Berhadapan Tetamu Agung

KEDATANGAN bulan Ramadan merupakan sesuatu yang dinantikan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, bulan yang merupakan hadiah paling istimewa oleh Allah SWT kepada umat Baginda. Ini adalah di antara cara bagaimana Allah ingin menunjukkan rasa sayang kepada kita, kerana sebelum diutuskan Nabi Muhammad, umat manusia hanya mahsyur dengan bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan bulan Muharram. Allah mula menonjolkan kelebihan-kelebihan pada bulan Ramadan kepada umat Muhammad kerana usia mereka yang tidak panjang iaitu di antara 60 sehingga 70 tahun. Kasih sayang Allah ditunjukkan kepada manusia  yang masih hidup kerana di dalam bulan Ramadan adanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam lailatul qadar yang menjadi rebutan orang-orang mukmin.

Perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’izati di IKIMfm pada setiap Khamis, jam 5.15 petang turut menjelaskan bahawa Allah juga memberi kelebihan kepada mereka yang telah meninggal dunia kerana dikurniakan kenikmatan yang luar biasa pada bulan Ramadan yang merupakan di antara bulan yang diringankan azab kubur kecuali kepada mereka yang kufur kepada-Nya. Sehinggalah kedengaran takbir pada malam hari raya yang pertama, mereka akan menangis teresak-esak dan menyebut, “Alangkah untungnya kamu yang masih hidup kerana masih lagi diberi peluang oleh Allah untuk beribadah, manakala kami sudah tidak ada lagi peluang sebegitu rupa.” Bayangkan mereka yang berpeluang untuk beribadat pada malam lailatul qadar, pahala yang dikurniakan pada malam itu menyamai ibadah yang dilakukan selama 70 tahun.

Rasulullah SAW seringkali berdoa, “Ya Allah panjangkanlah umurku agar aku berkesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadan.” Di antara golongan yang dimasukkan ke dalam syurga dengan mudah kerana mereka menemui ajal setelah berakhirnya Ramadan, tidak ada balasan baginya kecuali syurga Allah. Ada beberapa persiapan yang perlu dilakukan oleh umat manusia di dalam menghadapi bulan Ramadan, pertamanya ialah memasuki bulan ini dengan ilmu. Para ulama memberi panduan, ilmu-ilmu itu yang telah disusun bermula sejak bulan Rejab. Allah meminta agar kita menguatkan keyakinan di dalam hidup dengan terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj yang merupakan mukjizat kedua terbesar setelah dikurniakan al-Quran dan hadis kepada Rasulullah SAW.

Memahami Israk dan Mikraj adalah penting kerana hidup kita seringkali diuji oleh Allah yang kadang-kala menyebabkan kita hampir berputus asa dan mula menyalahkan takdir. Tidak ada orang beriman yang tidak diuji oleh Allah sebagaimana firmannya di dalam Surah al-Ankabut, ayat 1-3: “Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta. Ilmu untuk memahami pengajaran disebalik peristiwa Israk dan Mikraj penting supaya kita tidak tergolong di kalangan mereka yang berpuasa pada bulan Ramadan tetapi masih mendedahkan aurat, meninggalkan solat, masih mengumpat dan melakukan maksiat.

Di dalam bulan Syaaban berlaku peristiwa pertukaran kiblat, iaitu apabila Rasulullah tiba di Madinah, Baginda telah diejek oleh orang Yahudi dengan menyebut-nyebut, “Kenapalah Muhammad ini bersembahyang menghadap kiblat yang sama dengan kita,” menyebabkan Rasulullah merasa sangat sedih dengan ejekan mereka. Lalu Baginda solat dan berdoa mendongak ke langit, memohon agar arah kiblat ditukar. Setahun kemudian baharulah Allah memerintahkan agar kiblat ditukar menghala ke Masjidil Haram yang pada asalnya menghadap ke arah Masjid al-Aqsa. Kaitan di antara peristiwa pada bulan Syaaban ini ialah agar kita tidak berputus asa untuk berdoa dan sentiasa mengharap kepada Allah SWT terutamanya pada bulan Ramadan. Hidayah milik Allah dan hanya Dia yang akan memilih siapakah yang layak mendapat bimbingan daripada-Nya. Selain itu, orang beriman tidak seharusnya takut kepada celaan kerana dalam urusan beragama mereka seharusnya hidup bergantung hanya kepada Allah.

Persediaan kedua yang perlu dilakukan sebelum menghadapi bulan Ramadan ialah perlu ada perasaan sangat menginginkan atau mendambakan hadirnya bulan mulia ini kerana itu merupakan tanda kepada orang-orang mukmin. Orang munafik akan merasa ralat dengan kedatangan bulan Ramadan. Perasaan seronok menanti Ramadan akan menyebabkan kita membuat persiapan sebaik mungkin dan bersyukur apabila kembali bertemu bulan ini kerana ia mungkin merupakan kali terakhir kita melaluinya.

Selain itu ketahuilah apa yang Allah sediakan pada bulan Ramadan dan tentukan matlamat yang ingin dicapai pada bulan ini. Ini kerana para ulama menjelaskan, Allah menjadikan Ramadan ini dengan ribuan matlamat agar kita ditetapkan di kalangan mereka yang bertaqwa. Jangan sesekali kita menempuhi Ramadan tanpa tujuan, tetapi biarlah kita melakukan ibadat dengan bermatlamat beroleh ganjaran syurga dan melakukannya dengan penuh keimanan kepada Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 Jun 2016
\"2016-06-09\"
Scroll to Top