Teruskan Semangat Ramadan

ALHAMDULILLAH, hari ini  umat Islam di negara kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri setelah selama sebulan kita menjalani latihan dalam Madrasah Ramadan. Ramadan ialah bulan latihan, bulan untuk mendidik kita, bulan untuk membiasakan kita dengan amalan-amalan baik, bulan untuk mengembalikan kita kepada sifat-sifat fitrah insani yang sebenar sesuai dengan matlamat kita diutuskan Allah SWT. Oleh kerana itulah setelah habis sebulan kita berpuasa,  kita menyambut pula  “Eid al-Fitri” yang seakan membawa maksud “kembali kepada fitrah”.

Kebiasaan di kalangan kita ada yang sudah biasa menghadiri kursus, atau bengkel. Ada bengkel yang berdurasi sehari, dua hari, tiga hari seminggu dan seterusnya yang lebih panjang daripada itu. Matlamat bengkel-bengkel ini biasanya ialah untuk mengubah peserta menjadi lebih baik dari sebelum menhadiri bengkel tersebut. Jika peserta itu dari kalangan kakitangan awam atau swasta, maka diharapkan setelah menjalani bengkel itu mereka akan menjadi kakitangan yang lebih baik, cekap, dedikasi dan produktif kepada organisasi. Begitu juga dengan bengkel atau “Madrasah Ramadan” yang baharu berlalu. Allah SWT telah meletakkan matlamat Ramadan itu ialah agar kita menjadi insan yang bertaqwa kepadaNya. Bukan lapar dan dahaga yang diinginkan tetapi lapar dan dahaga itu hanyalah wasilah untuk menundukkan nafsu bagi melahirkan insan bertaqwa.

Ada di kalangan kita yang sudah 40 tahun menemui Ramadan, ada yang lebih dan ada yang kurang daripada itu. Namun sifat, peribadi mereka sebelum dan selepas Ramadan tidak banyak berubah. Sepertimana ada yang setiap tahun mengerjakan ibadah haji, berpuluh-puluh kali mendirikan umrah, solat yang banyak, dan amalan ibadat lain juga tidak kurang hebat, namun ianya tidak memberi bekas kepada menjadikannya insan yang bertaqwa. Bukan salah ibadat tersebut, tetapi kerana tatkala mereka melakukan ibadat-ibadat tersebut, mereka melakukannya kerana adat kebiasaan, rutin, kerana sudah terbiasa dan bukan kerana ikhlas, khusyuk dan rendah diri mengharapkan redha Allah SWT.  Sebab itulah Nabi SAW berpesan mafhumnya “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan redha Allah SWT), diampunkan dosanya yang telah lalu” [HR Bukhari]. Berpuasa semata-mata tidak memadai, tetapi berpuasa yang dipasakkan dengan hati yang “penuh keimanan” dan “keredhaan” Allah SWT, maka orang sebegini sahaja yang layak mendapat keampunan daripada Allah SWT.  Puasa yang memberi bekas. Sebab itulah Nabi SAW memberi amaran awal kerana ramai yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasa mereka “melainkan lapar dan dahaga”. 

Sebab itu hari ini kita temui ramai  di kalangan kita (termasuk kita sendiri juga mungkin) yang berpuasa, mengerjakan haji dan umrah, mendirikan solat tetapi masih melakukan perkara-perkara dosa dan munkar. Masih menipu orang lain, masih berdusta, masih memakan rasuah, masih mencuri tulang ketika bekerja, masih ada hasad dengki, umpat mengumpat dan bermacam penyakit hati yang lain. Sheikh Abdul Qadir al-Jilani pernah diriwayatkan berkata bahawa “aku beroleh kurniaan makrifat Allah SWT bukanlah kerana banyaknya solat tahajudku di malam hari atau kerajinanku berpuasa di siangnya, tetapi kerana keramahan dan kerendahan hatiku daripada segala penyakit-penyakit hati”. Sementara amalan-amalan itu semua merupakan wasilah untuk menjadikan kita lebih baik, dan seterusnya menggapai gelaran “muttaqi” (orang yang bertaqwa), namun tanpa ketulusan hati, kejernihan jiwa, keikhlasan yang sebenar beribadah demi mencari redha Allah SWT, ibadah-ibadah tersebut hanyalah aktiviti-aktiviti fizikal semata-mata yang tidak membekas kepada jiwa dan seterusnya melahirkan peribadi Muslim yang unggul dan hebat dan cemerlang.

Dengan berlalunya Ramadan, marilah sama-sama kita meneruskan apa yang telah kita diasuh sepanjang sebulan di bulan barakah itu. Ada amalan-amalan yang disuruh diperbanyakkan melakukannya seperti solat sunat, membaca al-Qur’an, berzikir, berpuasa, bersedekah maka teruskannlah kita lakukannya di sebelas bulan yang lain. Walaupun puasa Ramadan telah berlalu, masih banyak puasa-puasa sunat lain yang boleh kita teruskan seperti puasa enam hari di bulan Syawal, puasa Isnin dan Khamis, puasa hari-hari putih dan begitu juga amalan-amalan sunat yang lain.

Ada juga amalan-amalan yang kita ditegah melakukannya di bulan Ramadan seperti mengumpat, berdusta, bercakap perkara yang tidak berfaedah, bergaduh maka hentikanlah juga di bulan-bulan yang lain. Jika kita mampu lakukan ini semua, itulah petanda awal bahawa puasa kita di bulan Ramadan itu telah berjaya dan diterima oleh Allah SWT. Kita beribadah sepanjang bulan Ramadan bukan kerana Ramadan itu, tetapi kerana Tuhan Ramadan, iaitu Allah SWT yang memerintahkan kita berbuat begitu.  Sebab itulah sering disebutkan ungkapan hikmah:

من كان يعبد رمضان فقد مضى .. ومن كان يعبد الله فإن الله حي لايموت

“Sesiapa yang menyembah Ramadan, maka sesungguhnya Ramadan telah berlalu, dan sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan Tidak Akan Mati”

Marilah kita teruskan semangat Ramadan untuk sebelas bulan yang seterusnya, bahkan hingga kita dipanggil menemui Tuhan Ramadan, Allah SWT, Tuhan dan Pentadbir Sekalian Alam. Wallahu’alam.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 Julai 2016
WhatsApp
Scroll to Top