Mengukuh Pendidikan Rohani Anak-anak

PADA akhir zaman, semakin banyak fitnah yang berlaku di kalangan manusia dan sekiranya jiwa mereka tidak kuat untuk menghadapinya maka sudah tentu mereka akan mudah rebah dan kecundang di dalam menjalani kehidupan di dunia ini, apatah lagi untuk mentaati perintah Allah SWT. Mengukuh peribadi seharusnya bermula daripada awal usia sebagaimana pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ agar terbina peribadi muslim yang cemerlang. Untuk memiliki peribadi orang-orang mukmin perlulah diperkukuhkan beberapa perkara termasuklah pendidikan rohani supaya jiwa anak-anak generasi kini kuat untuk menghadapi ujian pada akhir zaman. Jiwa yang bersih akan membentuk anak-anak yang sentiasa bercakap benar, mampu memperbaiki kekurangan diri, berani, suka melakukan kebaikan kepada orang lain serta dapat menahan diri daripada sifat pemarah.

Melalui perkongsian di dalam slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada setiap Khamis, jam 5.15 petang, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerangkan, anak-anak yang bersih jiwanya juga tidak mudah memberontak, baik nilai akhlak serta rohaninya. Pada pandangan ulama, anak-anak perlu didik supaya bebas daripada tabiat malu yang tidak kena pada tempatnya, dikuasai oleh perasaan takut di dalam jiwanya, kurang keyakinan diri, bersikap dengki di antara satu sama lain dan memiliki tabiat panas baran.

Tabiat utama yang perlu dikikis di dalam jiwa anak-anak ialah perasaan malu yang tidak bertempat. Allah mengurniakan perasaan malu bagi seorang manusia, seawal usianya mencecah umur empat bulan. Pada umur setahun, perasaan malu akan lebih ketara, malah kanak-kanak itu akan memalingkan mukanya apabila ditegur oleh orang yang tidak dikenalinya sehinggalah usianya meningkat kepada tiga tahun, kanak-kanak itu akan sentiasa berada disamping ibu-bapanya. Untuk mengurangkan sifat pemalu di kalangan anak-anak kecil, mereka digalakkan bergaul di antara satu sama lain, sama ada membiasakan diri tetamu yang datang ke rumah, membawa mereka bersama-sama ke majlis kekeluargaan atau membiasakan anak-anak itu berhadapan dengan orang-ramai untuk meyampaikan tazkirah atau menjadi imam.

\"\"

Imam Bukhari dan para sahabat lain telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA yang pada ketika belum baligh dan pernah duduk bersama Rasulullah SAW. Ketika berada di dalam majlis tersebut, tiba-tiba Baginda bermain teka-teki bersama para sahabatnya dan berkata, “Sesungguhnya ada di antara pohon-pohon ini, ada sebatang pohon yang tidak gugur dedaunnya. Pohon itu umpama seorang muslim, maka cubalah kalian memberitahu apakah pohon tersebut”. Para sahabat masing-masing memberikan pendapat mereka dan meneka bahawa pohon itu tumbuh di kawasan pedalaman dan sangat sukar ditemui manusia. Manakala terlintas di fikiran Abdullah bin Umar, pohon yang dimaksudkan Baginda selalu dilihat oleh manusia, tetapi dia sangat malu untuk menyuarakan pandangannya pada ketika itu. Setelah didesak oleh para sahabat yang ingin mengetahui jawapan teka-teki Rasulullah itu, Baginda menjawab bahawa pohon yang dimaksudkan itu adalah pohon kurma. Setelah pulang ke rumah, Abdullah memberitahu ayahnya iaitu Saidina Umar bahawa dia sudah mengetahui jawapan tersebut tetapi malu dan merasa rendah diri kerana pada pandangannya Saidina Abu Bakar dan ayahnya sendiri tidak menjawab teka-teki yang dikemukakan Rasulullah, apatah lagi dirinya yang masih kecil itu. Namun Saidina Umar berkata sekiranya Abdullah memberi jawapannya sebentar tadi, beliau akan merasa lebih gembira dan berbangga dengan kecerdikan anaknya berbanding perasaannya jika dihadiahkan seekor unta yang merah.

Akibat buruk daripada perasaan malu yang tidak kena pada tempatnya akan menyebabkan tersembunyinya sesuatu kebenaran dan mendatangkan mudarat di dalam agama Islam. Peristiwa yang berlaku di zaman khalifah al-makmun, beliau berjalan dan tiba-tiba bertemu dengan seorang anak remaja dan bertanya tentang latar belakangnya. Remaja tersebut menjelaskan bahawa dia adalah anak kepada seorang yang beradab dan berakhlak. Lalu khalifah berkata bahawa itulah keturunan yang paling baik dan kemudian dia bersyair dengan syair yang sangat indah, “Jadilah kamu sebagaimana kamu membesar dengan penuh adab. Kemudian menyebabkan kamu menjadi seorang yang kaya dengan kepujian daripada nasab dan keturunan. Sesungguhnya pemuda yang hebat ini akan sentiasa menyebut, inilah saya yang sebenarnya. Dan bukan orang yang hebat kalau dia sibuk mengira keturunan-keturunan yang hebat.” Orang yang hebat adalah orang yang membina dirinya sendiri.

Pada suatu ketika yang lain khalifah tersebut memasuki sebuah perpustakaan dan bertemu dengan seorang kanak-kanak yang padanya terselit sebatang pen ditelinganya. Khalifah al-makmun bertanya kepada anak itu, “Siapa kamu ini?” Lalu anak itu menjawab, “Saya adalah satu tunas yang baru tumbuh di dalam kerajaan kamu, yang sedang bersenang-lenang dengan kekurniaan kamu, bersedia untuk berkhidmat dengan kamu, dan sayalah yang bernama al-Hassan bin Raja’…” Pertuturan anak itu memukau khalifah tersebut dengan jawapan yang indah dan kelebihan akalnya, menyebabkan khalifah telah mengarahkan para pegawainya untuk memberikan hadiah kepada kanak-kanak tersebut.

Perbezaan di antara sifat malu dan sifat segan sebagaimana pandangan ulama ialah, malu adalah apabila ia tidak kena pada tempatnya dan ia dilarang di dalam agama, iaitu enggan dan tidak mahu bertemu dengan orang lain. Tetapi sifat segan ialah apabila anak-anak mula berpegang kepada dasar keutamaan dan adab-adab di dalam agama. Dengan wujudnya adab ini disertai dengan pegangan agama merupakan didikan yang sempurna di kalangan anak-anak. Ia dapat menghalang mereka daripada pandangan yang haram dan menutup telinga daripada mendengar sesuatu yang tidak baik atau mendedahkan sesuatu yang sepatutnya disembunyikan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 Januari 2018
Scroll to Top