KEPENTINGAN KONSEP MADANI MEMBAWA KEPADA KESEJAHTERAAN – DATO’ MUHAMMAD NUR MANUTY

KUALA LUMPUR, 27 Nov 2023 (IKIM) – Agama perlu diletakkan sebagai perkara utama dan teras dalam kehidupan bagi menjamin kehidupan yang diberkati dan sejahtera, kata Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty dalam sesi townhall bersama warga IKIM di Dewan Seminar, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) hari ini.

Muhammad berkata keberkatan dan kesejahteraan hidup ini adalah bertepatan dengan konsep Madani yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim seperti di dalam dua buku tulisan beliau iaitu “Asian Reinaissance” dan “Kebangkitan” dalam dekad 90-an bermaksud masyarakat yang beradab, berstruktur serta bercirikan ilmu, menghayati prinsip demokrasi di samping kesejahteraan yang merujuk kepada keupayaan hidup damai serta bersama dalam masyarakat pelbagai bangsa, agama dan budaya dan saling hormat menghormati.

Beliau berkata masyarakat perlu menghayati sepenuhnya konsep Malaysia Madani bagi memperkasakan kepimpinan negara menjadi suri teladan kepada masyarakat dan akhirnya merealisasikan konsep Malaysia Madani dalam bentuk amal atau praktis yang mana bermula dari peringkat sekolah hingga ke institui pengajian tinggi (IPT).

Ucapan aluan disampaikan oleh Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Mohamed Azam berkata beliau amat berbangga dengan sikap warga IKIM yang sentiasa bekerjasama antara satu sama lain terutama dalam waktu sukar yang mana dapat dilihat sewaktu IKIM ditimpa musibah kejadian bangunan runtuh di Blok B IKIM.

Dalam pada itu beliau berkata IKIM juga sentiasa menjaga kebajikan warga kerja IKIM, oleh itu IKIM akan memperkenalkan satu skim perkhidmatan baharu yang akan menambahbaik skim yang sedia ada.

Tambah beliau IKIM juga banyak menjalinkan kerjasama dengan pihak luar bagi mengembangkan kerjasama dan kefahaman Islam dengan lebih meluas dengan menandatangani memorandum perjanjian (MoU) dengan pelbagai pihak seperti Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Arkib Negara dan Nasyrul Quran.

Sesi townhall ini dihadiri oleh warga kerja IKIM secara fizikal dan juga hibrid.

Scroll to Top