Bidadari Keindahan Syurga

ALLAH telah hiaskan rasa syahwat manusia di dunia ini daripada perempuan-perempuan, anak-anak, dari tunggangan-tunggangan  serta daripada emas dan perak, tetapi keindahan tidak pula di kalangan kaum lelaki kerana mereka dianggap pengguna yang terbaik. Namun pada hari akhirat kelak, pengguna yang terbaik ialah mereka yang terdiri daripada kalangan insan-insan yang soleh. Di antara perhiasan ahli syurga ialah emas, perak, katil-katil yang tinggi kedudukannya, minuman yang enak, malah juga para bidadari.

Bidadari merupakan kejadian yang bukan manusia dan bukan juga daripada malaikat, mereka tidak dilahirkan dan tidak pula beranak atau berketurunan. Menurut perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm, para bidadari daripada satu ciptaan seketika dan secara langsung, diperintahkan Allah ‘Jadilah..’ maka jadilah mereka. Allah menciptakan bidadari di dalam keadaan perawan, sentiasa muda dan tidak tua, mempunyai sifat kasih sayang dan sebaya di antara satu sama lain. Cantiknya bidadari tidak ada tolok bandingnya dengan keindahan makhluk yang dapat dilihat di dunia. Namun apabila di syurga kelak, Allah menjadikan ahli syurga dapat melihat keindahan ciptaan-Nya .

Hadis yang diriwayatkan oleh Anas, Rasulullah pernah menyebut, “Kalau salah satu daripada bidadari di dalam syurga itu turun ke bumi, pasti akan berseri-seri bumi ini di sekelilingnya. Kerana cantiknya dia maka terang benderang bumi ini tanpa matahari, penuh dengan bauan yang harum. Tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan seisinya.” Rasulullah juga menyifatkan bidadari itu daripada tiga kejadian. Kejadian yang paling rendah ialah daripada bauan kasturi, pertengahannya pula kejadiannya daripada minyak ambar dan kejadian yang paling tinggi daripada kaffur, alis mereka pula daripada garis hitam bercahaya yang diciptakan Allah.

Mengenai kecantikan wanita di dunia sekalipun menyebabkan Allah memerintahkan mereka agar menutup aurat bagi mengelakkan berlakunya fitnah, berbeza dengan aurat bagi lelaki. Keindahan wanita dibawa sehingga ke syurga untuk menambah kecantikan bagi penghuninya. Sifat-sifat bidadari di gambarkan melalui ketinggian kedudukan mereka, tutur bicaranya yang sopan dan penuh kemuliaan. Firman Allah di dalam surah al-Waaqiah, ayat 22-23: “Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya, Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.” Rasulullah menafsir ayat ini, sucinya bidadari ini akan sifatnya seperti kemurnian mutiara di dalam rumah yang tidak pernah disentuh oleh mana-mana tangan. Di dalam itu terdapat bidadari-bidadari yang penuh dengan kecantikan akhlak dan rupa paras yang secantik-cantik kejadian.

Para bidadari diciptakan untuk orang-orang yang ketika hidupnya mementingkan agama, dan bidadari penuh dengan rasa kasih sayang, kelihatan sebaya dan tidak ada di kalangan mereka yang lebih kecil atau lebih besar di antara satu sama lain. Kecantikan dan cahaya para bidadari tidak akan pudar buat selama-lamanya malah mereka dipenuhi dengan kerdipan yang indah. Ketika menjalani kehidupan di dunia, manusia akan merasai indahnya akhirat apabila berjaya mengharungi pelbagai ujian oleh Allah SWT, semakin banyak ujian menjadikan manusia semakin tabah, maka semakin mudah untuk mengecapi nikmat syurga.

Keistimewaan dan keindahan bidadari diceritakan kepada manusia agar dapat mewujudkan sifat tamaknya manusia untuk mengerjakan amal ibadat ketika menjalani kehidupan di dunia kerana dunia ini hanya sementara sebelum dapat mengecapi nikmat di syurga nanti. Kecantikan peribadi bagi bidadari terkandung di dalamnya kecantikan dan kesempurnaan akhlak yang dapat dilihat pada diri Rasulullah SAW. Abu Hurairah menyebut, Baginda bersabda, “Kalau kamu ingin memiliki bidadari di syurga, di antara caranya ialah peribadikanlah dirimu dengan akhlak yang baik. Orang yang paling dekat denganku pada Hari Akhirat nanti ialah orang yang memperelokkan akhlak-akhlak di atas dunia ini”. Oleh itu elakkan diri dari mengeluarkan kata-kata keji dan tidak baik, menunjukkan isyarat-isyarat lucah, menghasilkan penulisan yang buruk, memandang perkara-perkara yang tidak baik dan berburuk sangka.

Bidadari Allah di dalam syurga akan menjaga penghuninya apabila ketika mereka hidup di dunia dahulu mereka berusaha untuk menjaga peribadi dengan sebaiknya. Seharusnya kurangkan bercakap tentang perkara yang tidak perlu, banyakkan bercakap tentang akhirat dan jangan sesekali suka mempertikaikan syariat Allah. Penghuni syurga diganjari nikmat didampingi bidadari kerana akhlak yang ada pada diri mereka selari dengan keindahan akhlak para bidadari. Akhlak manusia dan bidadari menjadi erat dan kuat sehinggakan  kemuncak hidupnya menjadi cinta, mahkotanya akhlak, jasadnya jujur serta lisannya puji dan syukur di dalam hidupnya. Bidadari ini menemani penghuni syurga dan tidak liar pandangannya kecuali kepada suaminya sahaja.

Bidadari juga cantik dari segi kehormatan dan kemuliaan dirinya sehingga ditinggikan kedudukan mereka sedarjat dengan ahli syurga. Putih bersihnya keadaan diri bidadari di dalam bilik-bilik di rumah yang indah sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Rahman, ayat 72-74: “Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin;” Di syurga nanti Allah mencabut sifat yang buruk di dalam diri setiap wanita iaitu perasaan cemburu dan sebaliknya menambah perasaan cinta yang sangat indah. Walaupun wanita tersebut melihat para bidadari melayani suaminya, tidak akan timbul perasaan cemburu pada dirinya. Suami juga tidak mencemburui isterinya apabila melihatnya didampingi pemuda-pemuda yang tampan.

Setiap penghuni syurga akan ditemani sekurang-kurangnya dua orang bidadari, malah dikatakan juga mereka yang mati syahid di jalan Allah akan didampingi 72 orang bidadari. Sesungguhnya orang yang mati syahid dunia dan akhirat memiliki tiga keistimewaan iaitu diampuni dosanya pada awal titisan darahnya yang gugur ke bumi, dia dapat melihat tempat tinggalnya di dalam syurga, dibebaskan daripada siksa kubur , bebas daripada ketakutan yang besar dan diletakkan di atas kepalanya mahkota kehormatan yang lebih baik daripada dunia dan seluruh isinya, serta dijodohkan dirinya dengan 72 orang bidadari yang jelita dan mampu memberi syafaat untuk 70 orang daripada kalangan ahli keluarganya yang bakal dihumban ke neraka lalu dimasukkan ke dalam syurga (Hadis riwayat Imam Bukhari & Muslim).

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 Julai 2017
\"\"
Scroll to Top