Mekah, 4 Jun (IKIM) – Malaysia menjadi satu-satunya negara yang membuat rondaan pemeriksaan dari bilik ke bilik penginapan Jemaah bagi mengesan keadaan kesihatan jemaah haji Malaysia yang berada di Tanah Suci.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Tabung Haji (TH), Dr Nur Fatihah Oh Abdullah berkata, program yang dikenali sebagai Ziarah Rahmah itu juga turut menjalankan aktiviti promosi kesihatan dan aktiviti pencegahan penyakit berjangkit. “Kita juga bertanyakan khabar, beri pendidikan kesihatan dan kenal pasti jika ada mereka ada masalah kesihatan akan dirujuk ke klinik ataupun pakar yang berkenaan.
Dr Nur Fatihah berkata, melalui aktiviti itu juga, pihaknya dapat mengesan penyakit yang dihadapi jemaah haji lebih awal sebelum ia menjadi lebih serius.
“Ada juga kes jemaah yang tidak tahu dirinya sakit tapi bila pasukan pergi ziarah dapat kesan seperti seorang warga emas ini alami dehidrasi sebab kurang air. Jadi tindakan awal ini dapat selamatkan warga emas itu,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini pihaknya telah menziarahi 12,671 jemaah yang meliputi 2,551 bilik.
Katanya, Ziarah Rahmah itu bermula jam 8 pagi hingga tengah hari kerana kebiasaan pada waktu itu jemaah berada di bilik selepas pulang daripada solat Subuh di masjid.
NORHAYATI PARADI