Sayyidina Fudhail bin Iyad

SAYYIDINA Fudhail bin Iyad merupakan seorang tokoh yang sangat terkenal dengan ilmu hadith, feqah dan tasawwuf. Beliau yang disebut di dalam kitab Tahzibul Kamal karangan al-Imam al-Mizzi sebagai “salah seorang orang soleh yang dipunyai di dunia ini dan orang yang sangat kuat beribadah”. Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin jam 5 petang, Ustaz Muhadir Hj Joll berkongsi kisah mengenai seorang lagi tokoh tabi’in yang sangat hebat dan dikagumi, Sayyidina Fudhail ibn Iyyad atau nama sebenarnya, Sayyidina Abu Ali al-Fudhail ibn Iyad ibn Mas’ud ibn Basyar al-Tamimi al-Yarbu’I al-Khurasani.

Beliau digelar dengan nama ‘Abidul Haramain yang bermakna orang yang kuat beribadah di Makkah dan Madinah. Beliau digelar begitu kerana ibadahnya sangat luar biasa sehingga beliau sangat terkenal di kalangan penduduk dua kota itu. Jarang orang dapat mengatasi kehebatan ibadah beliau sehingga beliau mendapat gelaran tersebut. Beliau lahir di Samarkand, Uzbekistan pada tahun 107 Hijrah dan beliau sezaman dengan Imam Malik r.h. Beliau membesar di kota Abiyud terletak antara daerah Syaraz dan Nasa. Beliau belajar dan mendalami ilmu agama, terutamanya dalam bab hadith dan ilmu hadith di Kuffah, Iraq. Setelah beliau terkenal menghafal hadith di Kufah, beliau akhirnya menjadi ahli hadith dan selepas itu beliau berpindah ke Makkah.

Beliau telah mendapat didikan daripada guru-guru yang sangat hebat. Antara yang mendidik beliau ialah Imam A’masy, al-Imam Saidina Jaafar al-Saadiq, al-Imam Suffian al-Tsauri, al-Imam Mansur ibn Mu’tamar, al-Imam Hisyam ibn Hasan, al-Imam Sulaiman al-Taimi, al-Imam Auf al-A’rabi serta ramai lagi nama-nama hebat yang mendidik beliau menjadi seorang tokoh ulama yang hebat.

Sayyidina Fudhail ibn Iyyad terkenal dengan kisah taubatnya. Beliau sebelum terkenal sebagai seorang tokoh ulama yang disegani, beliau pada awal usianya pernah menjadi seorang perompak atau penyamun di tengah jalan. Al-Imam Ibnu ‘Asakir meriwayatkan, sanadnya daripada al-Fadhal ibn Musa “sesungguhnya Fudhail ini dahulu seorang perompak atau penyamun jalanan yang menyamun di jalan-jalan antara Abiyut dan Syarhaz. Beliau menyamun seorang diri dan sangat digeruni serta ditakuti orang sehingga beliau terkenal dengan sifatnya itu”. Ketika beliau terkenal dengan kisah rompakannya, beliau terpikat dengan seorang gadis yang cantik. Pada satu ketika, beliau memanjat satu tembok untuk melihat gadis tersebut. Ketika beliau memanjat tembok, beliau terdengar satu bacaan ayat al-Quran pada ayat 16 Surah al-Hadiid yang bermaksud : Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran al-Quran yang diturunkan… Mendengar sahaja ayat ini, maka luluh hatinya, hancur perasaannya mengenangkan doas yang telah dibuat olehnya.

Lalu di mengatakan ‘sekarang ini aku ingin bertaubat Ya Allah.’ Maka beliau pulang untuk istirehat dan di dalam perjalanan terdapat rumah kosong yang sangat usang dan pada ketika itu lalu kafilah di situ dan beliau mendengar kata-kata kafilah tersebut. Ada di antara mereka yang ingin meneruskan perjalanan, sementara itu ada juga yang menyebut “tunggu dulu, jangan jalan malam ini dan kita tunggu sehingga pagi sebab Fudhail nanti akan tunggu ditengah jalan untuk merompak dan dia sering buat di tengah malam. Nanti dia akan rampas barang-barang kita.” Ketika itu, Sayyidina Fudhail berada di dalam rumah usang tersebut. Fudhail saat mendengarkan kata-kata itu, beliau kemudian bercakap pada dirinya “aku malam-malam sebegini berjalan dalam rangka membuat maksiat dan orang-orang Islam yang lain kalau lalu akan takut dengan ku. Tidaklah aku lihat Allah bawa aku dalam keadaan sebegini, mendengar perbualan mereka sebegini, melainkan ada tujuan untuk aku bertaubat.” Lalu selepas itu beliau berdoa kepada Allah SWT “Ya Allah, sekarang aku telah bertaubat kepada-Mu dan aku jadikan taubat aku ini dengan tinggal di Baitullah al-Haram.”

Semenjak daripada itu, beliau benar-benar bertaubat dan beliau jadikan taubatnya itu untuk lebih berada di Masjidil Haram. Ketika di Makkah, beliau menguruskan air menggunakan seekor unta dan kemudian menjual air tersebut untuk menyara dirinya dan keluarga. Begitu sederhana hidupnya dan beliau tidak mahu menerima sebarang bentuk bantuan daripada pemerintah pada ketika itu. Begitulah kisah hebat taubat seorang yang bernama Fudhail ibn Iyyad sehingga menjadi seorang tokoh tabi’in yang sangat luar biasa.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 Disember 2017
Scroll to Top