Muhasabah Ramadan

SEBAGAI seorang mukmin, kita harus sentiasa tahu akan hakikat kita dihidupkan lagi oleh Allah SWT. Perlu ada dalam fikiran kita, “kenapa aku dibangkitkan lagi?”. Kita perlu melihat hakikat kita bangun pada siang hari kerana kekuasaan Allah SWT. Terkadang kita lupa untuk melihat Allah SWT disebalik segalanya. Kadangkala kita menganggap yang bangunkan kita siang tadi adalah kerana jam loceng yang kita pasangkan.

Menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi berkenaan hari-hari akhir Ramadan dan malam Lailatul Qadar.  Apabila kita bangun daripada tidur, kita perlu sentiasa ingat ianya merupakan anugerah daripada Allah SWT. Bilamana Allah SWT menghidupkan kita bangun daripada tidur, jangan sekali-kali kita menganggap hidup seperti biasa dan kita lalui dengan rutin yang biasa.

Orang mukmin tidak akan berkata aku hidup seperti biasa, tetapi mereka melafazkan syukur kepada Allah SWT kerana diberikan kesempatan hidup sekali lagi ketika ada insan-insan lain yang tidak sempat merasai hari akhir Ramadan. Ini kerana, mungkin ada diantara taubat kita yang masih belum diterima oleh Allah SWT dan akhirnya Allah SWT memberikan kita peluang sekali lagi untuk memohon ampun dan bertaubat kepada-Nya.

Mungkin juga Allah SWT menghidupkan kita kembali selepas tidur kerana selama hayat kita berada di muka bumi ini, tidak pernah sekali kita sempat merasa nikmat dan meraih ganjaran pada malam Lailatul Qadar. Allah SWT ingin menunjukkan belas kasihan-Nya kerana saat diri kita penuh dengan dosa, tetapi masih diberi peluang utnuk hidup dan akhirnya mampu untuk kita meraih Lailatul Qadar.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Infitaar ayat ke-6 yang bermaksud : Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu – (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?.

Ustaz Syaari berkongsi huraian ayat ini yang mana ayat ini adalah berbentuk soalan dan di dalamnya juga telah terdapat jawapan buat kita. Di dalam ayat ini, dihujungnya Allah SWT datangkan dengan sifat-Nya yang Maha Pemurah dan di sini Allah SWT ingin menyatakan setelah segala nikmat yang diberikan kepada kita, masihkah kita ingin derhaka? Tidak ada sebab lain yang menyebabkan seorang itu merasakan Tuhan bukan pemurah, kecuali syaitan. Syaitan telah membisikkan kepada kita sebelum kita melangkah masuk ke gerbang Ramadan dengan pelbagai hasutan agar kita berputus asa daripada rahmat Allah SWT.

Allah SWT telah berikan pelbagai nikmat buat kita. Antara tanda pemurahnya Allah SWT, Allah SWT takdirkan kita tergolong di dalam umat Nabi Muhammad SAW. Kita lahir ke dunia dengan nikmat Islam. Kita umat yang berpotensi untuk mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW.

Selain daripada itu, nikmat Al-Quran yang sudah wujud pada saat kita lahir sebagai tanda pemurahnya Allah SWT buat kita. Tidak perlu bersusah-payah untuk kita mencari al-Quran kerana telah lengkap disusunkan buat kita. Allah SWT bukan semata-mata memberikan kita Rasul tetapi didatangkan juga Al-Quran buat kita.

Selain daripada dua nikmat, Rasul dan Al-Quran, Allah SWT juga hadirkan kita insan-insan yang baik yang sudi menegur atas setiap kesalahan dan kesilapan kita. Perlu kita muhasabah kembali, berapa ramai di antara kita yang melafazkan kata terima kasih buat sahabat kita yang beriman apabila mereka menegur kita. Apabila sahabat kita tegur, itu tandanya Allah SWT Maha Pemurah kerana Allah SWT tidak mahu kita hanyut dan tenggelam.

Selain itu, Allah SWT datangkan kita sakit sebagai bukti Allah SWT Maha Pemurah. Diberikan kita sakit agar kita beringat dan kembali kepada-Nya. Allah SWT tidak beri kita mati mengejut kerana mahu kita bertaubat dan segera kembali kepada-Nya.

Sekiranya segala macam nikmat yang Allah SWT telah bentangkan buat kita tetapi kita lupa lupa, akhirnya Allah SWT datangkan Ramadan. Allah SWT hadiahkan Ramadan buat kita yang mana pahalanya berlipat ganda, syaitan tiada dan dosa begitu sukar dilakukan kerana nafsu ditambat dengan lapar dan dahaga. Begitu melimpah rahmat Allah SWT buat kita, dihadiahkan pula buat kita dengan malam Lailatul Qadar. Apakah lagi alasan yang mahu kita berikan untuk tidak kembali kepada Allah SWT setelah bermacam nikmat telah kita miliki.

Akhirnya, jadikan Ramadan ini bulan tarbiyah dan bulan terbaik untuk kita segera kembali bertaubat kepada Allah SWT. Semoga Ramadan yang bakal kita tinggalkan meninggalkan kesan yang amat dalam buat kita agar lebih mensyukuri segala nikmat Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 Julai 2016
Scroll to Top