Usah Lesu Usah Jemu

HIDUP mesti mempunyai tujuan untuk beribadah kepada ALLAH SWT. Setiap ibadah samada yang wajib mahupun sunat merupakan suatu amalan kebaikan dimana laluan hidup ini harus disemai untuk melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya. Kebaikan yang dilakukan bukan sahaja untuk diri sendiri, bahkan akan merebak dan menyebarkan menafaat tersebut terhadap orang lain.Asas kepada kebaikan yang telah dilaksana itu melahirkan rasa ketenangan dan kebahagiaan bukan sahaja untuk akhirat kelak tetapi juga akan dirasai di dunia ini.

Istilah kebaikan ini boleh disemai jika seseorang itu melaksanakan kebaikan, maka mereka itulah orang yang pertama mendapat kebaikan walaupun ianya dibuat untuk orang lain. Jika matlamat hidup untuk memperoleh kebaikan melalui perlaksanaan ibadah, kita tidak akan lesu dan jemu. Oleh itu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam segmen ‘Islam Itu Indah’ yang bersiaran di IKIMfm pada hari Rabu jam 10.15 pagi yang lalu membawakan sebuah bicara mengenai topik ‘Usah Lesu Jangan Jemu’.

Fitrah sebagai manusia merupakan makhluk yang lemah dan sememangnya akan wujud rasa jemu  dan lesu. Namun dalam konteks yang lebih jelas dalam membicarakan topik ini adalah jemu dan lesu yang berpanjangangan merupakan suatu perkara yang perlu dihindari khususnya buat semua umat Islam. Kehidupan duniawi adalah berdasarkan tujuan hidup dan bukan hanya untuk mencapai keperluan hidup semata-mata.

Setiap perbuatan, fikiran dan perasaan adalah bersandarkan pada dunia semata-mata yang disebabkan kerana harta, kuasa, rupa dan nama. Perkara yang sedemikian akan terus mengundang jemu kerana kehidupan hanya berlandaskan tujuan tertentu sahaja. Namun bagi mereka yang tidak mendapat harta, kuasa, rupa dan nama, mereka akan menjadi lesu. Apabila sibuk yang tidak berkesudahan, letih yang berpanjangan dan kesedihan yang berulang-ulang maka itu merupakan satu penipuan oleh dunia yang menjadikan diri untuk mengejar kepentingan semasa bukannya tujuan hidup.

Memburu kehidupan ini merupakan sesuatu yang memenatkan. Oleh itu, berehatlah dengan ibadah solat. Jemu dan lesu akan terus menyelebungi kehidupan jika tidak melakukan ibadah. ALLAH SWT berfirman “Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang) hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang) berkata: \”Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain\”, serta bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu: Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya. Dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang menghina”, surah An-Nisa ayat 150 dan 151.

Manusia dapat mengetahui akibat dari kesudahannya apabila melaksanakan keburukan mahupun kejahatan. Mereka tetap melakukannya tanpa mengira kesan dan impak kepada diri sendiri lebih-lebih lagi dalam sifat keburukan. Perkara ini adalah disebabkan oleh beberapa golongan iaitu terdiri daripada golongan yang jahil. Jahil merupakan perkara yang tidak tahu dan ianya boleh dibahagikan kepada empat persoalan iaitu siapa diri kita? Siapa pencipta Kita? Apakah hakikat hidup didunia? Bagaimana kesudahan akhirat?.

Jika manusia tidak mengetahui perkara ini maka mereka tidak akan melakukan kebaikan. Keseluruhan perkara ini boleh dijawab dengan persoalan dari mana kita datang? untuk apa kita dijadikan? kemana kita pergi selepas ini?. Persoalan ini juga harus dijawab secara jelas supaya manusia itu tidak jahil dan akan mengetahui tujuan hidup. Oleh yang demikian, disinilah pentingnya ilmu dan kefahaman dalam Islam melalui ibadah yang dilakukan akan memberi jawapan kepada mereka tentang konsep kehidupan yang sebenar berpandukan kepada ALLAH SWT.

Golongan seterusnya adalah mereka yang mempunyai ilmu dan mengetahui akibat kejahatan mahupun manfaat kebaikan tetapi tidak mampu mengawal hawa nafsu serta melawan tipu daya syaitan. Oleh kerana ilmu itu hanya di akal dan pengetahuan yang ada tidak menggerakkan kemahuan kebaikan, mereka tetap melakukan kejahatan tersebut walaupun mengetahui perkara itu tidak baik. Perbuatan ini turut dilakukan oleh mereka yang mempunyai tahap ilmu agama tinggi mengaku menyesal atas perbuatan tidak baik tersebut tetapi mereka tunduk pada hawa nasfu. Sebagai contoh mengumpat itu merupakan satu kejahatan namun mereka yang berada dalam kalangan ini mengetahui akan kejahatan tersebut tetapi tetap melalukannya. Golongan ini perlu diberi dakwah, tarbiyah serta pendidikan yang membina rohani.

Seseorang yang ada kepentingan dunia seperti mengejar harta, pangkat dan nama adalah termasuk dalam golongan lesu dan jemu dimana mereka merasakan rugi serta tidak dapat keuntungan jika membuat ketaatan. Sebagai contoh, agama Islam melarang umatnya mengamalkan riba’. Mereka yang terlibat dalam urusan riba’ ini akan rasa rugi dan tidak akan maju perniagaannya jika meninggalkan riba’ tersebut. Secara ringkasnya mereka ini perlu membuat perkara yang tidak baik untuk mendapatkan keuntungan peribadi dimana mereka melakukan kejahatan dalam kebaikan. Oleh itu, golongan sebegini perlu disekat kepentingannya dengan pendedahan dan penerapan hukum-hukum agama Islam.

Selain itu, mereka yang mempunyai fahaman ideologi terpesong adalah tergolongan dalam kalangan orang yang lesu dan jemu. Mereka menyangka yang baik itu adalah kejahatan dan yang jahat itu merupakan kebaikan. Fahaman mereka merasakan Islam itu tidak betul dan yang betul adalah akal fikiran mereka sahaja. Sebagai contoh, golongan sebegini adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai fahaman komunis, sosialis serta liberal kapitalis. Mereka mengubahsuai dari cara hidup berlandakan Islam mengikut kepada acuan hidup mereka yang lebih menyimpang kearah kesesatan akidah.

Golongan ini perlu disekat, dielak dan dijauhi dengan memberi bimbingan tarbiyah dari awal terhadap golongan-golongan pertama tadi sebelum mereka terpesong fahaman. Memburu kepentingan dunia tidak salah jika harta, nama, pangkat, kuasa digunakan untuk kebaikan dan manfaat berteraskan syarak. Oleh itu, diakhir zaman ini dakwah dari sudut percakapan tidak lengkap tanpa menyediakan alternatif dan jalan penyelesaian. Islam mesti ditegak dengan cara hidup yang betul dimana perlu mempunyai ekonomi islam, hiburan islam,  pendidikan Islam serta menjadikan Islam itu ‘way of live’ sebagai solusi kepada hidup yang berdasarkan tujuan bukannya kepentingan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Ogos 2016
\"2016-08-24\"
Scroll to Top