DALAM rancangan Topik Jumaat yang disiarkan oleh radio IKIMfm pada pagi Jumaat jam 9.00 pagi, Sheikh Mus’ab Luke Penfound seorang pendakwah dari United Kingdom telah bercakap tentang “Mengharapkan Allah”. Pemilik nama asal Luke Martin Gregory Penfound ini memeluk Islam pada usia sekitar 19 tahun dan kemudiannya menghabiskan masa belajar bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam di Darul Mustafa, Tarim Yaman di bawah bimbingan tokoh dan pendakwah dunia yang terkenal, Habib Umar bin Salim ben Hafedz.
Beliau memulakan bicara dengan memetik kalam Allah SWT yang terakam dalam Surah al-Fatir ayat 15 yang bermaksud “Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji”. Apabila disebutkan bahawa Allah SWT itu “kaya” ia bukan sekadar membawa maksud Allah SWT itu memiliki segala-galanya, tetapi ia juga membawa maksud bahawa Allah SWT tidak memerlukan apa-apa sekali pun. Ayat ini mengajak manusia untuk bergantung bulat kepada Allah SWT dan merasakan betapa hina, kerdil dan sangat memerlukannya mereka kepada Allah SWT Yang Maha Agung. Baginda SAW dan para Sahabat RA bukan sekadar membaca ayat ini tetapi ayat ini hidup dalam jiwa mereka dan sifat ubudiyyah atau perhambaan kepada Allah SWT itu cukup segar dan mekar. Sebahagian besar ayat-ayat al-Qur’an menyeru kita betapa kita ini begitu mengharapkan bantuan, pertolongan dan bimbingan daripada Allah SWT.
Beliau seterusnya menjelaskan betapa bukan kita manusia sahaja yang memerlukan Allah SWT, tetapi seluruh alam ini memerlukan Allah SWT. Apabila kita angkuh dan melepaskan pergantungan kepada Allah SWT, maka nescaya Allah SWT akan membiarkan kita dan kita akan terumbang-ambing tanpa memiliki panduan dan bimbingan hidup.
Beliau turut mengimbau tentang kata-kata Maulana Rumi yang menyebut “luka itu adalah tempat di mana cahaya boleh masuk”. Ia menjelaskan betapa ujian dan cubaan yang diterima oleh manusia di atas mukabumi ini ialah bertujuan agar manusia akan segera kembali mengingati Allah SWT. Apabila manusia diuji, mereka perlukan pergantungan dan pada ketika itu mereka akan ingatkan Allah dan kerana itulah Allah sering memberikan ujian dan cubaan agar manusia ingatkanNya. Nabi SAW pernah menyebut kepada Sayyidatina Aisyah RA mafhumnya “Ganjaran untukmu adalah sepertimana ujian yang menimpmu” Setinggi mana ujian yang ditimpa oleh seseorang, setinggi itu jugalah ganjaran yang akan diterimanya.
Kita dijadikan oleh Allah adalah untuk menjadi hambaNya sepertimana firman Allah SWT dalam Surah al-Dzariyat ayat 56 yang berbunyi “Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembahKu” , dan Ibn Abbas menyebut “menyembah” di situ membawa maksud agar kita “kenal” Allah SWT. Lalu bagaimana mungkin seseorang itu akan kenal Allah SWT, jika Allah SWT tidak memperkenalkan diriNya. Dan cara Allah SWT memperkenalkan diriNya dan kewujudanNya Yang Maha Esa ialah dengan menimpakan kepada kita ujian, cubaan dan musibah sehingga manusia akan ingat dan kembali kepadaNya, dan mengharapkanNya sehingga kita kenal dan cinta kepadaNya.
Pernah seorang Nabi bertanyakan kepada Allah “di manakah aku akan temuiMu”. Temui Allah bukan dalam ertikata bertemu secara fizikal, tetapi bertemu dalam ertikata merasakan Allah itu wujud. Lalu Allah SWT menjawab carilah Aku di kalangan mereka yang ditimpa musibah, Aku bersama mereka.
Samada kita sedar atau tidak, dalam hidup kita ini kita apa sahaja yang kita lakukan dalam hidup ini akan memberi kesan kepada kita, kesan kehidupan rohani dan hati kita samada kita menghabiskan masa dengan whatsapp, twitter, facebook dan lain-lain. Ianya tidak berlalu pergi begitu sahaja, tetapi ia seumpaman “zikir” kita. Jika media sosial itu “zikir” kita, maka kita telah membazir masa dengan media sosial sedangkan masa itu kita boleh manfaatkan dengan mengingati Allah SWT. Beliau turut berkongsi pesanan gurunya agar kita memperuntukkan sedikit masa untuk bersama Allah SWT setiap hari walau sekadar sepuluh minit. Jiwa dan rohani kita memerlukannya seperti mana jasad kita perlu proses “menyahturun” (detoks) segala bahan-bahan toksid dan tidak sesuai untuk badan, begitu juga rohani kita perlu “menyahturun” segala unsur-unsur rohani yang merosakkan pembinaan akal jiwa dan rohani kita.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 Mei 2017