Tambat Hati Pasangan Dengan Perkataan Baik

KOMUNIKASI merupakan satu aspek yang amat ditekankan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya dalam membentuk keharmonian dalam sesebuah ruamahtangga tersebut.  Islam secara jelas mengungkapkan bagaimana pentignya komunikasi dalam hubungan suami dan isteri yang akhirnya akan mewujudkan satu hubungan yang mesra. Pasangan yang ideal ialah mereka yang memahami teknik komunikasi yang berkesan  dan mengamalkannnya dalam kehidupan.

Islam menggesa si suami agar berurusan dan bermuamalah bersama isteri dengan adab yang baik, memandangkan pertimbangan akal kaum wanita dianggap kurang berbanding  kaum lelaki. Allah SWT  berfirman : “Gauli mereka dengan adab yang baik.” (Surah An-Nisa\’: ayat 19). Perkara tersebut meliputi  tutur kata yang lunak, bersikap adil bersama isteri sekiranya si suami berpoligami, memberi nafkah, bermesyuarat dengan isteri dalam urusan rumahtangga, menutup kelemahan isteri dan lain-lain lagi.  

Ustaz Muhammmad Abdullah Al – Amin dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang disiarkan di IKIMfm jam 10.15 pagi minggu lalu  berkata sikap baik yang perlu diamalkan oleh para suami bagi mengelak daripada menyatakan  perkara buruk terhadap isteri .Ada suami yang sering dan gemar mengeluarkan perkataan tidak enak terhadap isteri disebabkan sesuatu perkara tidak disenangi. Perkataan buruk yang dikeluarkan terhadap isteri juga satu penderaan iaitu penderaan mental. Isteri yang selalu diherdik, dihina dan dimarahi akan menghadapi tekanan perasaan dan mudah timbul perasaan takut untuk berdamping dengan suami. Sesiapa yang suka mengamalkan sikap bengis dan suka menakut-nakutkan isteri dengan perkataan kasar akan terlepas daripada rahmat Allah dan menanggung kerugian di dunia dan akhirat.

Dalam hal ini, Allah SWT jelas menghuraikannya secara terperinci dalam kitab suci Al-Quraan yang bermaksud : Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.  Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa. (Surah An –Nisa , ayat 148-149)

Islam menegah kita untuk mengungkapkan sebarang perkataan yang datang dari perasaan  nafsu marah. Memaki hamun, menghina dan saling tuduh menuduh sering mengundang sengketa dan berbunuhan sesama sendiri.  Hindarilah daripada memiliki   sifat-sifat mazmumah  tersebut  dengan cara   memperbanyakkkan   amalan zikir dan selawat  kepada Allah SWT  kerana zikir   mampu  mengubat penyakit hati yg terdapat dalam diri manusia seperti riak,takbur, ujub,bangga diri dan sebagainya. Perlu diingat bahawa janganlah kita  sesekali meninggalkan bacaan al-Quran kerana ia merupakan zikir yg paling utama dan pintu kepada tauhid dan hidayah Allah..  Seterusnya , pasangan suami juga disaran agar tidak menyatakan   sesuatu yang bakal menimbulkan permusuhan. Pada hari ini, kita sering kali dilimpahi dengan maklumat dan berita yang diperolehi  melalui pelbagai saluran seperti  WhatsApp,Facebook ,  Twitter   dan sebagainya. Maklumat atau berita yang diperoleh itu adakalanya membawa kepada perselisihan dan ada juga yang menyatakan kebenaran. Namun secara pasti, limpahan maklumat pada hari ini yang mudah untuk diperoleh, tidak lagi mampu untuk ditapis dan dipastikan kebenarannya. Oleh itu, berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti memfitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan.

Allah SWT telah mengurniakan kepada kita kemampuan untuk berkata-kata dan memberi kefahaman kepada orang lain. Kata-kata yang menyakitkan ialah kata-kata yang membuat orang yang diperkatakan itu tidak senang hati dan mendatangkan kemudaratan seperti menyebut keaibannya atau ucapan yang menjatuhkan kehormatannya. Allah SWT tidak menyukai dalam kalangan hamba-hamba-Nya menyebut-nyebut keaiban dan keburukan orang lain. Ini adalah kerana, perbuatan seperti itu boleh menimbulkan pelbagai kesan yang tidak baik. Antaranya  menimbulkan permusuhan dan kebencian antara mereka yang menyebut-nyebut keaiban dan yang menjadi sasarannya. Kadang-kadang, kes seperti ini boleh mengakibatkan pelanggaran hak dan pertumpahan darah. Sebagai kesimpulannya,  contohilah peribadi Rasulullah SAW yang  sentiasa menjaga perasaan para isteri Baginda dan pandai menambat hati mereka dengan bergurau senda dan bermesra.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 Ogos 2016
\"2016-08-22\"
Scroll to Top