Ramadan Bulan Al-Quran

“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu, dan pembeza (antara yang haq dan yang bathil).” (Surah Al-Baqarah, ayat 185)

AL-QURAN rakan di dunia, teman di alam kubur dan sahabat di akhirat sebagaimana sabda Rasulullah SAW : “Bacalah oleh kalian Al-Quran. Karena ia (Al-Quran) akan datang pada Hari Kiamat kelak sebagai pemberi syafa’at bagi orang-orang yang rajin membacanya.” (HR Muslim). Maka bertepatan dengan hadirnya Ramadan, menjadi asbab penjinak jiwa untuk rapat dan akrab dengan Al-Quran.

Menerusi Program Usrah Nurani Jumaat lalu di IKIMfm, bersama naqib Ustaz Muhammad Fahmi Mohamed Amin menekankan seseorang muslim yang mengharap rahmat Allah dan takut akan siksaNya untuk memperbanyak membaca Al-Quran terutama pada bulan Ramadan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengharap redaNya. Mereka yang bersungguh dengan Al-Quran akan memperoleh keutamaan dan pahala karena ia adalah sebaik-baik kitab, yang diturunkan kepada Rasul termulia untuk umat Baginda dengan syariat yang paling utama, mudah, paling luhur serta paling sempurna.

Allah telah menjamin bagi siapa yang membaca Al Quran dan mengamalkan isi kandungannya tidak akan tersesat di dunia dan tidak celaka di akhirat sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “…Maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka.” (Surah Thaha, ayat 123).

Selain itu, rakan usrah di konti iaitu ustaz Muhammad Hosnee dan penulis skrip,  Saudara Shah Rizal Mashur menambah bahawa kehebatan Al-Quran tidak terhenti kepada pembacaannya semata. Malah, meletakkan usaha untuk menghafalnya akan menambah nilai al-quran itu sendiri kepada pembacanya. Penghafalan memerlukan latihan dan komitmen yang jitu. Bukan perkara yang mudah tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan dan alangkah indah jika Ramadan ini menjadi pemula langkah.

Seawal usia anak-anak kecil sudah boleh di terapkan rasa cinta kepada Al-Quran dan di semai minat untuk menghafalnya. Semua itu memerlukan pengorbanan dan dorongan daripada ibubapa bagi merealisasikan matlamat menghafal Al-Quran. Ia tidak hanya berpihak kepada ibuayah yang tergolong dalam golongan huffaz sahaja. Akan tetapi,  setiap individu miliki kebarangkalian melahirkan anak yang cinta dan punya simpanan Al-Quran di dada. Perkara yang perlu ditekankan adalah kesungguhan dan kemahuan yang tinggi, bukan sekadar di pihak ibu ayah malah pada diri anak-anak itu sendiri.

Bak isi dengan kuku.  Al-Quran dan Ramadan terlalu rapat dan saling melengkapi.  Al-Quran sangat istimewa di bulan Ramadan dan Ramadan menjadi lebih istimewa dengan turunnya Al-Quran. Justeru, suatu kerugian yang besar jika seseorang itu berkesempatan berada di bulan Ramadan tetapi mengenepikan Al-Quran. Al-Quran akan menjadi lebih manis dan penuh kenikmatan tatkala ia di baca sekaligus di amalkan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya. Dari An Nawwas bin Sam’an, katanya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Didatangkan pada hari kiamat Al-Quran dan para pembacanya yang mereka itu dahulu mengamalkannya di dunia, dengan didahului oleh surat Al-Baqarah dan Ali Imran yang membela pembaca kedua surat ini.” (HR Muslim).

Antara keistimewaan lain Al-quran adalah kepada pengajar Al-Quran sepertimana sabda Baginda SAW: “Sebaik-baik kalian adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” (HR Al-Bukhari). Oleh itu, mengambil semangat Ramadan ini, perbanyakkan tadarus Al-Quran secara berkumpulan. Dengan cara demikian, dapat menambah baik kualiti bacaan di samping beroleh peluang untuk mengajar dengan sama-sama membetulkan bacaan rakan-rakan yang turut serta dalam program tadarus tersebut.

Sesungguhnya, bulan Ramadan ini adalah bulan kerahmatan. Allah melimpahkan kasih sayangNya dengan segala sifat Maha Adil Allah. Tiada ruang kerugian bagi yang inginkan kebaikan menerusi Ramadan ini. Bagi hambaNya yang belum di rezekikan untuk mahir dengan bacaan Al-Quran usah putus asa untuk terus berusaha dan berdoa. Berita baik untuk mereka, kerana Allah menilai seseorang dengan kesungguhan usaha yang di letakkan. Dari Aisyah RA, ia berkata Nabi SAW bersabda: “Orang yang membaca Al-Quran dengan mahir adalah bersama para malaikat yang mulia lagi taat, sedangkan orang yang membaca Al-Quran dengan tergagap dan susah membacanya baginya dua pahala.” (HR Muttafaq alaih). Dua pahala tersebut adalah pahala membaca dan pahala susah payahnya untuk membaca kalam Allah itu.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 1 Julai 2016
Scroll to Top