Bagaimana Menjadi Baik

ORANG-ORANG Arab Badwi itu berkata: \”Kami telah beriman\”. Katakanlah (kepada mereka): \”Kamu belum beriman, tetapi katakanlah: \”Kami telah tunduk\”, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tiada akan mengurangi sedikit pun (pahala) amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang\” (Surah al-Hujurat, ayat 14)

Ilmu adalah jalan untuk manusia lebih dekat dengan Allah SWT. Ini kerana kefahaman ilmu terhadap agama akan menjadikan manusia itu lebih mengenal penciptanya dan akan mengenal siapa dirinya sendiri. Bahkan, dengan ilmu juga manusia akan lebih bertaqwa kepada Allah SWT.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran setiap hari Rabu, 10.15 pagi di radio IKIMfm, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi menjelaskan akan kepentingan ilmu agama kepada seseorang mukmin itu adalah asas penting untuk terus istiqamah dalam melakukan kebaikan kepada Allah SWT dan manusia.

Seseorang mukmin yang sentiasa berusaha untuk mendapat kebaikan hidup di dunia dan akhirat akan dikurniakan kefahaman ilmu oleh Allah SWT. Bahkan seseorang mukmin yang Allah mahukan kebaikan ke atasnya, Allah akan kurniakan ilmu agama serta dianugerahkan orang-orang yang baik di sekelilingnya.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Apabila Allah menginginkan kebaikan kepada seorang hamba, Allah akan jadikan ia beramal.” Dikatakan, “Apakah dijadikan beramal itu?” Beliau bersabda, “Allah bukakan untuknya amalan soleh sebelum meninggalnya, sehingga orang-orang yang berada di sekitarnya redha kepadanya.” (HR Ahmad dan Al Hakim dari Amru bin Al Hamq).

Justeru, kebaikan dalam diri seseorang mukmin diukur atas dua perkara atau peranan. Pertama adalah peranan seseorang mukmin sebagai hamba Allah SWT, dan kedua adalah kedudukan seseorang mukmin itu sebagai khalifah Allah SWT. Kedua-dua perkara ini merupakan entiti yang sangat penting untuk menjadikan manusia sebagai insan yang baik dan mendapat kebaikan Allah SWT di dunia mahupun akhirat.

Hamba yang baik seperti yang dijelaskan dalam tulisan sebelum ini adalah hamba yang mentaati akan perintah Allah SWT, meninggalkan segala laranganNya, serta menuruti panduan yang diajar oleh al Quran dan al-hadis. Hamba yang sentiasa memperbaiki diri beribadat kepada Allah SWT serta sering mendekatkan diri denganNya melalui amal ibadah kepada Allah SWT.

Manakala sebagai khalifah Allah SWT yang menjalankan peranan sebagai hambaNya, mentaati perintahNya dan meninggalkan laranganNya, seseorang mukmin itu hendaklah mempunyai beberapa perkara antaranya seperti keyakinan yang tinggi terhadap Allah SWT. Seseorang yang yakin akan kekuasaan dan kebesaranNya mempunyai kekuatan hati yang tinggi akan qada dan qadar serta takdir ketentuan Allah SWT. Justeru seseorang mukmin itu sentiasa bersangka baik akan Allah SWT walau dalam kondisi apa sekalipun. Ini kerana persangkaan buruk kepada Allah SWT nescaya akan membawa keburukan kepada seseorang manusia.

Allah berfirman yang bermaksud, “Dan supaya Dia mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrik laki-laki dan perempuan yang mereka itu berprasangka buruk terhadap Allah. Mereka akan mendapat giliran (kebinasaan) yang amat buruk dan Allah memurkai dan mengutuk mereka serta menyediakan bagi mereka neraka Jahannam. Dan (neraka Jahannam) itulah sejahat-jahat tempat kembali.” (Al-Fath, ayat 6)

Seseorang manusia yang menjalani peranan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini juga hendaklah saling mencintai dan berkasih sayang sesama manusia. Seseorang mukmin yang hidup dalam mahabbah akan mempunyai semangat keislaman yang tinggi dan melakukan segala perbuatan kerana Allah taala.

Allah berfirman yang bermaksud “Dialah (Allah) yang menjadikan kamu sebagai para khalifah di bumi, dan mengangkat beberapa darjat sesetengah kamu di atas sesetengah (yang lain) agar Dia dapat menguji kamu di atas apa yang kamu lakukan” (Surah Al-An\’am, ayat 165).

Ayat ini dengan jelas menerangkan bahawa makhluk Allah yang bernama manusia ini telah diamanahkan oleh Allah agar menjadi khalifah untuk mengatur kehidupan di muka bumi sesuai dengan ajaran-Nya. Maka di antara umat manusia itu pula, Allah akan mengangkat darjat mereka sesuai dengan apa yang mereka lakukan dalam menunaikan tanggungjawab tersebut.

Jesteru, seseorang mukmin yang beriman kepada Allah SWT akan sentiasa menuruti perintahnya dan selalu berusaha memahami ayat-ayat Allah SWT agar tidak terjerumus dengan hasutan syaitan yang sentiasa membawa manusia kepada kehancuran. Allah SWT pastinya akan memberi kebaikanNya kepada hamba yang berusaha mencari ilmu untuk mempersiapkan dirinya dengan prinsip serta nilai keagamaan yang benar dan diredha Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak akan bergesar kaki seorang manusia dari sisi Allah, pada hari kiamat (nanti), sampai dia ditanya (dimintai pertanggungjawaban) tentang lima (perkara): tentang umurnya untuk apa dihabiskannya, masa mudanya digunakan untuk apa, hartanya dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan, serta bagaimana di mengamalkan ilmunya”.

Oleh itu, sesorang mukmin itu hendaklah sentiasa mengusahakan kebaikan bagi dirinya dan membiasakan dirinya untuk selalu menetapi amal soleh dan ibadah kepada Allah SWT, agar mereka termasuk ke dalam golongan orang-orang yang mendapatkan keutamaan dan kemuliaan besar di sisi Allah Taala.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Februari 2016
Scroll to Top