Program Siri Jelajah Transformasi Al-Falah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Kelantan (14 Julai 2023, Jumaat)

PASIR MAS, 14 Julai 2023 (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar, dalam Program Siri Jelajah Transformasi Al-Falah  memulakan siri jelajah dengan program Ramah Mesra bersama Ulama-ulama Pondok Negeri Kelantan, pelajar-pelajar dan masyarakat setempat di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan.

Dalam ucapannya, Mohd Nai’im berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa memastikan institusi pendidikan pondok, tahfiz dan sekolah agama di negara ini sentiasa kekal dipelihara di samping terus berdaya saing dan selari dengan perkembangan semasa.

Beliau juga menegaskan bahawa pengambilan pelajar ke institusi pendidikan pondok dan maahad tahfiz adalah bertujuan untuk menimba ilmu dan bukan dijadikan sebagai tempat lambakan pelajar yang bermasalah.

“Kita tidak mahu ibu bapa mengganggap pondok atau maahad tahfiz ini tempat untuk menghantar anak-anak mereka yang mempunyai masalah disiplin, masalah pelajaran dan sebagainya. Pondok dan tahfiz ini bukanlah tempat untuk lambakan pelajar yang bermasalah.”

Beliau juga menasihatkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke institusi pondok dan maahad tahfiz yang diiktiraf dan berdaftar dengan kerajaan supaya institusi ini dapat dipantau oleh pihak kerajaan.

“Kita nak lahirkan anak-anak yang berkualiti dan juga bila institusi pondok dan maahad ni berdaftar dengan kerajaan, garis panduan dan kokurikulum juga adalah selaras dengan sekolah-sekolah lain yang berdaftar dengan kerajaan,” beliau berkata demikian dalam siding media beramah mesra bersama ulama di Pondok Lubuk Tapah, di Pasir Mas pada Jumaat.


TANAH MERAH, 14 Julai 2023 (IKIM) – Program Siri Jelajah Transformasi Al-Falah diteruskan pada malam tersebut dengan Dialog Transformasi Al-Falah bersama Warga Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan di Dewan Noryati, Selera Tepi Sungai, Tanah Merah, Kelantan.

Mohd Nai’im memberi penekanan pentingnya warga Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan memahami Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri dalam menjayakan agenda pembaharuan dan pembangunan ummah sejajar aspirasi “Membangun Malaysia Madani” oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Al-Falah mengandungi inisiatif-inisiatif yang terdiri dari lima teras utama, dengan 10 fokus dan lima nilai penghayatan bersama.

Dalam sesi dialog beliau ditanya mengenai pejabat warga pendidik sekolah agama yang pada masa kini menumpang di bangunan yang terletak di Besut dan ini menyukarkan pihak pendidik untuk berulang alik dari Pasir Mas ke Besut sekiranya terdapat sebarang urusan.

Mohd Naim memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya supaya pejabat pihak pendidik sekolah agama akan dipindahkan ke Pasir Mas untuk memudahkan urusan mereka.

Scroll to Top