Sifat-sifat Syurga (Bahagian 2)

TIDAK ada seorang pun di kalangan manusia yang menolak untuk menjadi penghuni syurga pada Hari Akhirat kelak. Walau bagaimanapun sebelum menempuhi alam Akhirat, setiap yang bernyawa pasti akan menemui ajal dan mereka yang melakukan amalan baik atau buruk ketika hidup di dunia, maka dia akan dibalas tanpa ada sebarang pengecualian pada Hari Kiamat nanti Sesiapa yang dapat menghindarkan dirinya daripada api neraka dan memasukkan dirinya ke dalam syurga, mereka inilah yang merupakan kalangan manusia yang berjaya.

Slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada hari Khamis, jam 5.15 petang pada kali ini bersama Ustaz Muhammad Syariff Mohd Azhari al-Hafiz yang turut berkongsi bahawa dunia ini hanyalah fatamorgana, hanya dapat dilihat dengan pandangan mata ketika hidup di atas muka bumi tetapi tidak dapat dirasa pada Hari Akhirat dan hanya bersifat sementara. Ujian yang diturunkan Allah SWT kepada hambanya mempunyai sebab-sebab tertentu dan di antaranya sebagai balasan di Akhirat, yang menuntut kesabaran sebagai penghapus dosa atau meninggikan darjat seseorang disisi Allah. Segala-galanya yang terdapat di dunia ini disediakan oleh Allah kepada hambanya, hanya untuk menyediakan bekalan kepada manusia menuju ke alam yang akan kekal abadi iaitu sama ada menuju syurga atau neraka.

Keluasan syurga digambarkan seluas di antara langit dan bumi sebagaimana yang diterangkan di dalam firman Allah melalui surah al-Hadid, ayat ke-21: “Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.” Di dalam syurga juga tidak akan ada satu pun kedengaran perkataan-perkataan yang sia-sia di kalangan penghuninya malah mereka dikurniakan keberkatan oleh Allah di atas kesabaran serta diganjari dengan tempat yang terbaik untuk kesudahan mereka.

Melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, “Aku sudah janjikan kepada semua orang salih ini, gambaran di syurga tidak pernah dilihat ketika di dunia. Keluasan di syurga yang memberikan ketenangan tidak pernah digambarkan di dunia, dan telinga juga tidak pernah mendengar bunyi yang sangat menenangkan seperti sebelum ini, dan tidak pernah terdetik di dalam hati manusia ini apa yang ada di dalam syurga.” Selain itu di syurga bukan hanya terdapat kedamaian dan ketenangan malah suasananya nyaman dan nikmat di mata serta hati penghuninya, merujuk kepada surah al-Insan, ayat 13: “Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk;”

Rasululallah SAW sering berpesan kepada umatnya agar sentiasa menjaga percakapan kerana apabila dengan banyaknya bercakap akan banyak melakukan kesalahan dan dosa yang mengakibatkan seseorang itu terjerumus ke dalam neraka. Allah mengurniakan sifat penyayang kepada hambanya dan golongan ini mempunyai ciri-ciri yang di antaranya ialah apabila berjalan di atas muka bumi ini, mereka akan tunduk dan sabar bila ditimpa ujian. Selain itu mereka juga apabila bercakap dengan orang-orang yang tidak faham agama (jahil), akan berkata “Selamatlah kamu…”, malah pada Hari Akhirat kelak perkataan inilah yang akan disebut-sebut di syurga nanti.

Allah juga menempatkan syurga di dalam satu binaan yang luas, segala senibinanya terdiri daripada emas, perak, batu permata, mutiara, zamrud dan segala perkara yang disukai oleh pandangan mata dan hati manusia.  Mengalir pula dibawahnya, dicelah-celahnya sungai seperti yang tergambar menerusi firman |Allah di dalam surah az-Zumar, ayat 20: “Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya.”

Manakala pakaian dan perhiasan penghuni syurga pula digambarkan, “Mereka di dalam Syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak; dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci.” (al-Insan, ayat 21). Perasaan menikmati ganjaran syurga daripada Allah ini tidak dapat digambarkan manusia ketika hidup di dunia.

Sungai-sungai yang terdapat di dalam syurga juga tidak dapat ditandingi dengan sungai di dunia kerana sungainya yang mempunyai rasa seperti susu. Pandangan para ulama juga berpendapat susu dan madu adalah di antara makanan yang terdapat di dalam syurga, malah madu juga dialirkan menerusi sungai yang bersih di syurga. Banyaknya sungai-sungai yang mengalir di syurga termasuklah yang mengalirkan air yang lazat, segar dan tidak berubah rasanya yang dapat dilihat nikmatnya serta kekal mengalir selama-lamanya. Di dalam syurga juga tidak hujan, panas atau segala perkara yang mampu mengurangkan rasa nikmat minuman di syurga. Selain itu terdapat juga aliran sungai yang mengandungi arak yang lazat serta tidak pula memabukkan seperti arak yang terdapat di dunia hari ini. Sungai-sungai yang mengalir di dalam syurga memberi keindahan dan ketenangan bagi penghuninya yang bertakwa kepada Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 Mei 2017
\"\"
Scroll to Top