7 Sikap daripada 313

SETIAP daripada kita memainkan peranan penting dalam misi menyebarkan Islam ke segenap pelusuk dunia. Peranan yang ditinggalkan oleh para nabi terdahulu perlu kita sahut selagi mana kita beriman kepada Allah SWT.

Menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari berkongsi kisah menerusi ayat-ayat Al-Quran daripada Surah Ibrahim bemula ayat 9 hingga 12. Di awalnya, Ustaz Syaari menjelaskan ayat 9 yang bermaksud : (Mengapa kamu masih berdegil) bukankah telah datang kepada kamu khabar berita orang-orang yang terdahulu daripada kamu, iaitu kaum Nabi Nuh, dan Aad juga Thamud serta orang-orang yang kemudian daripada mereka? Tiada sesiapapun yang mengetahui bilangan mereka melainkan Allah. Mereka telah didatangi oleh rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, lalu mereka meletakkan tangan mereka ke mulut mereka sambil berkata: \”Sesungguhnya kami kufur ingkarkan apa yang – mengikut dakwaan kamu – kamu diutus membawanya, dan sesungguhnya kami adalah dalam keadaan yang meragukan terhadap iman dan tauhid yang kamu ajak kami kepadanya\”.

Apabila kita teliti ayat ke-9 Surah Ibrahim ini, kita dapat lihat ia mempunyai perkaitan dengan kisah Nabi Musa AS. Allah SWT telah memberi maklum balas kepada ucapan Nabi Musa AS dengan Allah SWT menyebut mengenai perangai Bani Israel yang susah nak berterima kasih kepada Allah SWT. Rupanya perangai yang ada pada Bani Israel ini telah wujud dalam kalangan umat-umat yang terdahulu.

Ayat 9 ini Allah SWT menyebut kaum Nabi Nuh AS yang terkenal dengan usia mereka yang panjang dan tempoh mereka didatangi oleh Nabi Nuh AS dalam tempoh yang sangat lama, iaitu 950 tahun. Kemudian Allah SWT menyebut mengenai kaum Aad kerana pada kaum ini, Allah SWT berikan mereka kekuatan tubuh badan. Bagi Kaum Thamud pula, Allah SWT telah berikan mereka kepintaran dan kebijaksanaan yang tinggi sehinggakan mereka menukar bukit-bukit batu kepada perumahan serta istana kediaman mereka.

Ertinya tiga kaum ini Allah SWT kurniakan pelbagai anugerah dan nikmat kepada mereka. Begitu juga Allah SWT berikan kepada kaum Quraisy usia dan Allah SWT tidak mematikannya dengan dosa kekafirannya sekarang serta Allah SWT kurniakan tubuh badan yang sihat walaupun kamu kafir dan Allah SWT juga kurniakan kekuatan akal fikiran untuk mereka berbahasa. Allah SWT sebutkan lagi ada ramai lagi daripada kaum-kaum lain yang mempunyai perangai seperti ini. Melalui surah Ibrahim ini, ia merupakan seperti satu jendela untuk membuka satu lipatan sejarah masa lampau yang panjang. Ada diantara kisah-kisah kaum daripada zaman Rasul-rasul terdahulu yang tidak diperihalkan oleh Allah SWT, namun melalui ayat ini fahamlah kita bahawa perangai  yang dimiliki oleh kaum yang dikisahkan ini adalah perangai yang diwarisi turun-temurun.

Perangai mereka sama, iaitu mereka didatangkan dengan penyelamat dan diajak kepada kebaikan namun mereka meletakkan jari mereka di bibir. Terdapat pelbagai tafsiran yang diberikan oleh para ulama mengenai meletakkan jari di mulut ini dan ianya saling melengkapi. Pertamanya tafsiran ulama ialah mereka gelak terbahak-bahak sampai mereka tutup mulut mereka ditakuti makanan dari perut mereka keluar. Ini satu penghinaan yang mereka lakukan kepada Rasul mereka yang datang membawa risalah untuk menyelamatkan mereka daripada kekufuran.

Tafsiran kedua mereka menutup mulut kepada rasul sebagai gambaran jijiknya mereka dengan para rasul yang datang membawa kebenaran kepada mereka. Manakala, tafsiran ketiga pula membawa maksud mereka tidak mahu bercakap apa-apa selepas ini dengan memberi isyarat menutup mulut mereka. Ini adalah gambaran perjuangan para rasul berhadapan dengan karenah kaumnya zaman berzaman.

Pengajaran yang dapat kita lihat mengenai kaum-kaum yang terdahulu adalah perangai yang ada pada manusia apabila mereka lalai dan leka dengan pelbagai nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT, nikmat umur, nikmat sihat dan nikmat ilmu.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 Ogos 2016
\"2016-08-23\"
Scroll to Top