Menyingkap Rahsia Kebahagiaan Suami Isteri

KEBAHAGIAAN rumah tangga perlu dipupuk dan semuanya terletak di bahu yang bergelar suami dan  isteri. Sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan pastinya setiap wanita mengimpikan untuk mendapat suami yang beriman. Begitu juga di pihak suami yang  mahukan isteri yang baik, taat dan mampu menguruskan rumah tangga.Bagi melahirkan  rumah tangga yang bahagia, ia memerlukan kesabaran, usaha dan yang paling utama pengorbanan. Rumah tangga itu perlu didasari dengan iman dan taqwa.  

Perkahwinan boleh diumpamakan seperti masakan, memerlukan rempah untuk membentuk rasa, memerlukan garam untuk perasa,memerlukan asam untuk sedikit rasa masam dan gula untuk memberi kemanisan dalam masakan. Tanpa bahan-bahan tersebut, maka hilanglah keenakan masakan itu. Begitu juga dengan perkahwinan, ia memerlukan kasih  dan sayang untuk terus memekarkan cinta, memerlukan senda dan gurau bagi menambahkan lagi rasa dan warna dalam rumahtangga , memerlukan sedikit pertengkaran manja  untuk menghangatkan lagi hubungan.  Menerusi rancangan Pesona D’ Zahra yang disiarkan di IKIMfm pada Isnin jam 10.15 pagi, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menyatakan bahawa perasaaan kasih, sayang , cinta-mencintai antara suami dan isteri datangnya daripada Allah SWT.  Sebagaimana yang terkandung dalam Al-Quraan yang bermaksud  “dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana.“ (Surah  Al Anfal ,ayat  63).

Oleh itu, bagi mencetuskan kebahagiaan rumah tangga, suami isteri perlu sentiasa konsisten memperbaharui niat untuk menyayangi pasangan. Perlu cuba sebaik mungkin untuk mempamerkan diri mejadi  suami yang soleh dan isteri yang solehah dalam rumah tangga. Ini disebabkan perasaan kasih dan sayang antara satu sama lain amat penting kerana ia akan menjadi pengikat jiwa. Lebih utuh sesebuah hubungan kekeluargaan itu andai suami dan isteri mampu menyuburkan lagi rasa kasih sesama mereka.  

Suami adalah tonggak keluarga. Sebagai ketua keluarga suami bukan sekadar menyediakan tempat berteduh, sebaliknya perlu menyediakan segala keperluan nafkah zahir dan batin. Keperluan zahir seperti makan minum, pakaian, kemudahan pengangkutan keluarga dan juga persekitaran yang selamat. Manakala keperluan batin pula meliputi  kasih sayang, perhatian, bimbingan dan kefahaman untuk dihargai. Suami dan bapa yang bertanggungjawab sama sekali tidak akan membiarkan keluarga dalam keadaan kesukaran. Walaupun terpaksa melalui cabaran dan dugaan,suami perlu berusaha segigih mungkin untuk memenuhi segala hak dan tuntutan keluarga dengan sebaiknya. Sebagai menghargai pemberian tersebut  si isteri  perlulah selalu  hadiahkan senyuman kepada suami. Ia paling berkesan untuk mengembalikan kesegaran jiwa suami. Isteri  juga disaran untuk menghiburkan suami dengan perkara-perkara yang menggembirakannya seperti bergurau atau berbual perkara yang melucukan, menceritakan telatah dan keletah anak-anak yang mencuit hati dan memberikan hadiah meskipun hadiah yang kecil dan sebagainya.

Kebahagiaan rumah tangga juga adalah kerana faktor dapat menguasai komunikasi yang berkesan. Perlu diketahui juga bahawa bahasa komunikasi bukan hanya melalui pertuturan lisan tetapi juga bahasa badan atau bahasa perantaraan melalui telefon dan lain-lain. Suami juga perlu memelihara percakapan ketika bersama isteri kerana biasanya isteri mudah mengingati perkataan yang diucapkan oleh suami. Allah SWT telah berfirman maksudnya: “… Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik…..” (Surah an-Nisa ,ayat  19). Dalam rumahtangga, apabila bercakap jangan sesekali  membantah suami dengan menunjukan cara yang tidak sopan. Tangani masalah dengan tenang dan toleransi dengan suami. Layani suami dengan penuh tertib dan berwajah manis.

Menurut Muhammad, terdapat dua jenis perkataan yang biasanya diungkapkan oleh setiap pasangan iaitu pemula dan respon atau maklum balas. Kedua-duanya perlu dilafazkan dengan penuh tertib  dan lemah –lembut. Misalnya, menerima pemberian suami dengan penuh kesyukuran, minat dan bangga. Ucapkan terima kasih dengan ikhlas dengan wajah yang gembira. Sekiranya pemberian suami tidak menepati citarasa anda jangan mengkritik pemberian itu. Jangan terlalu memikirkan nilai zahir pemberian itu sebaliknya hargailah nilai ingatan dan kasih sayang suami. Setiap kali memakai barang pemberian suami jangan lupa memuji kebaikan suami. Janganlah gentar dengan cabaran dan ujian di alam perkahwinan kerana rumah tangga yang diuji akan menjadi lebih matang dan kukuh sekiranya pasangan suami dan isteri tersebut bijak menanganinya.   Memang hakikatnya bukan mudah.. tetapi yakinlah dengan ilmu dan kebijaksanaan kita sebagai manusia , semua cabaran di dalam rumah tangga kita mampu diatasi dengan sebaiknya.. Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT  agar  mempermudahkan segala urusan dalam melayari bahtera rumahtangga.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 Mei 2017
\"\"
Scroll to Top