PM: Islam terus dimartabat, hak orang bukan Islam dipelihara

KUALA

LUMPUR, 20 Ogos 2023 (Bernama) – Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan memastikan Islam sebagai agama Persekutuan terus dimartabatkan selain menyediakan peruntukan mencukupi bagi penganjuran program latihan dan pemahaman Islam.

Pada masa sama Anwar turut memberi jaminan bahawa setiap hak warganegara bukan Islam kekal terpelihara serta mereka akan sentiasa disantuni dan mendapat keselesaan hidup.

“Saya akan memastikan dan akan terus mengulangi di negara ini, Islam adalah agama Persekutuan, saya akan terus mempertahankan akidah dan menegakkan agama ini, terus mempromosikan Islam dan menyediakan peruntukan mencukupi, sokongan untuk latihan, pemahaman serta pelaksanaan program Islam,” katanya.

Perdana menteri berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 Tahun 1445H/2023M di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sementara itu, Anwar berkata Islamofobia yang berlaku di dunia adalah disebabkan pihak tertentu yang mempunyai pemikiran dangkal terhadap Islam.

“Sebab itu bila berlakunya kebakaran al-Quran di Sweden, selain daripada mengecam, saya ambil keputusan mengarahkan jabatan dan penerbit al-Quran untuk menerbitkan dalam semua bahasa termasuk bahasa Sweden, sejuta al-Quran untuk disebarkan di Malaysia dan seluruh dunia.

“Lima belas ribu al-Quran telah dihantar ke Sweden untuk disebarkan ke universiti dan pusat pengajian supaya mereka dapat menilai dan membaca dan bagi saya, bagi kerajaan langkah ini lebih munasabah untuk memberikan kefahaman kepada mereka,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata dia dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan akan membincangkan langkah-langkah susulan bagi menangani isu Islamofobia di New York, bulan depan.

Mengenai MTHQA, Anwar berkata ia adalah platform yang bukan sahaja menjurus kepada tilawah dan hafazan al-Quran tetapi juga usaha untuk meningkatkan kefahaman terhadap kitab suci itu.

Dia berkata umat Islam harus mendalami dan menghayati al-Quran agar mampu memberi penjelasan dan pencerahan kepada rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

MTHQA bermula semalam hingga 24 Ogos melibatkan dua kategori iaitu pertandingan tilawah al-Quran serta hafazan al-Quran 30 juzuk.

MTHQA pada kali ini melibatkan 76 peserta dari 52 negara iaitu 24 lelaki dan 12 perempuan bagi kategori tilawah manakala 27 lelaki dan 13 perempuan bagi hafazan.

Malaysia menghantar empat wakil iaitu qari orang kurang upaya (OKU) penglihatan Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dari Kelantan dan Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu bagi kategori tilawah, manakala kategori hafazan ialah Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan dari Johor dan Dian Karisma Mohd Japar dari Sabah.

Scroll to Top