Galak suntik Pneumokokal & Influenza elak jangkitan paru-paru

 

\"\"

 

Mekah, 2 Jun 2023: Lembaga Tabung Haji (TH) menjelaskan isu yang tular berkaitan keadaan kesihatan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci ketika ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Dato\’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, \”Pada ketika ini hanya seramai 29 orang jemaah haji atau 0.2 peratus daripada 13 ribu jemaah yang telah sampai di Tanah Suci berada di dalam pusat rawatan TH. Seramai 23 jemaah haji dirawat di Pusat Rawatan Makkah manakala enam (6) orang di Pusat Rawatan Madinah.\”

Beliau menjelaskan seramai sebelas 11 orang (empat (4) di Madinah dan tujuh (7) di Makkah) yang masih dirawat akibat jangkitan paru paru disebabkan keadaan cuaca yang panas dan berdebu, namun kesemua jemaah berada dalam keadaan yang baik dan stabil.

Beliau berkata demikian ketika menyambut ketibaan jemaah Malaysia Penerbangan Pertama Terus Dari Kuala LumpurĀ  masuk ke Mekah bagi menunaikan Ibadah Haji 1444H dari kalangan Jemaah KT 044 dari Maktab 80 di Hotel Fajer Al Badea di sini, hari ini.

Galakkan pengambilan vaksin Pneumokokal dan Influenza kepada Jemaah

Doktor pakar di Pusat Rawatan TH di Madinah mendapati sebahagian jemaah mendapat jangkitan paru-paru disebabkan tidak mengambil suntikan Pneumokokal dan Influenza sebelum berlepas ke Tanah Suci. Kedua-dua suntikan ini adalah tidak diwajibkan namun sangat digalakkan buat jemaah.

Tambahnya lagi, suntikan imunisasi pilihan ini amat digalakan untuk membina daya pertahanan badan bagi mencegah dan melindungi jemaah ketika menunaikan ibadat haji sebagaimana yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Walaupun suntikan ini adalah pilihan, namum TH telah memberi penerangan kepentingan mengambil suntikan ini semasa kursus asas haji dan kursus Perdana Haji. Pakar-pakar perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah memberi taklimat semasa sesi tersebut.

Oleh yang demikian, para jemaah haji yang masih belum berlepas ke Tanah Suci disarankan untuk mengambil suntikan vaksin Pneumokokal dan Influenza untuk tujuan pencegahan yang lebih baik daripada rawatan.

TH sentiasa mengambil berat dan mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan para jemaah haji negara. TH turut menyediakan prasarana perubatan dan membawa pasukan perubatan yang terdiri daripada pakar pakar kesihatan untuk memberi khidmat kepada jemaah haji pada setiap musim haji.

 

NORHAYATI PARADI

Melaporkan dari Mekah Al-Mukaromah

Scroll to Top