SKIM GALAKAN PENGGUNAAN MOTOSIKAL ELEKTRIK (MARiiCas), PERKUKUH EV & EKOSISTEM MOBILITI HIJAU

KUALA LUMPUR, 8 DISEMBER 2023 (IKIM) – YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini telah merasmikan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik.

Inisiatif tersebut, yang telahdiumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa ucapan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023 yang lalu, adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk merealisasikan agenda pembangunan secara lestari.

Umumnya, industri automotif global kini berada di dalam fasa peralihan untuk memperkenal dan mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) sejajar dengan perkembangan teknologi semasa dan keperluan dunia untuk segera mengurangkan pelepasan karbon

Peningkatan di dalam penggunaan EV di dalam negara dapat mendorong industri automotif tempatan untuk mempergiatkan aktiviti pembangunan dan pengeluaran EV.

Inisiatif ini, yang menawarkan bantuan dalam bentuk insentif rebat adalah bagi membantu memberi keyakinan dan peluang kepada rakyat untuk merasai teknologi motosikal elektrik sebagai medium pengangkutan harian.

Inisiatif ini, yang dijenamakan sebagai “MARiiCas”, menyediakan rebat sehingga RM2,400, yang mana, ianya dibuka kepada rakyat Malaysia dengan pendapatan tahunan RM120,000 ke bawah.

Dengan slogan “Memacu Kelestarian”, inisiatif ini adalah seiring dengan hasrat Kerajaan Madani ke arah mencapai sasaran karbon sifar seawal tahun 2050 dan ianya secara tidak langsung akan dapat meningkatkan kelestarian alam melalui penerapan teknologi kenderaan elektrik di samping meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

“MARiiCas” akan diselaraskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) selaku agensi pelaksana.

Sesi pelancaran ini turut menyaksikan pengaktifan Platform permohonan MARiiCas oleh MARii bagi membolehkan pemohon untuk menyemak kelayakan serta memohon bagi insentif ini.

Melalui platform ini juga, pemohon boleh mengakses maklumat berkaitan model-model motosikal elektrik yang ditawarkan serta menyemak kelulusan permohonan. Platform ini boleh diakses menerusi laman sesawang insentif.marii.my bermula 8 Disember 2023.

Tengku Zafrul Aziz berkata “Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050, salah satu misi di bawah New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 iaitu “Push for Net Zero” telah menggariskan EV sebagai pemacu pertumbuhan utama ekonomi hijau.

Justeru itu, pelancaran MARiiCas pada hari ini adalah tepat pada masanya dan MITI percaya inisiatif ini berupaya merancakkan penerimaan rakyat untuk beralih daripada penggunaan Internal Combustion Engine (ICE) kepada EV. “MARiiCas” dilaksanakan dengan kerjasama syarikat pengeluar motosikal elektrik tempatan.

Dari perspektif yang lain, ianya diharap dapat membantu pencapaian sasaran 20% jualan tahunan kenderaan adalah electrified vehicles (xEVs) pada tahun 2030 seperti mana yang telah ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap – NETR)”.

Mengulas lanjut belaiu berkata komitmen kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap penerimaan rakyat untuk beralih kepada kenderaan berasaskan elektrik adalah bersifat menyeluruh, yang mana, manfaat mobility EV tidak hanya terhad kepada kereta sahaja, malah turut termasuk motosikal elektrik yang juga merupakan medium penting pengangkutan rakyat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz, sehingga kini, sebanyak 11 syarikat pengeluar motosikal elektrik tempatan melibatkan sebanyak 12 model telah berdaftar dan melepasi syarat kelayakan utama yang telah ditetapkan untuk disenaraikan sebagai syarikat pembekal motosikal elektrik di bawah program ini.

Tambah beliau syarikat-syarikat ini telah memenuhi kriteria utama dari segi komitmen pemasangan secara tempatan, mencapai jarak perjalanan minimum sejauh 100km bagi setiap pengecasan penuh serta mendapat Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (Vehicle Type Approval – VTA) dari Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).

MARii (Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute) adalah sebuah institut yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) pada tahun 2010, dan merupakan sebagai pusat kepakaran untuk membangunkan industri automotif, robotik dan IoT di Malaysia, serta menggalakkan inovasi dan penggunaan teknologi dalam sektor ini.

Scroll to Top