Mencari Keberkatan Masa

KITA sekarang baru berada di tahun baharu masehi, 2018.  Rasa begitu pantas masa berlalu seolah baru semalam kita menyaksikan percikan bunga api menyambut ketibaan tahun 2017, dan tiba-tiba kita sudah berada di tahun 2018. Inilah juga antara tanda-tanda akhir zaman.  Dalam satu hadith dari Anas bin Malik, Baginda SAW menyebut mafhumnya “ Tidak berlaku hari kiamat sehingga masa menjadi cepat, setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari pula dirasakan seperti sejam  dan sejam pula dirasakan seperti kerdipan cahaya api” (HR Tirmidhi). Begitulah pantasnya masa berlalu.

Ketika Baginda SAW melafazkan kata-kata mulia ini 1400 dahulu, para Sahabat r.anhum pada masa itu mungkin tidak begitu memahami apa yang Baginda SAW maksudkan kerana pada masa dahulu ianya tidak begitu memberi makna sepertimana yang kita fahami hari ini. Namun hari ini kita merasakan sendiri dan mengakui hakikat betapa kita begitu miskin apabila bercakap mengenai masa. Setiap hari kita mendengar ungkapan “saya tidak sempat”, “saya tidak ada masa” atau seumpamanya samada yang kita sendiri lafazkan atau orang lain. Manusia dahulu kala, kehidupan mereka diatur mengikut peredaran masa. Mereka mula bekerja apabila matahari mula terbit dan apabila matahari tenggelam mereka bersiap untuk tidur kerana mereka tidak boleh melihat apa-apa kerana gelap, dan begitulah seterusnya. Kehidupan mereka berasaskan kepada masa tabi’i yang ditentukan melalui peredaran matahari. Kehidupan mereka begitu terikat dengan persekitaran dan cukup harmoni dengan alam. Inilah yang disebutkan dalam Firman Allah SWT: “Kami jadikan malam sebagai pakaian – untuk kamu beristirehat, dan kami jadikan siang untuk kamu mencari rezeki”

Apabila berlaku revolusi industri dan terciptanya janakuasa elektrik dan lampu, manusia tidak lagi terikat dengan peredaran masa yang diatur melalui peredaran matahari kerana manusia boleh bekerja hatta pada malam hari sekalipun. Manusia menjadi semakin sibuk. Matahari naik atau tenggelam tidak memberi apa-apa makna lagi kepada kehidupan manusia. Kita menjadi semakin terpisah dengan peredaran matahari, masa pada ketika itu bolehlah dikatakan  \”masa mekanikal atau industri\” bukan lagi masa semulajadi mengikut fitrah tabi’i.

Dan pada hari ini, masa berubah menjadi masa siber apabila manusia menjadi semakin semakin sibuk sehinggakan 24 jam kita lihat manusia bekerja, ada restoran 24 jam, ada kedai runcit 24 jam, ada klinik 24 jam, siaran TV 24 jam dan seumpamanya. Siang dan malam seolah sudah tiada beza lagi. Apa yang boleh dibuat di siang hari seolahnya boleh juga dibuat di malam hari. Ada yang menonton TV sepanjang malam, ada yang menghabiskan masanya di pusat-pusat hiburan 24 jam. Bahkan hari ini kesibukan kita menjadi semakin menjadi-jadi. Masa berlalu sepantas kilat selaju kelajuan internet 4G atau lebih laju lagi. Semuanya menjadi semakin pantas dan laju. Anak-anak kita siang malam dengan gajet permainan mereka, tidak lagi tidur pada waktu yang sepatutnya tetapi terpaksa dipaksa tidur kerana mereka sibuk dengan gajet permainan elektronik, mak bapak pula ada ketikanya sibuk dengan peralatan telefon pintar masing-masing, bermain whatsapp, sms ketika memandu sudah menjadi semacam lumrah walaupun ianya adalah satu kesalahan dan merbahayakan keselamatan jalanraya. Masa menjadi masa siber yang 24/7 menyibukkan kita  sehingga kita tiada masa untuk satu sama lain, masa ibu bapa untuk anak-anak. Kita menjadi berkejar ke sana ke mari. Kita sudah hilang nilai dan hakikat masa yang sebenarnya.  We have lost the sense of time. inilah yang disebutkan oleh hadith tadi “Yataqarabuz zaman”.

Hakikatnya, masa yang kita miliki amat berharga sekali. Nilaian masa bukan sekadar emas, tetapi masa itu nyawa kita, masa itu sebahagian daripada diri kita. Setiap kali kita menghembuskan nafas kita, maka sebahagian daripada umur kita telah berlalu dan semakin pendek usia kita, semakin dekat kita dengan kubur kita. tengok jam masa. Cuba perhatikan jam zaman dahulukala sebelum ada teknologi jam seperti hari. Jam zaman dahulu yang diperbuat daripada gelas yang diisi pasir dan setiap saat pasir itu akan turun ke bahagian bawah hinggalah habis pasir di bahagian atas itu. Bagitu juga lah usia kita sekarang ini, butir-butir pasir usia sedang berlalu dan  setiap saat kita sedang menghampiri kematian kita.

Sebab itulah Imam Hassan al-Basri berpesan: “Sesungguhnya kamu adalah himpunan hari-hari, apabila berlalunya hari, maka berlalulah sebahagian darimu”. Namun manusia seringkali leka dan lalai dengan masa, dan membuang masa sepertimana yang disebut olehBaginda SAW: “Dua nikmat yang ramai manusia sering sia-siakan iaitu kesihatan dan masa lapang” (HR Bukhari) Sekiranya kita menghargai masa sudah pasti kita akan menjadi orang yang tidak mensia-siakan waktu, mengisi waktu dengan perkara-perkara yang bermanfaat yang memberi keuntungan untuk kehidupan dunia dan akhirat kita. Apa yang kerap berlaku kepada kita ialah kita menyalahkan masa, tidak cukup masa sedangkan sebenarnya masa itu cukup dan banyak sekiranya kita atur dan susun mengikut prioriti dan menyusunnya  dan tidak membuang masa, nescaya dia akan memberi barakah kepada hidup kita. Apabila kita tidak menjaga masa, suka membuang masa, lmasa hilang barakahnya. Namun, kita menyalahkan masa walhal kesalahan itu dalam diri kita sendiri. Imam Shafie RA mengungkapkan perkara ini “Tidaklah masa itu bersalah, tetapi kita yang bersalah bukan yang lain”.

Begitu juga seorang ahli falsafah Stoic di Kurun ke-3 Masehi bernama Seneca pernah berkata  \”The problem is not that we have such a short space of time, but we waste so much of it. Life is long enough and it has been given in sufficiently generous measure to allow the accomplishment of the very greatest things if the whole of it is well-invested\” yang kalau diterjemahkan boleh membawa maksud “masalahnya bukan kerana kita diberi masa yang pendek, tetapi kita membuang masa yang banyak. Hidup ini cukup panjang  untuk kita mencapai kejayaan sekiranya setiap saat kita gunakan sepenuhnya”.

Justeru untuk mendapatkan manfaat masa sepenuhnya, Imam al-Ghazali RA menyebut betapa masa itu perlu diatur, disusun dan dijadualkan. Bukan membiarkannya berlalu begitu sahaja. Menetapkan masa dalam hidup kita, atau menjadualkan diri kita dengan amalan-amalan tertentu ini akan menambah barakah masa itu. Imam al-Ghazali menyebut betapa masa itu perlu diatur, disusun dan bukannya membiarkan berlalu begitu sahaja sepertimana haiwan yang tidak menghargai masa. Sebab itulah juga Baginda SAW berpesan agar kita memanfaatkan masa dengan Sabda

Baginda SAW dari Ibnu Abbas RA, mafhumnya:  “Manfaatkanlah lima perkara sebelum lima perkara. Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu, waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu, masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu, masa luangmu sebelum datang masa sibukmu, hidupmu sebelum datang matimu.” (HR. Al Hakim)

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 2 Januari 2018
Scroll to Top