Bulan Ramadhan Menjanjikan Kelebihan dan Keistimewaan

SESUNGGUHNYA Allah SWT  mengkhususkan bulan Ramadan di antara bulan-bulan lainnya dengan keutamaan yang agung dan keistimewaan yang banyak. Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D\’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu jam 10.15 pagi menyarankan agar umat Islam menunaikan ibadah puasa dengan seikhlas yang mungkin  pada bulan Ramadhan.  

Jangan kita hanya berpuasa, kerana ikut orang lain berpuasa atau kerana bapa kita puasa, maka kita juga kena puasa. Hayatilah segala keistimewaan  berpuasa, agar kita sempurna di dunia dan juga  di akhirat. Keistimewaan pertama, diturunkannya Al-Qur’an di dalam bulan Ramadhan sebagai petunjuk bagi manusia dari kegelapan menuju cahaya. Dengan Al-Quran ini, Allah memperlihatkan kepada mereka kebenaran (al-haq) dari kebatilan.  

Al-Quran yang di dalamnya terkandung kebaikan dan kebahagiaan kemenangan bagi umat manusia, serta keselamatan di dunia dan di akhirat. Keistimewaan kedua, diwajibkannya berpuasa pada  bulan tersebut kepada umat Muhammad SAW , ketika Allah SWT  memerintahkan hal tersebut dalam firman-Nya ” Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu” (Suarh  Al-Baqarah, ayat  185).

Tidak dapat disangkal lagi bahawa bulan Ramadhan mempunyai kemuliaan dan kelebihannya tersendiri.  Pertama, Ramadhan adalah bulan  penghapus dosa Berpuasa pada bulan Ramadhan dapat menghapus dosa-dosa yang pernah kita lakukan sama ada yang disedari atau tidak disedari asalkan dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh berdasarkan iman dan mengharapkan pahala dari Allah SWT.  Sebagaimana    Rasulullah SAW bersabda : ‘’Barang siapa yang berpuasa Ramadahan kerana iman dan mengharapkan pahala  dari Allah SWT, nescaya diampuni dosa-dosanya telah lalu\”. (Muttafaqun alaih). 

Kedua, dibukanya pintu-pintu syurga pada  bulan Ramadhan. Hal ini kerana banyaknya amal shalih yang disyariatkan pada  bulan tersebut yang menyebabkan masuknya seseorang ke dalam syurga ditutup pintu-pintu neraka pada  bulan berkenaan .

Misalnya, umat Islam pada bulan yang mulia ini  dituntut untuk mengerjakan Solat Sunat  Tarawih. Ia ditunaikan  selepas umat Islam mengerjakan solat fardhu Isyak dan waktunya berkekalan sehingga akhir malam. Ketiga, bulan Ramadan memiliki banyak keberkatan, keutamaan dan pelbagai keistimewaan yang tidak dimiliki oleh bulan-bulan lainnya. Dalam bulan  Ramadhan, setiap amal kebaikan diberikan ganjaran berlipat ganda.

Ganjaran pahala mereka yang mengerjakan amal ibadah dalam bulan Ramadhan adalah berlipat ganda. Ibadah fardhu diberi pahala sehingga tujuh puluh kali ganda; manakala ibadah sunat diberi pahala seperti ibadah fardhu. Keempat, syaitan-syaitan dibelenggu pada  bulan Ramadhan. Syaitan tidak mampu untuk menggoda (menyesatkan) manusia, menjerumuskan manusia dalam kemaksiatan sebagaimana yang syaitan lakukan selain dalam bulan Ramadhan.

Kelima, antara kelebihan besar bulan Ramadhan ialah di dalamnya terdapat lalilatul-Qadar atau malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan keistimewaannya secara khusus oleh Allah dalam surah al-Qadr “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”. (Surah al-Qadr: ayat 1-5)

Ustaz Muhamad Abdullah al Amin merumuskan dengan berkata begitulah antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan. Orang yang tahu menilainya sudah pasti tidak akan mensia-siakan peluang untuk merebut kelebihan-kelebihan tersebut. Bahkan RasulullahSAW sendiri pernah menegaskan; “Sekiranya manusia benar-benar menyedari kebaikan-kebaikan yang ada pada bulan Ramadhan ini, pastinya mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah Ramadhan”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 Jun 2016
\"2016-06-13\"
Scroll to Top