Kepercayaan Adalah Satu Rezeki

DALAM rancangan Pesona D’Zahra  yang bersiaran hari Isnin minggu lalu di radio IKIMfm jam 10.15 pagi, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin  berpendapat bahawa seseorang individu  yang disifatkan  sebagai pandai atau bijak bukanlah terletak kepada kejayaannya  menguasai   sesuatu bidang tetapi bersandarkan kepada kejayaannya membina kepercayaan  yang telah  diberikan. Kepercayaan adalah faktor paling utama yang menentukan kejayaan dalam satu-satu perhubungan, sama ada yang berbentuk peribadi  mahupun profesional. Bila adanya  kepercayaan, prasangka, cemburu, marah, hasad dengki dan lain-lain sifat mazmumah yang boleh menggugat perhubungan akan dapat diatasi. Sesungguhnya, kepimpinan adalah pengaruh. Inilah rahsia kejayaan kepimpinan Rasulullah SAW . Keunggulan kepimpinan Baginda  diawali oleh kepercayaan masyarakatnya sehingga Baginda  digelar sebagai  Al-Amin sebelum kerasulannya dan diperkukuhkan lagi dengan sifat siddiq (benar) dan amanah selepas itu.

Suami umpama kepala gerabak kereta api, jika  sesat kepala kereta api itu sesatlah seluruh penumpangnya.  Allah SWT menegaskan akan kedudukan lelaki dalam masyarakat dengan firman-Nya yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. (Surah al-Nisa’,  ayat  34).

Dalam ayat yang lain Allah SWT juga   menegaskan bahawa suami berkewajipan menyelamatkan ahli keluarga daripada seksaan api neraka. Sebagaimana  firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala). (Surah al-Tahrim: ayat  6).

Berdasarkan ayat-ayat  tersebut  maka jelaslah bahawa isteri perlu meletakkan sepenuh kepercayaan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap  peranan yang perlu dipikul oleh  suami. Pertamanya, memupuk dan membajai rasa  kasih sayang. Hakikatnya perkahwinan perlukan penyesuaian diri antara kedua-dua pasangan dan apabila sudah berkahwin, situasi tidak sama lagi ketika bercinta. Apabila pasangan meluahkan sesuatu perlulah menjadi pendengar yang baik dengan memberikan perhatian dan cuba memahami apa yang difikirkan serta rasakan. Cubalah letakkan diri sendiri dalam situasi yang dihadapi pasangan dan sedia berkongsi idea serta memberikan pendapat bagi membantu permasalahan dihadapinya.

Kedua, para isteri mestilah turut meletakkan harapan agar si  suami mampu menggalas  tugas sebagai  pemimpin rumahtangga dengan berkesan.  Kepimpinan ialah berbentuk keluarga dengan cara terbaik dan menurut landasan syarak. Begitu juga anak dan isteri hendaklah menghormati dan mengiktiraf kepimpinan suami itu sendiri, walaupun isteri berpangkat besar melebihi suaminya. Isteri mesti menghormati dan menerima hakikat hak kepimpinan tersebut . Namun begitu, kepimpinan dan perbezaan tanggungjawab tersebut itu adalah dari sudut untuk memenuhi tuntutan hidup di dunia dan kemasyarakatan sahaja. Berkaitan dengan ibadat dan ketakwaan, lelaki dan wanita mendapat taraf, tugas dan ganjaran yang sama menurut keadaan dan amalan serta kadar mereka. Sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah SWT: Sesungguhnya AKU tidak akan mensia-siakan amal orang-orang yang beramal dari antara kamu, sama ada lelaki atau perempuan”

(Surah Ali Imran,  ayat 195)

Suami yang serba boleh dengan erti kata mempunyai pengetahuan yang serba-serbi. Isteri amat berasa kagum apabila suaminya mempunyai pengetahuan dalam pelbagai bidang. Baik dari selok-belok rumah tangga, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya. Suami yang sebegini bukan sekadar disayangi  oleh isteri bahkan  disayangi mertua.

Misalnya,mampu  mengajarkan ilmu-ilmu agama. Ini adalah satu cabaran buat para suami. Ada di antara suami pada  hari ini mampu menyediakan peralatan hiburan di rumah tetapi tidak dapat menyediakan peralatan untuk mengajarkan ilmu-ilmu agama. Seandainya dia tidak berkesempatan untuk mengajar sendiri, dia wajib mencari guru yang dapat mengajar isteri dan anak-anaknya.

Anak adalah anugerah daripada Allah untuk pasangan yang bergelar suami isteri. Setiap mereka yang telah diijabkabulkan pastinya menginginkan agar bahtera yang mereka bina ini diserikan lagi dengan kehadiran cahaya mata di sisi .Oleh itu, menurut  Ustaz Muhammad lagi, tidak hairanlah, setiap isteri mendambakan kepercayaan daripada  suami   agar dapat  sama-sama  mengasuh dan mendidik anak  tersebut  menjadi insan yang Rabbani pada masa akan datang. Didiklah anak-anak sesuai dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Tunjukkan sikap dan kelakuan yang baik terhadap anak-anak  tersebut. Apakan daya, senario pada hari ini  memperlihatkan situasi di  mana  isteri ditatang bagai minyak yang penuh ketika sedang mengandung, tetapi setelah selamat bersalin suami hanya menyerahkan penjagaan anak kepada isteri sepenuhnya.

Seterusnya, suami  bukan sahaja  bertanggungjawab memberi makan, pakai dan rumah kediaman semata-mata kepada ahli keluarga malahan mereka  perlu  melindungi dan memelihara keimanan ahli keluarga supaya tidak hanyut dalam arus kehidupan bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.Dalam keluarga, ciri-ciri nilai pelindung perlu ada bagi suami. Peranan suami  bukan lagi sekadar menyara keluarga, lebih dari itu mereka  berperanan penting melindungi isteri, memberi kebahagiaan kepada keluarga dan kedamaian rumah tangga. Peranan sebegini  perlu diperkasakan untuk membebaskan masyarakat daripada gejala tidak sihat dan maksiat.  Apabila ditimpa musibah, suami  harus bijak menanganinya . Dalam usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi, pasangan sewajarnya fokus dan menangani masalah  itu serta bukannya saling tuduh menuduh atau mencari kesilapan pasangan. Kematangan dalam mengawal emosi (marah,takut dan sedih)  juga merupakan elemen  paling penting  dalam  mewujudkan  kepercayaan  isteri terhadap para suami . Ramai suami  kelihatan  matang sebelum mendirikan rumah tangga, tetapi hakikatnya tidak setelah mereka berkeluarga. Justeru, suami perlu matang dalam memberikan keputusan kerana isteri tetap akan meminta pandangan suami walaupun dia mungkin dapat membuat keputusan terhadap sesuatu perkara.

Kepercayaan adalah kunci dalam rumah tangga harmonis, dan kunci dari kepercayaan adalah kejujuran. Untuk itu, tanamkanlah kepercayaan kepada pasangan masing-masing.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 Februari 2016
Scroll to Top