ISU PELEPASAN AIR RADIOAKTIF TERAWAT DARI LOJI NUKLEAR FUKUSHIMA, DAIICHI JEPUN

 

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan beberapa akhbar tempatan mengenai isu pelepasan sisa air radioaktif terawat Fukushima bermula 24 Ogos 2023 sebagaimana yang diumumkan oleh Pihak Berkuasa Jepun. Pelepasan sisa air radioaktif terawat tersebut adalah mengikut standard keselamatan Jepun yang akan dilaksanakan secara berperingkat dan telah mendapat kelulusan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 4 Julai 2023. Isu ini telah mendapat pelbagai reaksi daripada beberapa negara di Lautan Pasifik.

Di Malaysia, cemaran radionuklid adalah dikawal di bawah Peraturan 37, Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Manakala standard antarabangsa Codex telah mengeluarkan General Standard for Contaminants and Toxins in Food and Feed, CXS 193-1995 sebagai panduan untuk kawalan cemaran radionuklid dalam makanan.

Susulan insiden letupan loji nuklear akibat gempa bumi yang berlaku di Fukushima, pada tahun 2011, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan ke atas produk makanan yang diimport dari Jepun bermula Mei 2011 sehingga April 2012. Satu program pemantauan khusus turut dijalankan pada 2019 di mana sebanyak 102 sampel telah dianalisis dan kesemua sampel didapati tidak melebihi kadar yang telah ditetapkan.

Susulan pemakluman tindakan pelepasan sisa air radioaktif terawat bermula 24 Ogos 2023 oleh pihak berkuasa Jepun, KKM akan mengenakan pemeriksaan Tahap 4 (Pengawasan) di pintu masuk negara terhadap produk makanan berisiko tinggi yang diimport dari negara Jepun untuk analisis kandungan bahan radioaktif.

Berdasarkan data KKM, dalam tempoh 2022 sehingga Jun 2023, produk makanan ikan dan hasilan ikan adalah di antara produk yang tertinggi diimport dari Jepun disusuli dengan produk buah-buahan, sayur-sayuran dan selebihnya adalah makanan dan minuman terproses dengan nilai keseluruhan iaitu RM 880,115,437.00.

KKM peka dan prihatin terhadap keresahan pengguna terhadap perkara ini. Dalam hal ini, KKM sentiasa menjalankan pemantauan di pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan keselamatan makanan adalah terjamin.

DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
KETUA PENGARAH KESIHATAN

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

Scroll to Top