Berlari Mengejar Syurga

ALLAH SWT mengingatkan hambanya agar bersegera untuk memohon keampunan di atas dosa-dosa mereka, kerana sesungguhnya Allah telah menyediakan syurga itu seluas di antara langit dan juga bumi bagi mereka yang bertakwa kepada-Nya. Orang yang pertama membuka pintu syurga ialah Nabi Muhammad SAW, setelah seluruh manusia dibangkitkan di Padang Mahsyar dan kemudian mereka melewati telaga kauthar serta titian sirat. Setelah orang mukmin melewati jambatan, mereka masih di dalam keadaan tidak suci dan apabila sampai di pintu syurga, mereka akan meminta syafaat daripada Nabi Adam, Nabi Noh, Nabi Ibrahim, Nabi Isa dan akhirnya daripada Nabi Muhammad SAW. Rasulullah akan memberi syafaat kepada mereka seperti yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim melalui Abu al-Nadr, daripada Hasyim bin al-Qasim dan seterusnya.
Anas bin Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Aku berjalan sampai ke depan pintu syurga pada hari kiamat, kemudian aku mengetuk pintu itu. Lalu dibuka pintu syurga, penjaganya bertanya, “Siapa kamu?”. Rasulullah menjawab, “Aku Muhammad.” Penjaga syurga berkata, “Kerana kamulah aku diarahkan supaya tidak ada seorang pun yang boleh membuka pintu syurga ini sebelum daripada datangnya kamu.” Rasulullah menyebut lagi, “Saya adalah nabi yang paling ramai pengikut pada hari kiamat nanti dan sayalah orang pertama sekali akan mengetuk pintu syurga.” Imam Muslim meriwayatkan, sewaktu manusia berkumpul di Padang Mahsyar, orang-orang mukmin akan mendatangi pintu syurga dan mendekati Nabi Adam AS. Mereka berkata, “Wahai bapa kami, tolonglah bukakan pintu syurga ini untuk kami.” Lalu dijawab, “Bukankah yang mengeluarkan kamu daripada syurga adalah kerana kesilapan Adam? Dia bukanlah orang yang berhak untuk membuka pintu ini.”
Menerusi perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’izati di IKIMfm, digambarkan pintu syurga pada ketika itu terdapat 8 jenis. Jarak di antara pintu ke pintu adalah sejauh jarak di antara Mekah dan Hajar iaitu lebih kurang 1200km. Selepas Nabi Muhammad SAW memasuki syurga, lalu diikuti umatnya di kalangan orang mukmin di dalam keadaan berpasang-pasangan yang dimulakan dengan sahabat Baginda iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Abu Hurairah pernah menuturkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jibril mendatangiku lalu memperlihatkan padaku pintu syurga yang akan dimasuki oleh umatku.” Lalu Abu Bakar berkata, “Ya Rasulullah, aku ingin bersama denganmu sehingga aku tidak berpisah denganmu.” Baginda menjawab, “Kamu wahai Abu Bakar adalah orang yang pertama akan memasuki syurga di kalangan umatku.”
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah menyebut, sesungguhnya kelompok pertama yang memasuki syurga, rupa mereka bagaikan bulan purnama pada waktu malam, diikuti golongan yang bagaikan bintang-bintang yang terang sinarnya di langit. Mereka ini tidak membuang air kecil dan besar, tidak berhingus dan tidak ada seorang pun meludah.  Sisir rambut mereka diperbuat daripada emas, mengeluarkan peluh yang berbau harum seperti kasturi dan wangian mereka daripada kayu gaharu. Di saat itu isteri mereka di kalangan para bidadari yang cantik jelita. Mereka memiliki akhlak yang baik dan mempunyai bentuk tubuh badan seperti bapa mereka iaitu Nabi Adam AS, ketinggian mencecah 60 hasta menjulang ke langit.
Anas bin Malik pula menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, rupa paras ahli syurga semuanya mirip perawakan Nabi Adam AS, berusia di dalam lingkungan 33 tahun, tidak berjanggut, bercelak dan jernih wajahnya. Mereka dibawa ke pohon syurga dan memakai pakaian daripada pohon tersebut yang tidak akan lusuh dan tidak akan pudar cahayanya. Golongan ketiga yang memasuki syurga selepas Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA ialah orang mukmin yang tidak dihisab dan tidak diazab oleh Allah SWT. Di antara kurniaan yang diberi oleh Allah kepada Rasulullah SAW ialah, setiap satu orang di kalangan 70 ribu orang yang memasuki syurga tanpa dihisab, akan membawa bersama mereka seramai 70 ribu orang yang lain. Abu Bakar menceritakan Rasulullah SAW bersabda, “Telah diberikan kepadaku 70 ribu orang yang masuk ke dalam syurga tanpa dihisab, wajah mereka bersinar bagaikan bulan purnama dan hati mereka seperti satu hati lelaki yang lain. Kemudian aku memohon daripada Allah untuk menambah lagi 70 ribu, lalu  ditambah setiap 70 ribu membawa 70 ribu orang untuk masuk ke dalam syurga.
Golongan manusia yang akan memasuki syurga tanpa dihisab mempunyai ciri-ciri mukmin yang sentiasa menjaga keimanannya kepada Allah tanpa ragu-ragu. Selain itu mereka sering melakukan amalan yang soleh, hidup berjihad di jalan Allah, keilmuannya membawa kepada kewarakan di dalam hidupnya, sikapnya sering mendahulukan orang lain, lembut hatinya, hidupnya penuh dengan kasih-sayang, menepati janji dan memiliki akhlak yang terpuji.
Golongan keempat terawal memasuki syurga ialah di kalangan mereka yang mati syahid. Apabila di tanya dikalangan roh-roh mereka yang meninggal dunia, siapakah di antara mereka yang ingin dihidupkan semula, semuanya enggan hidup semula kecuali roh orang yang mati syahid mempertahankan agama Allah. Golongan ini juga mampu menarik ahli keluarganya yang menghuni neraka seramai 30 orang untuk masuk ke dalam syurga bersama-samanya. Rasulullah berpesan kepada umatnya agar mengimpikan dan bercita-cita agar diri mereka untuk mati syahid walaupun di penghujung hayat mereka nanti ditakdirkan menemui ajal di atas katil, mudah-mudahan mereka akan beroleh pahala dan ganjaran yang sama.
Golongan kelima terawal memasuki syurga ialah mereka yang mempertahankan kehormatan diri, dan termasuk mereka yang sibuk meminta-minta daripada orang lain, tidak menjaja namanya walau berada di dalam kesusahan atau mati di dalam keadaan mempertahankan dirinya daripada dinodai. Kemudian golongan keenam ialah mereka yang hidupnya sentiasa menasihati para pemimpin, mengingatkan ketua-ketua dan majikannya demi menegakkan kebenaran agama Allah. Selain itu golongan yang berkejaran ke syurga terdiri di kalangan orang-orang fakir yang taat kepada Allah terlebih dahulu masuk kedalam syurga berbanding orang-orang kaya yang beriman kepada-Nya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 Mac 2017
\"\"
Scroll to Top