Masa Yang Hilang

ADALAH sukar melihat manusia terkilan saat masa dibazirkan, jarang yang menangis pada waktu yang terbuang. Malah hanya segelintir yang bimbang kala pergerakkan siang dan malam seakan tidak memberinya peluang dan kesempatan.

Bicara tentang masa, ironinya makhluk Allah ini tidak ditentukan oleh ruang waktu. Bermula dari saat membawa ke minit, kemudian jam dan diikuti hari, minggu, bulan, tahun, abad dan seterusnya. Namun naqib Usrah Nurani yang bersiaran pada pukul 5.15 petang Jumaat lalu iaitu Ustaz Zul Ramli M. Razali menerangkan bahawa masa itu tertakluk kepada kondisi psikologi seseorang pada situasi tertentu. 30 saat seseorang memberi implikasi berbeza dengan 30 saat seseorang yang lain bergantung kepada situasi dan kondisi yang sedang mereka hadapi dan tempuhi.

Usrah juga menampilkan dua rakan usrah di konti iaitu Yatt Hamzah dan Saudara Taufique Qastallani. Mereka berkongsi pandangan berkaitan masa yang kian mudah tersentap keberkatannya menerusi pelbagai kaedah. Terkadang tanpa di sedari, masa yang dahulunya diumpamakan lebih mahal daripada emas dibazir bagai tiada harga. Di salah guna berjam lamanya hanya untuk gejet yang belum tentu memberi makna. Sedikit ilmu di peroleh dalam limpahan masa yang diguna. Banyak perkara masakini membawa kepada leka dan alpa tetapi tidak terasa kerugiannya.

Sesungguhnya, Allah telah mengingatkan manusia dengan kepentingan masa menerusi sumpahan-sumpahan yang telah diutarakan menerusi firmanNya. Antaranya, “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. “ (Surah Al-Asr, ayat 1-3)

Juga pada ayat yang lain antaranya Surah al-Lalil, surah ad-Dhuha dan Surah al-Fajr sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Demi fajar; demi malam yang sepuluh; demi yang genap dan yang ganjil; dan demi malam bila berlalu. Pada yang demikian itu terdapat sumpah (yang dapat diterima) oleh orang-orang yang berakal.”(Surah al-Fajr, ayat 1-5).

Seorang tabiin besar, Hassan al-Basri pernah mengungkapkan kata-kata setiap kali matahari terbit: \”Wahai manusia, aku adalah hari kamu yang baharu yang akan menjadi saksi di atas segala amal perbuatan kamu. Pergunakanlah dengan baik dan jadikanlah aku bekalmu. Sebab bila aku telah pergi, aku tidak akan kembali hingga hari kiamat.\” Namun, dunia hari ini sungguh melekakan. Pada jalan membuat ibadah dan kebaikan juga manusia teruji dengan masanya. Kadangkala sudah bertekad dan berazam untuk menggunakan masa dengan baik, namun akhirnya kecundang jua, jalan pembaziran yang menjadi pilihan. Contohnya, saat ingin mengaji al-quran. Dibisik di hati untuk mengajak yang lain melakukan yang sama melalui facebook atau aplikasi whatsapp. Tanpa di sangka, masa berlalu tetapi al-quran yang ingin di baca masih belum bersentuh akibat menanti dan membalas respon sahabat-sahabat di ruangan facebook dan whatsapp itu. Dikhuatiri juga, di balik amal baik akan melarikan niat asal lantas melahirkan rasa riak.

Manusia akan memungut dan menuai hasil di akhirat daripada tanaman yang diusahakan di dunia. Manusia ditanyakan di akhirat kelak terhadap segala amalan yang dilakukan sepanjang tempoh usianya di dunia. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan melangkah seseorang hamba itu pada Hari Kiamat hingga ditanyakan mengenai apa yang dihabiskan dalam umurnya, apa yang dilakukan menurut ilmunya, ke arah mana hartanya di usahakannya dan dibelanjakan serta apa yang dibuat oleh tubuh badannya terhadap segala ujian dan tanggungjawab.”(Hadis riwayat at-Tirmizi).  Justeru, akhirat adalah motivasi terbaik dalam usaha memanfaatkan masa. Bagaimana masa 60 tahun di dunia yang bersamaan 1 jam setengah di akhirat digunakan? Adakah di laburkan menjana saham yang bermanfaat ataupun dileburkan lenyap begitu sahaja?

Oleh itu, usah bertangguh dan utamakan keutamaan dapat membantu menguruskan masa sebaiknya. Malah orang-orang yang beriman tidak akan membiarkan setiap keuntungan berlalu sia-sia dan tidak pula berhajat mengundang sebarang kerugian. Memanfaatkan segenap ruang kesempatan yang baik. Sentiasa berpegang kepada pesanan Rasulullah SAW mafhumnya: \” Rebutlah (pergunakanlah) lima waktu sebelum tiba lima waktu yang lain iaitu masa hidup sebelum mati, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sibuk, masa muda sebelum tua dan masa kaya sebelum fakir.\”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 Ogos 2016
\"2016-08-19\"
Scroll to Top