Radio IKIM Terlibat Menjayakan Program MyFestiva Anjuran MYTV

TEBRAU CITY, 24 Julai 2023 (IKIM) – Radio IKIM telah turut serta dalam program MyFestiva anjuran pihak MYTV yang berlangsung dari 21 hingga 23 Julai 2023 di AEON Mall Tebrau City. MyFestiva dianjurkan bertujuan mempromosikan platform OTT terbaharu mereka, MYTV Mana-Mana disamping memperkenalkan stesen TV dan radio yang terdapat di aplikasi tersebut.

MyFestiva yang berlangsung selama tiga hari ini telah menjadi tumpuan ramai pengunjung yang ingin menikmati pelbagai acara menarik dan tawaran hebat yang disediakan oleh stesen TV dan radio yang terlibat. Dalam usaha untuk memperkenalkan aplikasi terbaru mereka, MYTV Mana-Mana, pihak MYTV telah menjalin kerjasama dengan radio IKIM, untuk menarik lebih banyak pengguna untuk menggunakan aplikasi tersebut.

Dalam acara MyFestiva tersebut, Radio IKIM telah mengadakan pelbagai aktiviti menarik dan program khas yang bertujuan untuk memberikan hiburan kepada para pengunjung. Setiap hari, penyampai dan personaliti Radio IKIM serta artis undangan telah menyampaikan program langsung dari pentas utama karnival, dan turut memberikan hadiah menarik kepada para pengunjung. Selain itu, MyFestiva ini turut menjadi platform kepada radio IKIM bertemu pendengar setia mereka dan memperkenalkan radio IKIM kepada pendengar baharu.

“Kami sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan pihak MYTV dalam program ini untuk mempromosikan aplikasi MYTV Mana-Mana. Radio IKIM telah menyertai Platform OTT MYTV Mana-Mana sejak Julai 2023 dan dengan memuat turun aplikasi ini pengguna boleh mendengar siaran radio IKIM secara percuma menerusi peranti mudah alih mereka di mana sahaja dan pada bila-bila masa,” kata Pengurus Besar Radio IKIM, Tn. Hj. Mahathir Shaharuddin.

Beliau turut menyatakan bahawa penglibatan radio IKIM dalam program ini adalah sebahagian daripada siri program Jelajah Mahabbah Radio IKIM 2023 dan kerjasama antara Radio IKIM dan MYTV adalah langkah yang tepat dalam membantu penyebaran maklumat dan promosi aplikasi MYTV Mana-Mana kepada lebih ramai pengguna di seluruh negara.

Selain itu, wakil daripada MYTV juga berterima kasih kepada Radio IKIM kerana telah menyertai program ini dan memberikan sokongan penuh dalam mempromosikan aplikasi terbaru mereka.

Kehadiran Radio IKIM dalam program MyFestiva ini telah menyumbang kepada kejayaan program tersebut, dengan jumlah muat turun aplikasi MYTV Mana-Mana meningkat secara ketara sepanjang tiga hari berlangsungnya karnival. Semoga kerjasama antara Radio IKIM dan MYTV akan berterusan untuk memberikan lebih banyak manfaat kepada masyarakat dalam era perkembangan teknologi dan maklumat yang pesat ini.

MYTV Mana-Mana adalah aplikasi terkini yang dilancarkan oleh MYTV dengan matlamat memberikan akses mudah kepada pengguna ke pelbagai kandungan hiburan popular seperti rancangan TV, filem terkini, rancangan realiti popular, siaran sukan, berita terkini, siaran radio dan banyak lagi secara atas talian. Aplikasi ini membolehkan pengguna menonton atau mendengar kandungan kegemaran mereka pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja melalui peranti mudah alih seperti telefon pintar dan tablet.

Scroll to Top