BANK ISLAM MEDIA COMMUNITY DRIVE 2023 SATUKAN AGENSI MEDIA

Pulau Pinang, 17 Sept 2023 – Bank Islam Malaysia Berhad dengan kerjasama Kelab Kakitangan Bernama telah berjaya menganjurkan Media Community Drive tahun 2023. Edisi ke-10 ini berjaya menghimpunkan hampir 160 peserta daripada 22 agensi media.

Program sempena ulangtahun ke-40 Bank Islam itu berlangsung selama dua hari pada cuti hari Malaysia, 16 September dan berakhir 17 September 2023. Kesemua 40 pasukan media yang bertanding dalam pencarian harta karun memulakan pengembaraan mereka dari Bank Islam Cawangan Sungai Buloh dan mengakhiri pencarian mereka di destinasi pelancongan terkemuka di Pulau Pinang, di Kampung Agong, Penaga.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed berkata penganjuran program berkenaan mampu mengeratkan hubungan antara institusi perbankan itu dengan pengamal media.

Selain acara mengumpul harta karun, program itu juga turut menyantuni anak-anak yatim di Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim / Miskin Dahikmah, Gopeng, Perak. Bank Islam turut mengambil peluang menyerahkan bantuan
korporat mereka kepada pertubuhan itu sebanyak RM 30,000.

Penyampai Radio IKIM, Mohd Erwan Johari dan Faiz Hj. Othman turut menjayakan edisi ke-10 Media Community Drive ini. Radio IKIM turut membawa pulang hadiah wang tunai dengan memenangi kategori ‘Video
Paling Kreatif: Voice Over’ pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Bertam, Pulau Pinang.

Disediakan oleh : Faiz Hj. Othman

Scroll to Top