DALAM rancangan Tarbiyah di radio IKIMfm setiap hari Jumaat jam 10 pagi, Profesor Madya Dr. Syarifah Hayaati Syed Ismail minggul lalu bercakap tentang “meraih keberkatan”.
Antara nikmat Allah yang paling besar sekali ialan nikmat kita dilahirkan sebagai orang Islam dan beriman. Terlalu banyak jika mahu dihitung segala nikmat-nikmat yang Allah SWT anugerahkan. Dalam kita mensyukuri segala nikmat-nikmat Allah SWT itu, kita perlu berusah meraih “barakah” atau disebut sebagai berkat dalam bahasa kita. Hidup kita ini perlu penuh dengan barakah. Di sebalik segala nikmat-nikmat yang kita kecapi, dan juga mungkin ada ketika ditimpa musibah dan ujian, kita hendaklah masih menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT di samping bersabar dengan itu moga-moga kita akan terus dapat meraih keberkatan hidup ini. Ini sesuai dengan Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 17 yang bermaksud: “Sekiranya kamu bersyukur, nescaya akan aku tambahkan kepadamu (nikmatku)”
Sebenarnya apabila kita melahirkan kesyukuran kepada Allah SWT itu walaupun kita sebenarnya belum sempurna dan masih lagi banyak kelemahan sebenarnya ialah usaha kita menanamkan dalam diri kita bagi meraih keberkatan tanpa kita sedari. Kita sedang memupuk hasrat dalam hati kita agar dengan menzahirkan kesyukuran kepada Allah itu nescaya Allah SWT akan menambah kepadaku nikmat-nikmat lagi. Dalam perkataan “tambah” itu sebenarnya mengandungi keberkatan kerana keberkatan itu bermaksud “kebaikan yang bertambah”. Dalam ucapan salam kita itu juga mengandungi doa-doa yang menuntut keberkatan. Apabila kita menghadiri majlis perkahwinan, kita turut mendoakan kepada mempelai dengan doa bagi menambahkan keberkatan kepada pasangan tersebut melalui ungkapan “Moga-moga Allah memberkati kamu berdua, dan mengumpulkan kamu berdua dalam kebaikan”. Dulu doa ini mungkin kurang kita sedari, tetapi setelah dilagukan oleh Maher Zain, maka hari ini kita semua hatta anak-anak kecil pun sudah pandai untuk melagukan dan mendoakan untuk pasangan pengantin. Begitu juga ketika kita mengadap makanan, walaupun dahulu kita tidak sedari pun doa yang kita baca itu juga sebenarnya menuntut keberkatan daripada Allah SWT melalui doa yang maksudnya “Ya Allah berkatilah kami dengan apa yang kamu berikan kepada kami, dan jauhilah kami daripada Azab Api Neraka”.
Ketika kita menziarahi majils perkahwinan, kita turut membawa pulang apa yang masyarakat panggil sebagai “berkat” samada berupa telur rebus, gula-gula atau apa sahaja. Ini sebenarnya adalah budaya Islam untuk saling memberi dan bertukar-tukar hadiah agar dengan itu hidup kita memperoleh berkat. Berkat bukan pada telur, gula-gula atau bekas kristal yang dibawa pulang, tetapi berkat dalam ertikata saling memberi hadiah sepertimana anjuran Nabi SAW “saling memberi hadiah lah, nescaya kamu akan menyuburkan kasih sayang” (HR Bukhari). Akhir sekali daripada keberkatan hidup kita ini ialah kita memperoleh pengakhiran yang baik atau disebut (husnul khatimah).
Begitu juga untuk mendapatkan keberkatan terhadap ilmu kita, maka kita dianjurkan untuk menyampaikan kepada orang lain sepertimana yang disebut “sampaikan dariku walau sepotong ayat”. Apabila ilmu itu disampaikan kepada orang lain, keberkatannya ialah ilmu itu tidak hilang daripada kita, dan kedua ianya tersebar dan memberi manfaat kepada orang lain yang ramai.
Keberkatan boleh dalam bentuk pertambahan kebaikan kualiti dan boleh juga dalam bentuk kuantiti. Ada orang yang hidupnya diberkati iaitu orang yang diberikan umur yang panjang dan baik akhlak dan amalannya. Ada juga orang yang walau dari segi umur mungkin tidak panjang, tetapi dari segi keberkatan usianya dia dapat melakukan banyak amalan dalam masa yang singkat yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain yang seumur dengannya. Imam Nawawi RA menyebut keberkatan itu apabila Allah SWT menetapkan kebaikan kepada sesuatu, maknanya keberkatan itu milik mutlak Allah SWT. Orang yang hidupnya penuh berkat ialah orang yang sentiasa menggunakan sepenuh masanya untuk beramal dan melakukan kebaikan dan amal soleh sepertimana yang dilakukan oleh Baginda SAW dan para Sahabat. Sayyidina Abu Darda’ RA diriwayatkan menanam pohon kurma walaupun usianya sudah lanjut dan apabila ditanyakan kepada apakah beliau mengjangkakan sempat untuk menikmati buah kurma tersebut sedangkan usianya telah lanjut. Lalu beliau menjawab, tidak mengapa pokok ini buahnya untuk dinikmati oleh orang lain. Inilah orang yang hidupnya penuh dengan amal soleh dan menjalani hidup yang berkat.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 Julai 2017