Melampau Batas

PERBUATAN melampaui batas sebagaimana yang dilarang oleh Allah SWT bererti mengikut hawa nafsu dan hanya iman yang terdapat di dalam diri manusia yang mampu menundukkan dorongan hawa nafsu tersebut. Peringatan ini disampaikan melalui firman Allah di dalam surah al-Maidah, ayat 77: “Katakanlah: \”Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul”. Sesungguhnya manusia yang hidup semata-mata mengikut hawa nafsunya dalam menikmati kurniaan Allah, tergolong di kalangan mereka yang sedang sakit jiwanya dan sentiasa berada jauh daripada jalan kebenaran.

Perkongsian bersama Ustazah Muzayyanah Abdullah di dalam slot Tarbiyah di IKIMfm pada setiap Jumaat, jam 10.15 pagi, turut mengingatkan agar manusia sentiasa berdoa kepada Allah dan memohon agar sentiasa berada di dalam kebenaran kerana hanya yang benar dipandu Allah menerusi hidayah. Apa yang paling ditakuti ialah apabila diri berasa berada di dalam kebenaran sedangkan tanpa hidayah-Nya kita berada di dalam kesesatan, lalu sanggup merubah ketentuan Allah seperti menghalalkan yang haram, mengubah ayat-ayat Allah sehingga dikunci mati hati mereka sehingga tidak lagi dapat membezakan batas-batas yang ditentukan oleh Allah  dan Rasul-Nya.

Walaupun manusia berada di dalam keadaan berilmu sekalipun kadang-kala iblis membuka ruang agar manusia terjebak di dalam perlakuan yang melampaui batas. Melampau di dalam beragama dan cara hidup seharian dipandang Allah sebagai perbuatan yang melanggar larangan-Nya. Panduan agar tidak tergolong di dalam kalangan manusia yang melampaui batas, seharusnya berpandukan dengan ilmu dan berdampinglah dengan orang-orang yang salih. Contoh yang terbaik di dalam menjalani kehidupan sebagai mukmin yang tidak melampaui batas sudah tentunya dapat dilihat di dalam diri Rasulullah SAW, kerana Baginda juga melakukan ibadah dan rehat serta menjalani kehidupan berkeluarga.

Orang yang berputus asa di dalam menghadapi cabaran hidup adalah orang yang tidak bersabar terhadap sesuatu yang diberikan Allah sebagai sebahagian takdir di dalam hidupnya, sedangkan setiap manusia diperintahkan agar beriman terhadap qada dan qadar. Malah sifat berputus asa ini merupakan ciri-ciri mereka yang munafik, selain manusia yang membazir di dalam memanfaatkan nikmat Allah dan sesungguhnya mereka ini tidak tergolong di kalangan ahli syurga.  Islam menggariskan agar umatnya hidup di dalam keadaan serba sederhana walaupun nikmat yang dikurniakan Allah SWT semuanya percuma. Tetapi apa yang lebih dipandang ialah nikmat yang diperolehi oleh orang lain, tidak pula sampai kepada dirinya.

Setelah berusaha untuk melakukan ibadah kepada Allah, tidak perlu ada rasa takut terhadap anggapan manusia lain. Adalah penting untuk beristiqamah bagi mereka yang telah menyempurnakan ibadah sebaik mungkin dengan penuh keikhlasan, tanpa terkesan dengan apa yang diperkatakan oleh manusia yang mempunyai niat tidak baik dan bersifat dengki. Mereka perlu yakin bahawa setiap perkara yang dilakukan hanya untuk mendapat keredaan Allah semata dan mempunyai niat baik disebalik ibadah yang disempurnakan tanpa sebarang rasa tertekan. Orang yang berjihad pada jalan Allah, tidak akan terlepas pandangan rahmat daripadanya.

Selain itu elakkan perbuatan menonjol penampilan diri dengan alasan agar kelihatan lain daripada yang lain atau ingin nampak lebih istimewa, kerana dikhuatiri perbuatan yang dilakukan itu melampaui batas. Rasulullah SAW sendiri mengingatkan umatnya supaya tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menjadi bahan bualan kepada orang lain sama ada dari segi pemakaian, perwatakan yang melampau dan sebagainya.

Tidak ada istilah putus asa bagi setiap manusia yang menjalani kehidupan di dunia ini. Allah mengurniakan nikmat kepada hamba-Nya untuk melihat sama ada mereka mampu bersyukur dengan segala pemberian-Nya. Jangan sesekali menjadi manusia yang kufur nikmat, dan memohon kematian kerana mereka yang berputus asa daripada rahmat Allah, ditakuti akan melihat kemewahan di dunia dengan pandangan yang sia-sia, malah Allah juga tidak sudi memandangnya pada Hari Akhirat kelak.  Rezeki yang melimpah ruah dan kemampuan untuk memiliki segalanya merupakan kurniaan Allah kepada sesetengah golongan manusia. Rasulullah SAW juga dilimpahi kekayaan namun Baginda memilih untuk tidak membazir, dan setiap kali ingin berbelanja, Baginda teringat bahawa ada di kalangan umatnya yang masih kelaparan dan tidak sempurna pakaian serta tempat tinggal mereka. Sedangkan isteri Baginda sendiri iaitu Saidatina Khadijah yang dilimpahi kemewahan, berpakaian comping-camping kerana tidak mahu membazir.

Berusahalah untuk bersahabat dengan orang-orang yang salih dan berazam juga untuk mati ketika berada di kalangan mereka. Jangan sesekali pada penghujung kehidupan di dunia, mereka berakhir dengan menjadi sahabat kepada syaitan kerana perbuatan membazir yang menjadi amalan ketika hidup dahulu.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 Disember 2017
Scroll to Top