KEPALA BATAS, 20 Ogos 2023 (IKIM) – Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi atau LEGASI berhasrat untuk membangunkan pusat intergrasi ilmu yang berasaskan tarbiah Sheikh Abdullah Fahim dan ingin menjadikan Kepala Batas sebagai satu ‘Wilayah Bagi Insan Yang Arif’.
Jefridin Atan yang juga merupakan Pengerusi LEGASI berkata “cetusan wawasan dan gagasan ini adalah kerana negarawan dan tokoh terbilang tersebut mempunyai elemen penting untuk pemerkasaan modal insan, pembangunan yang berasaskan peradaban atau Islam Hadhari dan memartabatkan ekonomi halal, sewajarnya diletakkan sebagai asas kepada pembinaan khazanah yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan masyarakat dan negara”.
Beliau berkata, khazanah dan sejarah Sheikh Abdullah Fahim yang termaktub pada masa silam perlulah dihayati agar dapat dijadikan pedoman supaya perjalanan mendatang berada dalam landasan yang betul. Sejarah yang didasari kepada kebenaran akan dapat membantu dalam proses muhasabah insan pada hari ini.
Beliau berkata demikian, ketika berucap sempena Majlis Syarahan Sheikh Abdullah Fahim dan pelancaran dua buah buku yang berkait langsung dengan Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim, tokoh tersohor dari Kepala Batas yang bertajuk “Sheikh Abdullah Fahim: Warisan Keilmuan, Astronomi dan Politik” dan buku kedua “Qawamuddin: Pada Menerangkan Pendirian Agama”.
Majlis telah disempurnakan perasmiannya oleh Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak.
Disediakan oleh : Syafiq Salleh