JANGAN SEWENANG-WENANGNYA MENUDUH SESEORANG MUSLIM ITU MENJADI KAFIR – DATO’ NAIM

PUTRAJAYA, 6 Ogos 2023 (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar menasihatkan semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan seseorang muslim itu telah menjadi kafir.

Mohd Na’im berkata dakwaan seumpamanya itu adalah amat berat serta tidak wajar. Sikap suka kafir mengkafir sesama Muslim adalah bertentangan dengan prinsip akidah Ahli Sunnah Waljamaah.

“Allah SWT telah berfirman pada ayat 58, Surah Al-Ahzab,

وَٱلَّذِينَ يُؤۡذُونَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ بِغَيۡرِ مَا ٱكۡتَسَبُواْ فَقَدِ ٱحۡتَمَلُواْ بُهۡتَٰنٗا وَإِثۡمٗا مُّبِينٗا ٥٨

Maksud Ayat:
Dan orang-orang yang menganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”

“Baginda Rasulullah SAW juga telah menyampaikan peringatan dalam hadis,

لاَ يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالفُسُوقِ، وَلاَ يَرْمِيهِ بِالكُفْرِ، إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ، إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ

Maksudnya: Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasikan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu. [Riwayat al-Bukhari]”

“Hadis daripada Abu Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda,

وَمَنْ دَعَا رَجُلًا بِالْكُفْرِ، أَوْ قَالَ: عَدُوُّ اللهِ وَلَيْسَ كَذَلِكَ إِلَّا حَارَ عَلَيْهِ

Maksudnya: Dan barangsiapa yang memanggil seseorang dengan kafir atau dengan berkata wahai musuh Allah sedangkan tidak sedemikian melainkan perkataan tersebut akan kembali kepadanya. [Riwayat Muslim]” ucap beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beliau turut menyeru kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab serta tidak sewenang-wenangnya menuduh seseorang muslim itu menjadi kafir disebabkan hanya perbezaan pegangan politik dan seumpamanya.

Mengulas lanjut beliau berkata tindakan seperti ini amat berbahaya kerana ia bertentangan dengan prinsip agama selain akan mencetus kegelisahan dalam masyarakat.

Katanya sebarang perkara dalam urusan agama khususnya dalam bidang akidah dan syariah perlulah dirujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri serta para ilmuan yang diperakui kepakarannya dalam bidang tersebut.

https://www.threads.net/@datosetia_dr.naim/post/CvkHA-5vqC8/?igshid=MzRlODBiNWFlZA==

Scroll to Top