RADIO IKIM DI MYFESTIVA ANJURAN MYTV : HADIR DENGAN PROGRAM BERMAKNA

Shah Alam, 16 September 2023 (IKIM) – Radio IKIM sekali lagi menjadi tumpuan dalam program MyFestiva anjuran MYTV Broadcasting Sdn Bhd pada 16 hingga 17 September 2023 di AEON Mall Shah Alam. MyFestiva dianjurkan bertujuan untuk mempromosikan platform over-the-top (OTT) terbaharu mereka, MYTV Mana-Mana, yang menampilkan pelbagai stesen TV dan radio, termasuk Radio dan TV IKIM.

Radio IKIM turut serta untuk kali kedua dalam program MyFestiva ini selepas kali pertama dianjurkan pada 21 hingga 23 Julai lalu di AEON Tebrau City, Johor Bahru.  Selain memperkenalkan siaran Radio IKIM di platform MYTV Mana-Mana, Radio IKIM turut  menyajikan dua program pentas yang bermakna pada hari pertama dan kedua acara tersebut.

Pada hari pertama, Radio IKIM membawakan pengisian program “Dari Konti Ke Pentas : Slot Tarbiah” yang menampilkan penyampai Syafiq Salleh yang juga penerbit rancangan tersebut. Sesuai dengan sambutan Hari Malaysia 2023 yang disambut pada hari tersebut, slot tersebut telah membicarakan tajuk “Aman Itu Iman” yang turut menampilkan  Ustazah Nur Afiqah dan penyanyi undangan  Fuad Ko.

Manakala pada hari kedua MyFestiva, Radio IKIM mempersembahkan satu lagi acara istimewa, iaitu majlis pelancaran rancangan baharu mereka “Lembayung Al-Quran.” Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Ketua Pengarah IKIM, YBhg. Prof. Madya Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil yang turut dihadiri oleh penyumbang rancangan tersebut, YBhg. Datuk Dr. Haji Zahahan bin Mohamed.

“Lembayung Al-Quran” adalah satu rancangan yang sangat istimewa bagi radio IKIM dan semua peminat kami. Penampilan semula YBhg. Datuk Dr. Hj. Zahazan Mohamed, seorang ilmuan, pendakwah dan penulis yang tidak asing lagi kepada pendengar radio IKIM akan menjadi penyumbang dalam rancangan ini, membawa kepada pendengar kami pemahaman yang lebih mendalam terhadap ayat-ayat Al-Quran,” kata Prof. Madya Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil dalam ucapan perasmian beliau.

Dalam ucapan tersebut, beliau turut memberikan penghargaan kepada pihak MYTV yang memberi Radio IKIM peluang untuk menyampaikan rancangan ini kepada masyarakat melalui platform MYTV Mana-Mana. “ini adalah satu lagi langkah dalam usaha kami untuk memperluaskan capaian dan pengaruh kami dalam membina masyarakat yang lebih berpengetahuan dan berakhlak di negara ini.”

Rancangan “Lembayung Al-Quran” boleh diikuti siarannya bermula 4 September 2023 di Radio IKIM pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 6.30 pagi dan siaran ulanganya pada pukul 8.00 malam.

Menurut Datuk Dr. Hj. Zahahan bin Mohamed, “Lembayung Al-Quran” kali ini tampil dengan pengisian tafsiran ayat-ayat Al-Quran dengan rujukan lebih enam belas kitab tafsir terkemuka dengan penyampaian yang lebih matang agar ia memberi kesan kepada khalayak pendengar.”

Pengunjung MyFestiva turut menghargai kehadiran Radio IKIM dalam program tersebut dengan mengambil kesempatan berinteraksi dengan hos dan penyampai Radio IKIM, serta mengetahui lebih lanjut mengenai rancangan-rancangan baharu yang mereka tawarkan.

MyFestiva  2023 bukan sahaja memperkenalkan platform OTT terbaharu MYTV Mana-Mana, tetapi juga memperhebatkan peranan Radio IKIM dalam menyampaikan nilai-nilai Islam dan ilmu pengetahuan agama kepada masyaraka. Ini adalah langkah yang positif dalam mempromosikan pemahaman yang lebih baik tentang agama dan budaya kita, sambil memperkaya pengalaman media penyiaran di Malaysia.

Scroll to Top