Puasa Yang Berkesan

PENGERTIAN puasa memberi erti takwa yang sebenar melalui kehidupan umat Islam dalam membentuk keperibadian mulia serta memberi pegangan sebagai individu muslim yang soleh dan soleha. Kupasan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di IKIMfm pada setiap hari rabu jam 10.15 pagi yang lalu membicarakan topik mengenai ibadah puasa yang berkesan.

Allah berfirman dalam Surah Al-Bakarah ayat 183 yang maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. Pertemuan bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam rancangan ini membawa kesempatan kepada pendengar untuk memahami lebih dekat tentang ibadah puasa.

Seruan puasa ini datang daripada ALLAH kepada umat manusia seperti mana diwajibkan kepada umat manusia sebelum ini. Puasa yang berkesan adalah puasa yang membuahkan takwa. Kehadiran ramadan merupakan kem latihan dan madrasah tarbiah selama sebulan dan lengkap dengan modul yang disediakan ALLAH. Adaptasi dari modul ini boleh dikategorikan melalui beberapa perkara iaitu iman, puasa dan takwa.

Iman

Berpuasa ini adalah melalui dasar iman yang akan menjadi benih kebaikan dalam diri. Konsep iman ini adalah keyakinan kepada ALLAH serta keyakinan kepada hari akhirat, syurga dan neraka. Melalui ibadah puasa, pengharapan terhadap keredhaan ALLAH adalah menjadi keutamaan dalam menjalani ibadah ini serta mengharapkan balasan syurga yang abadi. Jika iman tidak dijadikan sebagai pegangan, hati tidak akan terdorong untuk melaksanakan fadhilat dan kelebihan yang ada dalam bulan Ramadan. Keyakinan ini membawa umat Islam dalam menyatakan ALLAH itu ada serta memberi kepercayaan terhadap ganjaran pahala yang diberikan-Nya.

Puasa

Ibadah puasa adalah proses yang bermula dari niat dan akan membawa kepada tanggapan yang betul. Berpuasa dengan erti kata ‘Shiyam’ membawa kepada pengertian menahan nafsu supaya tidak terjerumus dengan amalan yang dimurkai ALLAH dan digunakan ke arah kebaikan. Pandangan terhadap puasa tidak hanya tertumpu kepada bentuk kebendaan dan keuntungan perniagaan yang diraih semata-mata apabila tiba bulan Ramadan. Malah perlu dititik beratkan mengenai kelebihan yang ALLAH beri disepanjang bulan ini. Selain daripada ganjaran pahala yang berlipat ganda, peluang berpuasa ini juga digunakan untuk memanfaatkan terhadap tubuh badan supaya menjadi sihat. Pemakanan mengikut masa yang betul serta pengambilan makanan sunnah yang sihat menjadi keutamaan disetiap hari dibulan Ramadan. Puasa juga tidak ditafsirkan sebagai adat dan tidak menjadikan ibadah ini secara bermusim dimana ada sebahagian dari umat Islam masih menganggap puasa ini lebih penting dari solat. Pendidikan puasa juga perlu diterapkan kepada setiap diri umat Islam sejak mereka berusia kecil.

Benteng dari amalan yang tidak disukai ALLAH ini adalah dengan mengurus dan mengawal nafsu serta mendidik hati supaya iman menjadi teguh. Mendidik nafsu adalah sesuai mengikut prinsip puasa supaya dapat menahan sumber makanan dan minuman serta menjaga sumber ransangannya. Tafsiran mendidik nafsu juga boleh dikategorikan dengan beberapa peringkat iaitu dengan ‘shiyam’ (berpuasa), berqiamulai, membaca Al-Quran dan bersedekah. Kawalan dan didikan ini juga baik kepada akal dan hati kerana tidak lagi membenarkan mata sebagai jendela untuk melihat perkara nafsu. Elemen-elemen ini menjadi latihan yang akan memenatkan hawa nafsu supaya terus beribadat hingga penat melakukan maksiat. Segala bebanan yang diberikan terhadap nafsu ini penting dalam memandu diri kepada zon yang selamat dari kejahatan. Umat Islam juga perlu diingatkan untuk terus menjadi hamba ALLAH dan bukan menjadi hamba Ramadan.

Takwa

Iman dan puasa ini dapat merangkumi satu proses yang membawa kepada tarbiyah serta hasil yang bermanfaat kepada umat Islam. Setiap proses yang dilalui ini akan membimbing manusia kepada asas ibadah yang sempurna serta dapat mengambil fadhilatnya dalam menjadikan perjalanan ini suatu institusi pendidikan muslim. Konsep takwa ini juga akan terus menjadi suatu ilmu dan cahaya kebenaran buat umat Islam kearah balasan pahala dan syurga yang ALLAH janjikan dengan hanya mengikut segala perintah-Nya. Istiqamah dalam memburu ganjaran kebaikan dari ALLAH di dalam bulan Ramadan Al-Mubarak ini akan dapat menjadikan umat Islam menjalani ibadah puasa yang berkesan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 Jun 2016
Scroll to Top