Mengukuh Jiwa Anak-anak Menjadi Berani

SETIAP bayi yang baru dilahirkan lumrahnya akan disertai dengan tangisan, lalu Islam menggalakkan agar bayi itu diazan dan diiqamatkan kerana ia dapat memberi kekuatan kepada jiwa mereka. Malah dengan mendengar azan yang dikumandangkan lima kali sehari, ia mampu menguat dan mengukuhkan jiwa orang-orang mukmin yang seharusnya menjalani kehidupan di dalam keadaan yang berani dan tidak takut menghadapi cabaran. Ujian ketakutan merupakan salah bentuk satu ujian yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia. Sekiranya ketakutan ini tidak dibendung sejak usia kecil, maka ia akan memberi impak yang sangat buruk kepada manusia sehinggalah mereka dewasa kelak. Akhirnya mereka takut untuk berbicara tentang kematian, syurga dan neraka, tidak bersedia untuk berbicara keadaan di Padang Mahsyar dan lain-lain.

Perkongsian menerusi slot Mau’izati yang bersiaran di radio IKIMfm setiap Khamis jam 5.15 petang bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, beliau menjelaskan sepanjang perjalanan hidup manusia, selalunya anak perempuan mempunyai perasaan takut yang lebih berbanding anak lelaki, malah anak lelaki lebih cekal sifatnya. Ini adalah di antara sebab lelaki lebih layak menjadi pemimpin. Namun ia tidak bermakna anak lelaki tidak langsung memiliki rasa takut dan terdapat beberapa faktor yang membentuk perasaan takut tersebut di dalam diri anak-anak.

Para ulama membicarakan berkaitan sebab wujudnya perasaan takut di kalangan anak-anak dan di antaranya berpunca daripada ibu mereka sendiri. Si ibu menakutkan anak-anaknya kepada benda-benda tertentu sama ada haiwan, tempat-tempat yang gelap atau orang yang tidak mereka kenali. Apabila anak-anak di takut-takutkan secara keterlaluan, akhirnya mendorong mereka berkelakuan pasif dan tidak berani melakukan sesuatu. Selain itu, seorang ibu yang terlalu memanjakan anaknya sehingga menyebabkan mereka terlalu bergantung kepadanya untuk menjalani kehidupan seharian, tidak mampu berdikari atau terlalu takut melakukan sesuatu. Seharusnya si ibu perlu memberi dorongan kepada anak-anak untuk melakukan sendiri sesuatu perkara, memikul tanggungjawab, yakin dengan kebolehan diri sendiri dan berpegang kepada kepercayaan bahawa Allah akan sentiasa berada bersama mereka.

Faktor lain yang mendorong perasaan takut di dalam diri anak-anak ialah apabila si ibu tidak membenarkan mereka bergaul dengan orang luar, terlalu mengongkong dan mengurung mereka di dalam rumah. Pergaulan yang sangat terbatas mendatangkan pengaruh yang buruk, malah lebih memudaratkan apabila mereka membesar di dalam keadaan berdampingan dengan gajet dan media sosial sahaja serta interaksi yang sangat terhad dengan manusia di luar alam maya. Malah ibu-bapa yang sering mendedahkan dan menceritakan kepada anak-anak dengan kisah-kisah khayalan berkaitan hantu, jin dan sebagainya, terlalu asyik dengan animasi dan kartun akan mengakibatkan mereka dibayangi rasa takut dan alam khayalan.

Untuk memulihkan situasi anak-anak yang berhadapan dengan perasaan takut yang melampau, seharusnya ibu-bapa mengambil langkah sebagaimana yang disarankan di dalam agama Islam. Iman yang kukuh mampu menangani situasi ini, dengan melakukan amal ibadah kepada Allah SWT agar dapat ditanam keyakinan di dalam diri anak-anak bahawa mereka hanya takut kepada Allah semata-mata. Apabila berhadapan dengan ujian di dalam hidup, diharapkan mereka tidak lagi takut menghadapi manusia, jawatan dan sebagainya. Sebaliknya hanya Allah yang menjadi sumber kekuatan dan keberanian untuk menangani permasalahan hidup serta mengelakkan mereka daripada melakukan kemaksiatan sehingga terhumban ke dalam neraka.

Sesungguhnya manusia itu diciptakan Allah secara fitrahnya berada di dalam keadaan berkeluh kesah dan berada di dalam serba salah apabila dilanda ujian. Tetapi sekiranya dikurniakan harta dan kesenangan, mereka terdorong untuk bersikap kedekut, melainkan orang-orang yang tetap amal ibadahnya kepada Allah. Selain itu untuk mengelakkan anak-anak dibelenggu ketakutan, ibu-bapa perlu memberi ruang kepada mereka untuk membuat keputusan sendiri dan memikul tanggungjawab mengikut kadar perkembangan dirinya sebagaimana pesanan Rasulullah SAW kepada umatnya, bahawa setiap di kalangan manusia adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan di atas apa yang di bawah pimpinannya.

Perkara lain yang perlu diberi perhatian ialah jangan sesekali menakut-nakutkan anak-anak dengan hantu, jin, orang yang jahat dan sebagainya terutamanya ketika mereka sedang menangis dengan tujuan menghentikan dirinya daripada terus menangis kerana perbuatan ini hanya akan menambahkan ketakutan di dalam diri anak-anak. Sewajarnya perlu diingatkan kepada anak-anak bahawa orang mukmin yang kuat dan berani lebih baik disisi Allah berbanding manusia yang lemah. Mereka juga digalakkan bergaul dengan komunikasi yang berkesan di kalangan anak-anak yang lain sejak usia mereka masih kecil dan memberi peluang untuk mereka sering bertemu dan kenal-mengenali di antara satu sama lain. Situasi ini akan membentuk sifat diri penyayang, berkeyakinan tinggi dan boleh dipercayai di kalangan kenalannya, malah dapat mengelakkan terjebak di dalam gejala buli yang kini semakin berleluasa.

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa orang mukmin adalah orang yang mesra, memudahkan urusan orang lain dan Baginda sendiri tidak menyukai umatnya yang sukar didekati atau tidak suka bergaul dengan orang lain. Malah sebaik-baik manusia ialah mereka yang mendatangkan manfaat kepada orang lain. Untuk membina keberanian di dalam diri anak-anak, mereka perlu diceritakan sirah peperangan Rasulullah agar dapat mengenali dengan lebih dekat tokoh-tokoh yang berada di sebalik peperangan tersebut walaupun pada ketika itu masih berusia belasan tahun dan gugur syahid di jalan Allah. Semoga keberanian itu juga mampu dijadikan contoh kepada anak-anak yang bakal mengharungi cabaran yang menanti di sepanjang perjalanan kehidupan mereka kelak.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 Januari 2018
\"\"
Scroll to Top