Safiah binti Abdul Mutalib

ANAK-ANAK kita perlu didedahkan dengan insan-insan hebat di zaman Baginda Nabi SAW yang kuat berjuang demi mempertahankan agama Allah SWT. Begitulah yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hazri Hashim Al-Bindany menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, 5.15 petang. Ustaz berkongsi mengenai kisah seorang penghulu di kalangan para wanita yang sangat dimuliakan. Beliau merupakan orang yang sangat digeruni dikalangan pahlawan-pahlawan kerana beliau merupakan wanita pertama dalam Islam yang menghunuskan senjata, berperang mempertahankan agama Allah SWT yang sangat hebat di medan tempur. Beliau seorang yang tekun di dalam ibadahnya. Beliau adalah seorang pahlawan yang melahirkan seorang pahlawan yang besar kepada kaum Muslimin, bahkan merupakan pahlawan pertama angkatan berkuda kaum Muslimin. Beliau yang dimaksudkan ialah Sayyidatina Safiah binti Abdul Mutalib al-Hashimiah al-Quraisyiah.

Ibu kepada Saidina Zubair bin Awwam ini merupakan ibu saudara kepada Baginda Nabi SAW. Beliau dikatakan memiliki kemuliaan daripada segenap aspek kehidupannya. Bapanya, Abdul Mutalib bin Hashim, datuk Baginda Nabi SAW serta seorang pembesar Qurasiy yang sangat disegani serta orang yang menemukan semula perigi zam-zam setelah sekian lama tidak ditemui. Ibunya, Haalah binti Wahab merupakan kakak kepada ibunda Nabi SAW, Aminah binti Wahab. Suami kepada Safiah ialah al-Harith bin al-Harb, saudara kepada Abu Sufyan bin Harb. Setelah suaminya ini meninggal, beliau berkahwin pula dengan Al-Awwam bin Khuwailid, saudara kepada Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid, isteri Baginda Nabi SAW. Dapat kita lihat betapa dekat dan akrabya hubungan Safiah ini dengan Baginda Nabi SAW sehingga dikatakan, tidak ada manusia yang mempunyai hubungan yang sedemikian dengan Nabi SAW. Apabila Baginda Nabi Muhammad SAW telah diutuskan oleh Allah SWT sebagai Nabi membawa agama, hidayah dan kebenaran. Maka, Safiah binti Abdul Mutalib ini merupakan antara orang yang terawal di kalangan orang yang beriman dan membenarkan kenabian Baginda SAW. Pada ketika itu, maka terhimpunlah lagi kemuliaan pada diri Safiah.

Anaknya, Zubair telah dibesarkan oleh Safiah dengan kasih sayang serta penuh ketegasan. Beliau mempersiapkan anaknya itu untuk menjadi seorang pejuang, berperang di medan jihad. Beliau jadikan mainan harian buat anaknya itu adalah lontaran-lontaran panah serta seni memperbaiki busur-busur panah. Beliau turut mempersiapkan anaknya itu dengan kemahiran berkuda dan bersenjata. Tatkala dilihatnya Zubair malas, maka akan dipukul anaknya itu. Beliau begitu tegas dalam mendidik anaknya sehingga salah seorang saudaranya mengatakan “bukan begini caranya memukul anak. Sesungguhnya engkau memukulnya dengan penuh kebencian.” Maka Safiah mengatakan “sesiapa yang mengatakan aku memukulnya dengan kebencian, maka tipulah dia. Sesungguhnya aku memukulnya agar dia menjadi seorang yang berguna. Aku memukulnya untuk mempersiapkan dia menjadi angkatan perang yang tidak akan terkalah. Aku memukulnya agar dia terbiasa dengan pukulan-pukulan musuh.

Safiah ini telah menyertai kaum Muslimin di kalangan orang terawal memeluk Islam. Begitulah juga dengan puteranya, Zubair ibn Awwam. Mereka berdua telah merasai derita dan kekerasan yang telah dilakukan oleh Kaum Quraisy yang menentang kumpulan-kumpulan yang memeluk Islam. Tatkala Baginda SAW diizinkan oleh Allah SWT untuk berpindah ke Kota Madinah, maka Safiah binti Abdul Mutalib telah sama-sama berhijrah. Beliau meninggalkan Kota Makkah yang sangat dicintai, kenangan-kenangan manis. Beliau turut meninggalkan rumah dan hartanya demi berhijrah bersama Baginda Nabi SAW. Ketika itu, Safiah hampir mencecah usia 60 tahun, tetapi beliau tetap melepaskan peluang menyertai Rasulullah SAW di medan jihad. Beliau pernah bersama Baginda di medan Uhud. Tatkala berada di medan Uhud, pada ketika itu beliau keluar bersama dengan angkatan kaum muslimin serta sekumpulan para wanita lain yang berjihad di jalan Allah SWT dengan tugasan masing-masing. Beliau menyediakan air, membalut luka-luka serta membaiki panah-panah yang patah. Namun, apabila beliau melihat peperangan mula berkecamukan dan orang mula jauh dari Rasulullah SAW, ketika itu Safiah, seorang ibu saudara yang cintakan akan anak saudaranya apatah lagi anak saudaranya itu merupakan Kekasih Allah SWT, maka Safiah tidak berdiam diri seraya menarik pedang turut serta ke kancah peperangan, berjihad membantu Rasulullah SAW. Bahkan dikatakan beliaulah wanita Islam pertama yang menghunuskan senjata dan membunuh kaum musyrikin.

Beliau punyai ketabahan yang sangat luar biasa. Saat Saidina Hamzah gugur di medan Uhud, Rasulullah SAW bimbang akan Safiah terlihat akan Saidina Hamzah kerana Saidina Hamzah merupakan adik kepada Safiah. Lalu Rasulullah SAW menjerit memanggil Zubair untuk melihat ibunya. Apabila ditahan agar tidak melihat keadaan Saidina Hamzah, lalu Safiah berkata “mengapa aku hendak berhenti. Aku juga ingin melihat apa yang telah diperlakukan kepada adikku, Saidina Hamzah dan aku akan rasa bangga kepada Allah SWT kerana adikku berjuang di jalan Allah SWT. Adikku gugur dalam mempertahankan Nabi-Nya. Adikku akan mendapatkan kemuliaan yang akan diberikan oleh Allah SWT.”  Dengan kata-kata itu, menghilangkan juga kebimbangan di hati Rasulullah SAW. Apabila Safiah melihat keadaan Saidina Hamzah, lalu beliau berkata “wahai Rasulullah SAW, Hamzah telah pun mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT. Aku telah melihat sendiri bagaimana mereka melakukan kepadanya. Demi Allah, aku juga akan menghadap angkatan musuh itu tanpa aku rasa takut kerana aku juga ingin meraih kemuliaan sepertimana yang telah diraih oleh saudaraku, Hamzah.” Apabila peperangan Uhud tamat, Safiah pergi menghampiri saudaranya, Hamzah lantas berkata “semua ini berlaku atas ketentuan Allah. Aku redha dengan apa yang telah Allah tentukan buat saudaraku ini. Demi Allah, aku akan bersabar dan aku berserah kepada Allah SWt agar Allah berikan ganjaran yang besar atas kesabaranku ini. Moga Allah mengurniakan kemuliaan kepada saudaraku Hamzah.” Begitulah keadaan Sayyidatina Safiah, selain hebat di medan tempur, beliau juga seorang ibu yang sangat tegas serta menggalakkan anaknya Zubair untuk terus berjihad dan berjuang di jalan Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 Januari 2018
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top