta pohon keampunan sesama manusia terutama ibubapa dan pasangan. Imarahkan setiap hari dan malamnya dengan ibadah tanda syukur di kurnia sekali lagi Ramadan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 10 Jun 2016
\"2016-06-10-a\"
Scroll to Top