Panjang Angan-angan, Pendekkan Harapan

“Ada dua hal yang paling aku takuti menimpa kalian, Iaitu menuruti hawa nafsu dan banyak angan-angan. Sesungguhnya menuruti hawa nafsu itu dapat menghalangi dari kebenaran, dan banyak angan-angan itu sama dengan mencintai dunia.” (Riwayat Ibnu Abi Dunya).
Virus panjang angan-angan ini adalah penyakit Mat Jenin versi akhirat. Jika Mat Jenin versi dunia mati kerana jatuh pokok akibat terlalu mengangankan kesenangan dunia, Mat Jenin versi akhirat jauh lebih parah. Mereka dalam kategori ini memburu akhirat dengan meninggalkan dunia.
Hidup biar berpada, itu pesan Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah yang bersiaran pada Hari Rabu jam 10.15 pagi minggu lalu. Mengaitkannya dengan firman Allah mafhumnya: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah Al-Qashash, ayat 77). Ternyata perancangan akhirat itu seiring dengan jalan atur hidup di dunia. Bagi manusia yang memburu dunia dengan melupakan akhirat, mereka digelar mansia yang panjang angan-angannya.
Definasi panjang angan-angan adalah mengharapkan kebaikan tanpa usaha dengan tanggapan waktu dan kesempatan masih ada atau masih panjang buat diri. Dalam konteks agama, orang yang panjang angan-angan ini selalu berangan-angan tentang pengampunan Allah tanpa kesungguhan bertaubat. Sungguh Allah itu Maha Baik, tetapi terkadang mereka lupa Allah juga Maha Membalas perbuatan dan siksaNya sangat dahsyat dan pedih.
Selain itu, manusia yang panjang angan-angan juga adalah manusia yang berangan-angan untuk menewaskan hawa nafsu batin tanpa kesungguhan dalam mujahadah dan zikrullah. Mereka sedar Bahawa syaitan dan hawa nafsu akan menyesatkan dan membawa kepada mereka kepada kebinasaan, tetapi mereka tidak bersungguh-sungguh dalam berzikir untuk menghalau syaitan dan bermujahadah alam melawan hawa nafsu.
Ketika Rasulullah SAW ditanya, siapakah orang yang sebenarnya paling pintar, baginda menjawab: “Orang yang pintar adalah orang yang dapat menundukkan hawa nafsu dan beramal untuk bekal sesudah mati. Sedangkan orang yang lemah adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah dengan panjang angan-angan” (Riwayat Ibnu Majah). Maka, jadilah manusia yang bijaksana dengan memendekkan angan-angan, bersungguh dan bersegera memohon pengampunan Allah serta tidak berangan-angan kosong sehingga menjadi manusia yang dangkal dalam menelah kepentingan hakiki antara akhirat dan duniawi apatah lagi meremeh dan menangguh pengampunanNya.
Hakikatnya, kita ini warga akhirat bukannya warga dunia. Justeru, bezakan dengan tuntas antara angan-angan dan harapan. Sedar atau tidak, manusia yang punya harapan tidak miliki masa untuk putus asa. Harapan memberi mereka ketabahan demi mengecap kejayaan. Maka, mereka punya kekuatan untuk terus berusaha tanpa terhenti dengan cubaan yang melintasi perjalanannya digelar manusia yang punya impi dan harapan. Namun, jika harapan yang tercetus tidak disusuli dengan usaha gigih maka ia hanya sekadar bermimpi bukannya berimpian.
Selain itu, manusia yang punya harapan akan kuat berdoa kerana mereka yakin bahawa doa adalah petunjuk dalam merealisasikan impian. Semakin tinggi harapan, semakin gigih doa di panjatkan. Seterusnya, kebergantunggan kepada Allah juga mantap di kalangan manusia yang tinggi harapannya. Perlu yakin, kejayaan tidak hadir hanya pada kejituan usaha semata tetapi perlu kepada kepercayaan pada lemahnya telahan dan jangkaan sepanjang jalan perjuangan. Sesungguhnya, pada usaha yang sekelumit, bakal menjemput pertolongan daripada langit. Bantuan Allah akan hadir hasil daripada  tawakal kepadaNya.
Manfaatkan masa yang ada dan terus berkerja dalam waktu-waktu kritikal dengan segera. Manusia yang punya harapan ada dorongan untuk bersegera melunaskan setiap yang dirancang. Tiada istilah bertangguh dalam diri mereka.
Terdapat beberapa faktor manusia miliki angan-angan yang panjang. Pertama kerana kesanggupan mereka berlumba mengejar kekayaan dunia tidak seiring rasa rakus mengejar kekayaan akhirat. Selain itu, mereka alpa tentang kematian yang boleh datang tanpa mengira masa dan usia. Oleh itu, bermujahadahlah melawan rasa malas, jemu dan letih dalam beribadah dan megusir gangguan hawa nafsu dan syaitan. Cari ilmu dan amalkan sebaiknya setiap yang dipelajari. Katakan pada hati, diri ini bila-bila bisa mati bertemu Ilahi.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 Mac 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top