Perkahwinan Menuntut Persediaan

HIDUP berpasangan adalah fitrah semuala jadi alam dan setiap sesuatu itu ada pasangannya, umpama siang malam, pasang surut dan sebagainya lagi. Begitulah juga halnya dengan manusia. Perkahwinan adalah institusi yang menemukan pasangan dan rakan kongsi hidup yang sehati dan sejiwa untuk sama-sama mengharungi segala suka dan duka erti kehidupan. Dengan berkahwin akan dapat merubah hidup seseorang yang dahulunya terumbang-ambing mencari jodoh kepada yang lebih berwawasan.
Di dalam Al-Quran terdapat banyak  ayat  yang menyebut mengenai  pensyariatan perkahwinan dianjurkan secara langsung  atau tidak langsung kepada manusia sesuai dengan  tuntutan fitrah semulajadinya. Menerusi tajuk ‘40 Ayat Al-Quraan Mengenai Keluarga yang dibincangkan  dalam rancangan Pesona D’ Zahra jam 10.15 pagi Isnin lalu, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin berkata  hukum berkahwin terbahagi kepada empat iaitu wajib,  sunat,  makruh dan haram. Wajib ialah apabila seseorang itu berkemampuan fizikal dan mental serta bimbang jika dirinya akan terjerumus ke lembah maksiat dengan melakukan zina. Perkahwinan juga boleh menjadi sunat apabila seseorang itu dalam keadaan normal yakni tiada kebimbangan sekiranya beliau tidak melangsungkan perkahwinan seperti dia  yakin tidak akat terjebak dengan amalan zina dan kemaksiatan tetapi pada masa yang sama tidak juga ragu-ragu sekiranya mengadakan perkahwinan kerana mampu menyediakan keperluan asas dan mampu menjaga kebajikan isteri dengan baik. Makruh seseorang melangsungkan perkahwinan seandainya mempunyai kebimbangan dan keraguan untuk melakukan kezaliman dan kekerasan kepada isteri dan bimbang tidak mampu menyediakan keperluan asas kepada isteri. Namun kebimbangan tersebut tidaklah cenderung kepada yakin atau pasti cuma sedikit keraguan sahaja.
Selain itu seseorang yang mempunyai penyakit yang serius, panyakit yang berjangkit seperti HIV menjadikan seseorang itu makruh untuk melangsungkan perkahwinan.  Akhir sekali, individu yang diharamkan berkahwin  pula ialah  yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin tetapi akan menimbulkan bahaya kepada bakal isterinya seperti seorang lelaki yang berkahwin dengan tujuan untuk menyakiti bakal isterinya. Maka perkahwinan itu hukumnya haram.
Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia, contohnya keperluan ingin dikasihi, mempunyai pasangan hidup serta keluarga sebagai tempat menerima serta mencurahkan kasih sayang. Oleh itu, menurut Ustaz Muhammad semua orang yang berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan berkahwin dan membina keluarga. Allah SWT berfirman: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum, ayat 21). Islam turut memberi panduan bagi golongan muda yang ingin berkahwin dengan niat menjaga diri daripada dosa dan maksiat, tetapi khuatir rezekinya sama ada mencukupi atau tidak untuk menanggung keluarga. Dalam hal ini, sekiranya usaha mencari rezeki dijalankan dengan tersusun selepasnya dengan menunaikan segala tanggungjawab sebagai suami isteri dengan sebaik mungkin,  yakinlah bahawa rezeki akan dimudahkan melalui perkahwinan itu.
Seterusnya, akad perkahwinan adalah ikatan murni antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama dalam sebuah rumah tangga. Nilai keagamaan sangat jelas dizahirkan di mana tertolaklah perkahwinan sama jantina, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan. Di sesetengah negara Barat menerima situasi  yang berlaku di mana kaum  lelaki boleh berkahwin dengan lelaki dan kaum wanita berkahwin dengan wanita. Islam sama sekali tidak mengiktiraf hubungan sedemikian. Bahkan Islam tidak mengiktiraf perkahwinan mana-mana pihak yang membuat pembedahan tukar jantina. Islam tidak mengiktiraf perkahwinan lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki. Sebagaimana Allah SWT  berfirman “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil (bilah menikah) anak-anak yatim, maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat.  Tetapi  jika kamu takut tidak dapat  berlaku adil, maka seorang  sajalah, atau hamba sahaya yang kamu miliki.  Yang demikian itulah  yang lebih memungkinkan kamu terhindar dari berlaku sewenang-wenangnya”( Surah An-Nisaa’,  ayat 3).  Ayat tersebut menerangkan dengan jelas bahawa Allah telah menetapkan seseorang itu berkahwin tidak boleh lebih dari empat orang isteri. Pembatasan ini juga bertujuan membatasi kaum lelaki yang suka dengan perempuan agar tidak berbuat sesuka hatinya. Seorang lelaki disuruh oleh Allah SWT  untuk berkahwin jika berkemampuan, sehingga kepada empat  orang isteri dengan cara berlaku adil terhadap mereka sepertimana yang ditentukan oleh syarak.  Sebaliknya jika bimbang tidak dapat berlaku adil maka berkahwinlah dengan seorang sahaja. Allah SWT menjanjikan ganjaran yang hebat kepada suami yang berlaku adil terhadap isterinya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah nanti akan ditempatkan di atas mimbar-mimbar yang diperbuat daripada cahaya dari sebelah kanan al-Rahman \’Azza wa Jalla (Allah) lalu Nabi mengangkat tangan kanannya. Orang-orang yang termasuk golongan itu (sebelah kanan Nabi) adalah orang yang adil dalam pemerintahannya, adil terhadap isterinya dan tidak menyimpang.\” (Hadis Riwayat Muslim)

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 Februari 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top