Taubat Seorang Pembunuh Upahan

ORANGNYA ini merupakan insan yang pernah merobekkan hati Rasulullah SAW dengan kesedihan yang amat sangat. Beliau merupakan pembunuh Saidina Hamzah bin Abdul Mutallib, bapa saudara Rasulullah SAW serta tonggak utama perjuangan Rasulullah SAW. Beliau yang dimaksudkan ialah Wahsyi bin Harb al-Habsyi yang lebih dikenali dengan panggilan Abu Dasmah. Beliau jugalah yang telah menyembuhkan hati seluruh kaum Muslimin kerana berjaya membunuh nabi palsu, Musailamatul Kazzab.
Kisah berkenaan Wahsyi merupakan kisah yang sangat hebat yang perlu kita ambil pengajaran daripadanya bagaimana kesungguhan seseorang itu dengan erti kata cintanya kepada Rasulullah SAW selepas beliau mendapat iman dan tidak pernah memisahkan Baginda daripada hatinya sekalipun gurisan luka di hati Baginda belum benar-benar sembuh.
Wahsyi bercerita, aku merupakan hamba sahaya kepada Jubair bin Mut’im, salah seorang daripada pembesar Quraisy. Bapa saudaranya Tu’imah bon ‘Adi telah terbunuh di medan Badar oleh Saidina Hamzah bin Abdul Mutallib. Pembunuhan bapa saudaranya mengundang marah kepada Jubair lalu bersumpah bahawa beliau pasti akan menebus balas atas kematian bapa saudaranya itu. Tidak lama sesudah itu, berlakulah peperangan Uhud di mana orang-orang Quraisy mempersiapkan angkatan yang lebih besar. Sehingga akhirnya, apabila mereka berkumpul lalu mereka telah melantik Abu Sufyan bin Harb mengepalai mereka.
Abu Sufyan berpandangan ingin membawa bersama dalam kumpulan itu, segolongan wanita-wanita terpilih dalam kalangan Quraisy yang mereka itu dalam kesedihan ekoran kematian insan yang mereka kasihi di medan Badar dengan tujuan untuk menyemarakkan lagi semangat juang di kalangan pejuang-pejuang Quraisy. Bersama kumpulan wanita tersebut, ialah seorang wanita bangsawan, Hindun binti ‘Utbah. Beliau merupakan isteri kepada Abu Sufyan. Manakala bapanya ‘Utbah bin Rabi’ah meninggal dalam peperangan Badar.
Ketika angkatan itu bersiap-siap untuk ke medan Uhud, pada saat itulah Jubair bin Mut’im melihat ke arahku lalu berkata “tidak mahukah engkau menebus dirimu sehingga menjadi orang yang merdeka”. Maka kataku, siapakah yang dapat memerdekakan aku? Lalu Jubair berkata “aku akan memerdekakan kamu”. Wahsyi kemudiannya bertanya, bagaimanakah caranya. Jubair lantas berkata “sekiranya engkau berjaya membunuh Hamzah bin Abdul Mutallib, bapaa saudara Muhammad yang telah membunuh bapa saudaraku, maka engkau akan ku merdekakan”.
Wahsyi kemudian berkata, saya merupakan seorang lelaki Habsyah yang mana mahir menggunakan lembing sehinggakan setiap lontaran lembingku tidak pernah tersasar. Aku bersetuju untuk turut serta dalam angkatan itu lalu aku mengambil lembingku. Aku berjalan di barisan yang paling belakang sehinggalah kerap kali aku berselisih dengan kumpulan-kumpulan wanita yang ada di belakang. Setiap kali aku berselisih dengan Hindun dan beliau melihat kilauan mata lembingku lalu beliau berkata “Wahai Abu Dasmah, sembuhkanlah luka ku dengan engkau membunuh Hamzah ”.
Ketika berlaku pertempuran hebat di medan Uhud, aku keluar dari khemah untuk mencari Hamzah di sana sini. Tidak lama sesudah itu, aku melihat Hamzah sedang menerkam ke arah musuh. Tidak ada seorang musuh pun yang lewat di hadapan Hamzah kecuali mereka tumbang. Pada ketika itu, aku berembunyi di balik batu dan pohon kayu untuk mengambil peluang membunuhnya secara sembunyi-sembunyi. Tiba-tiba datang Sibaq bin Abdul ‘Uzza memanggil Hamzah untuk berentap dengannya. Maka berlakulah pertempuran antara Hamzah dan Sibaq.
Tidak lama selepas itu, Sibaq telah ditetak oleh Hamzah sehingga dia jatuh terseungkur. Pada saat itulah aku merasakan Hamzah sudah hampir dapat dicapai oleh lembingku. Maka aku mengambil lembingku lalu terus ku luncurkan lembing itu ke arah Hamzah. Tepat lembing itu kena ke arah rusuknya sehingga tembua ke belakang. Hamzah pada ketika itu, cuba untuk melangkah beberapa langkah namun beliau rebah. Ku biarkan Hamzah sehingga tidak bergerak lagi lalu aku pergi kepadanya dan ku cabut lembing ku itu. Aku kemudian pulang ke khemah dan berehat kerana tujuanku bukanlah untuk berperang, tetapi hanya untuk membunuh Hamzah.
Peperangan berkecamukan makin hebat, pada ketika itulah wanita-wanita Quraisy mengganas keluar mencari jasad-jasad Muslimin yang mereka kenali temasuklah Hindun binti ‘Utbah. Ketika mereka menemui mayat-mayat kaum Muslimin, mereka akan memotong telinga, hidung dan merobek mulut-mulut mereka. Hal itu dilakukan sama kepada Hamzah bin Abdul Mutallib. Hindun telah mengambil telinga-telinga dan hidung mereka lalu dijadikan rangkaian rantai untuk dipakainya. Ketika itu beliau menanggalkan rantainya yang asal lalu diberikan kepada Wahsyi sebagai hadiah. Begitulah kisah bagaimana lelaki ini, Wahsyi yang telah menjadikan kesedihan yang amat sangat buat Rasulullah SAW.  
Maka Jubair telah menunaikan janjinya terhadapku. Aku telah berbahagia mengecapi nikmat kemerdekaan. Akan tetapi, urusan Muhammad semakin hari semkain membesar dan agamanya semakin kuat. Sehinggakan setiap hari, saat aku memikirkan urusan agama Muhammad, ia amat menakutkan aku kerana aku telah membunuh bapa saudaranya. Ketika mana angkatan Muhammad membuka kota Makkah kepada Islam, ketika itu aku melarikan diri ke Thaif untuk mencari perlindungan di sana. Tidak lama selepas itu, orang-orang Thaif pula memeluk Islam. Kemudian, aku pula berkira-kira ke manakah lagi untuk aku pergi melarikan diri daripada Muhammad.  Sehinggalah tiba-tiba seorang lelaki memberikan nasihat yang sangat baik kepadaku dengan kelunakkan suaranya. Beliau berkata “Wahai Wahsyi, sesungguhnya Muhammad tidak akan membunuh sesiapapun yang memeluk agamanya dan bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah”.
Maka, tatkala aku mendengar kata-katanya itu, terdetik di hatiku untuk berjumpa Muhammad dan menyatakan hasratku untuk memeluk agamanya. Aku terus menuju ke Yathrib mencari Muhammad. Ketika aku tiba di Yathrib dan mendapat berita Muhammad berada di masjid, langsung aku ingin bertemu dengannnya dalam keadaan takut dan bimbang. Aku terus mendapatkannya dan dalam keadaan aku berdiri itu, terus aku menlafazkan kalimah syahadah. Lantas Rasulullah SAW mendongak ke arahk, brrpaling dan bertanya “Kamukah Wahsyi?”. Aku berkata”Ya”. Lalu Rasulullah SAW menyuruhku duduk dan meminta aku menceritakan bagaimana aku membunuh bapa saudaranya.
Selesai aku cerita, Rasulullah SAW lagi kuat berpaling dariku, Baginda kemudian menangis dan berpesan “Jauhkanlah wajahmu daripadaku dan mulai hari ini, aku tidak dapat melihat wajahmu lagi”. Sehingga itu, Wahsyi tidak menemui Rasulullah SAW kerana pesannya Rasulullah itu sehinggalah wafatnya Rasulullah SAW. Saat pemerintahan bertukar kepada Saidina Abu Bakar, maka peperangan masih terus berlaku dan saat itu mereka memerangi golongan murtad antaranya kumpulan terbesar, kumpulan Musailamatul Kazzab. Saat itulah aku berkata, inilah peluang untuk aku meraih semula kemuliaan di sisi Allah SWT dan janganlah peluang ini terlepas. Aku kemudian keluar bersama rombongan perang yang lain dan membawa lembing yang sama yang aku gunakan untuk membunuh Hamzah. Musailamatul Kazzab terbunuh di dalam peperangan itu dan semoga perbuatanku itu dapat menggembirakan Rasulullah SAW nanti.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 Mac 2017
\"\"
Scroll to Top