Jangan Memanipulasi Atau Mempolitikkan Isu Sekolah Agama di Negeri Selangor Diarah Tutup

KUALA LUMPUR: Semua pihak disaran untuk tidak memanipulasi atau mempolitikkan isu sekolah agama di negeri Selangor diarah tutup.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama gabungan NGO-NGO Islam berpendirian mana-mana pihak yang cuba untuk menjuarai isu sebegini harus menyemak fakta terlebih dahulu serta bersikap jujur.

“Kami memandang berat kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, bahawa ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang mendakwa sekolah agama di Selangor diarah untuk ditutup.

“Isu yang dibangkitan telah dijelaskan oleh menteri iaitu berkaitan dengan Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) yang bertujuan untuk memastikan keselamatan pelajar-pelajar di institut tahfiz serta sekolah agama persendirian.

“Tindakan ini selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang mahu semua institusi yang berkenaan didaftarkan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” kata kenyataan media ABIM hari ini.

Atas fakta tersebut, ABIM dam gabungan NGO Islam mengecam sebarang fitnah yang cuba disebarkan untuk membakar sentimen kebencian dalam kalangan masyarakat kerana ia akan mengganggu usaha untuk memartabatkan Islam di negara ini.

Mereka turut mahu pihak berkuasa bertindak tegas ke atas anasir-anasir yang berupa fitnah hasutan yang tidak berasas seperti ini.

Semalam Mohd Na’im turut menegaskan dakwaan pihak berkaitan yang kononnya amaran telah diberikan kepada sekolah agama persendirian supaya diarah keluar dari premis adalah tidak benar sama sekali dan berniat menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam. — AlHijrah Online

Scroll to Top