DAKWAAN YANG MEMPERSOALKAN FALSAFAH GAGASAN MALAYSIA MADANI PERLU DIPERBETULKAN SEMULA DAN DIHAYATI BERSAMA – KP IKIM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2023 (IKIM) – Dakwaan yang mempersoalkan falsafah gagasan Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini perlu diperbetulkan semula dan dihayati bersama oleh rakyat Malaysia, demikian menurut Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Mohamed Azam berkata rakyat Malaysia perlu bersama-sama pimpinan kerajaan hari ini untuk memahami dasar dan falsafah Malaysia MADANI yang sebenar serta bersatu hati ke arah mencapai masyarakat majmuk Malaysia MADANI yang harmoni dan bersatupadu.

“Eloklah sekiranya kita melihat sejenak konsep dan falsafah sebenar Gagasan Malaysia MADANI terutamanya terrminologi telah digunakan oleh para sarjana Islam yang menunjukkan maksud tamadun seperti Al-Madaniyyah, Al-Umran, Al-Hadarah dan Al-Tamaddun. Al-Madaniyyah diambil daripada kata akar ‘Madinah’ iaitu negara Islam pertama yang diasaskan oleh Rasulullah SAW. Al-Farabi menggambarkan Madaniyyah sebagai pencapaian umat Islam di kota yang berasaskan kepada wahyu iaitu akidah, syariah dan akhlak.”

“Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat (hlm. 972), Madani bermaksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan. Malaysia MADANI merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat”.

“Jika diteliti, gagasan Malaysia MADANI ini juga berasaskan konsep negara Madinah yang mana Rasulullah SAW berjaya menyatupadukan warga Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku kaum bukan sahaja sesama umat Islam (muhajirin dan ansar), bahkan juga dengan bukan Islam (Yahudi) melalui Piagam Madinah sebagai satu bangsa (one nation)”.

Beliau berkata MADAM bukanlah konsep yang baru diperkenalkan oleh Anwar İbrahim malah ia telah bermula ketika beliau menjawat Timbalan Perdana Menteri Malaysia (1993-1998) dan sentiasa disebut dalam pelbagai ucapan di persidangan nasional mahupun antarabangsa sepanjang beliau bergiat sebagai aktivis sosial dan ahli politik.

“Menyoroti idealisme, gagasan dan wawasan Perdana Menteri Malaysia terdahulu pun, slogan-slogan seperti Wawasan 2020, Islam Hadhari, 1 Malaysia dan Keluarga Malaysia diperkenalkan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa yang membangun, sejahtera, berdaya saing dan harmoni dalam kehidupan masyarakat majmuk Malaysia berbilang kaum dan agama. Gagasan Malaysia MADANI juga tidak terkecuali”.

“Menurut Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, gagasan Malaysia MADANI merupakan sebuah wawasan kenegaraan dan falsafah sosial yang menggariskan enam prinsip asas sebagai landasan pembangunan Malaysia yang lebih majü dan adil. Enam Nilai Teras yang dicerakin daripada perkataan MADANI itü sendiri iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan merupakan nilai komprehensif yang berjaya menghubungkan idea MADANI antara isu-isu kontemporari dengan falsafah madani dalam pemikiran Islam klasik”.

Oleh yang demikian beliau berkata, dakwaan yang mempersoalkan falsafah gagasan Malaysia MADANI ini perlu diperbetulkan semula dan dihayati bersama. Ayuhlah kita bersama-sama pimpinan kerajaan hari ini untuk memahami dasar dan falsafah Malaysia MADANI yang sebenar serta bersatu hati ke arah mencapai masyarakat majmuk Malaysia MADANI yang harmoni dan bersatupadu.

 

 

Scroll to Top