Doa di Pintu Gerbang Syurga

PERNAHKAH kita bayangkan kisah perjalanan kehidupan kita di dunia. Pejamkan mata dan bayangkan kisah hidup di dunia. Pasti bayangan kita hanya sementara kerana memori kita terhad untuk merakam segala apa yang terjadi di dunia. Begitulah apabila manusia berada di zon masa ketika di Mahsyar, luar dan jauh daripada zon masa di dunia. Ketika di alam Mahsyar, barulah kita percaya dan merasakan hidup di dunia adalah singkat, sekalipun putaran siang dan malam telah lama kita lalui di dunia ini.

Allah SWT memperincikan kisah-kisah syurga agar kita sentiasa merasakan segala cubaan yang ada di dunia ini hanya sementara untuk kita meraih syurga yang kekal selamanya.

Menerusi siaran Ibrah pada minggu lalu yang bersiaran di IKIMfm setiap Selasa, 5.15 petang, Ustaz Muhammad Syaari Ab. Rahman berkongsi kisah perjalanan menuju ke syurga. Saat berada di pintu gerbang. Lalu apa ucapan ahli syurga yang dirakamkan oleh Allah SWT.

Sifat pintu syurga, ia telah sedia terbuka bagi menanti kehadiran ahli-ahli syurga berbanding pintu neraka yang tertutup rapat dan hanya terbuka sehingga saat pendosa datang menghampirinya dek kerana bahangnya yang terlalu dahsyat yang tidak tertanggung oleh manusia.

Sebaik sahaja orang-orang beriman berada pintu gerbang syurga, mereka telah melihat sesuatu yang sangat indah dan istimewa menanti mereka. Mereka terus berdoa kepada Allah SWT dengan lafaz doa yang pertama adalah bersyukur kepada Allah SWT.

Doa ini dikongsikan ustaz berpandukan sebahagian ayat al-Quran Surah al-A’raaf ayat 43 yang bermaksud : “…  \”Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran\”. Dan mereka diseru: \”Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan\”.

Tidak ada lafaz lain yang keluar daripada mulut penghuni syurga melainkan ucapan Alhamdulillah dan bersyukur kepada Allah SWT. Maka ketika di dunia, kita disarankan agar sering melafazkan kalimah Alhamdulillah sebagai tanda syukur kita kepada Allah SWT. Baik ketika diberi kesenangan mahupun ketika ujian datang bertandang. Supaya saat kita kembali bertemu Allah SWT nanti, Allah permudahkan urusan kita untuk masuk ke syurga.

Kemudian, Allah SWT memperincikan apa yang bakal dilakukan oleh penghuni-penghuni syurga saat berada di gerbang syurga yang sangat indah, menerusi surah al-Hijr, ayat 45 – 48 yang bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): \”Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman\”. Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing. Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam Syurga itu, dan mereka pula tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya.

Menurut ayat ini jelas gambaran bagaimana ahli-ahli syurga boleh duduk bersama dengan saling tidak mengenali antara satu dengan yang lainnya. Ini kerana Allah SWT telah cabut daripada hati-hati mereka sifat hasad dengki yang ketika di dunia menjadi punca sengketa dan perbalahan sesama mereka. Kemudian mereka menjadi seperti adik-beradik dan saudara-mara ketika di syurga. Ini antara perkara pertama yang dilakukan oleh Allah SWT saat penghuni syurga melangkah masuk ke syurga, Allah SWT bersihkan hati mereka.

Menurut sesetengah ulama’, kenapa Allah SWT sering menggambarkan sungai dan pancutan air yang mengindahkan taman-taman syurga? Kerana sungai-sungai inilah apabila diminum airnya oleh ahli syurga, akan membersihkan segala jenis penyakit fizikal termasuk juga penyakit-penyakit hati.

Pengajarannya, sekiranya sifat di dunia kita penuh dengan hasad dengki, maka menjadi petanda itu bukanlah sifat penghuni syurga dan tidak layak untuk kita mendapatkan syurga Allah dengan membawa watak hasad dengki sesama manusia. Pastikan lafaz Alhamdulillah sentiasa meniti di bibir kita sebagai tanda penghargaan kita atas apa jua kurniaan Allah SWT kepada saudara-sadara kita yang lain. Agar kita dapat jauhkan hati kita daripada sifat hasad dengki.

Ustaz turut berkongsi dalam satu hadith Baginda Nabi SAW menurut riwayat Bukhari dan Muslim, Baginda Nabi SAW memperincikan ada tujuh ciri-ciri ahli syurga antaranya: tidak kencing, tidak membuang air besar, tidak akan meludah, tidak akan ada hingus, sikatnya daripada emas dan peluhnya harum seperti kasturi serta mereka dijadikan seperti fizikal Nabi Adam AS.

Tujuan Allah SWT menceritakan segala nikmat yang ada di syurga, agar ia menjadi cita-cita setiap mukmin supaya syurga menjadi destinasi terakhir kita semua. Fitrah manusia menginginkan yang indah hadir dalam kehidupan mereka. Maka tidak hairanlah syurga juga dicipta indah untuk menjadi impian dan harapan kita untuk berada di dalamnya. Namun, untuk mendapatkan nikmat yang indah, pasti ada cabaran dan usaha yang bersungguh-sungguh di dunia. Pasti ada suruhan dan larangan Allah SWT yang wajib kita turuti bagi meraih syurga Allah SWT.

Di akhir pertemuan, Ustaz turut berkongsi satu hadith Baginda Nabi SAW tentang perihal syurga yang bermaksud: “Tidak pernah mata meihat, tidak pernah telinga mendengar bunyinya dan tidak pernah ada perasaan merasakannya” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Akhirnya, semoga kita sentiasa menjadikan dunia tempat menyemai benih-benih syurga.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 Februari 2016
Scroll to Top