\’Lailatul Qadar’ adalah satu malam yang khusus terjadi pada bulan Ramadan. Ayat al-Qur’an yang pertama dipercayai diturunkan pada malam tersebut . Malam itu disebut di dalam al-Qur’an dalam surah Al-Qadr, dan disifatkan sebagai lebih baik daripada seribu bulan. Waktu sebenar terjadinya malam Lailatul Qadar tidak diketahui namun menurut beberapa hadis, malam tersebut jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan, iaitu pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27 atau ke-29. Malah ada sebahagian ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap seperti malam 24 Ramadan. Walau bagaimanapun, antara hikmah malam ini dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam khususnya di sepuluh malam yang terakhir.
Ustaz Muhamad Abdullah al Amin dalam rancangan Pesona D\’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu jam 10.15 pagi berkata pada 10 akhir Ramadan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadan, Al Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW. Di antaranya firman Allah s.w.t. : “Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar”.(Surah Al-Qadr,ayat 1-5)
Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam tersebut adalah sebaik- baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah S.W.T. Sebagaimana Allah swt berfirman “Dalam Malam Lailatul – Qadar lebih baik daripada seribu malam”.( Surah Al-Qadr : ayat 3. )
Ketika berbicara tajuk berkenaan ‘Mencari Lailatul Qadar’, Ustaz Muhamad turut menggariskan 3 kaedah dalam mencari malam Lailatul Qadar iaitu menerusi ilmu, niat dan doa.Tidak dinafikan tiada istilah berhenti dalam kita mencari ilmu di dunia ini. Golongan yang berilmu pasti akan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah SWT. Oleh itu, kita dituntut untuk mempertingkatkan ilmu yang berkait rapat dengan aspek ibadah. Justeru, dalam konteks beribadah dalam meraih 10 hari terakhir dalam bulan Ramadhan dan dalam masa yang sama ingin mendapat keberkatan malam Lailatul Qadar , misalnya kita digalakkan untuk beriktikaf di masjid iaitu duduk di masjid dalam suatu masa yang tertentu untuk mengerjakan amal bakti kepada Allah SWT . Dalam masa beriktikaf itu hendaklah diisi dengan mengerjakan sembahyang sunat, membaca Al – Quran, berzikir (tasbih, tahmid dan tahlil), beristighfar, berselawat atas Nabi Muhammad SAW , berdoa dan lain-lain lagi dari amal-amal bakti yang mendampingkan diri seseorang makhluk kepada Allah s.w.t. yang telah menciptanya dan mencipta sekalian alam serta mentadbirkannya.
Kaedah seterusnya dalam mencari malam Lailatul Qadar ialah menerusi niat. Tanamkanlah dalam diri kita untuk menemui malam tersebut yang hanya muncul sekali setahun sahaja. Memang benar , cabaran dan dugaan begitu banyak saat kita berada pada bulan Ramadhan. Apapun, Allah SWT pasti memberi ganjaran yang tidak terhingga buat umat-Nya yang tekun dan sabar dalam proses meraih malam Lailatul Qadar. Akhir sekali,sentiasalah memohon doa kepada Allah SWT . Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Mereka yang enggan berdoa kepada-Nya adalah orang yang bongkak . Berdoalah agar kita sentiasa diberi keampuan dan dipelihara oleh-Nya walau di mana jua kita berada
Hikmah di sebalik penyembunyian malam lailatul qadar adalah supaya kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadan dalam mendekatkan diri kepadaNya, bukan hanya sekadar menunggu malam lailatu qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa. Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap malam lailatul qadar sahaja untuk beribadat.
Sebagai kesimpulannya, tarikh sebenar dan waktu sebenar malam Lailatul Qadar hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Kita hanya perlu mencari malam Lailatul Qadar dan terus menerus berusaha untuk meraihnya dan mengambil peluang ini dengan memperbanyakkan amalan Lailatul Qadar seperti mengerjakan solat sunat tarawih, solat sunat taubat, membaca kitab suci Al –Quraan , berzikir memuji Allah dan amalan-amalan yang lain.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 Julai 2016