Membekali Akal dengan Ilmu

AKAL menjadikan manusia sebagai ciptaan Allah SWT yang paling baik dan teristimewa yang dapat membezakan dengan makhluk yang lain. Apa gunanya minda  jika tidak digunakan untuk berfikir. Kelebihan manusia berbanding haiwan ialah kerana manusia mempunyai minda. Manusia yang tidak menggunakan minda dianggap telah mempersia-siakan anugerah paling berharga itu. Mereka tidak layak untuk menikmati kejayaan dan kebahagiaan hidup sebenar.
Berfikir adalah salah satu cara untuk menggunakan nikmat kurniaan Allah  SWT melalui akal fikiran yang sihat. Setiap orang mempunyai potensi yang hebat di dalam diri. Hanya apabila mereka sanggup mencari dan menggalinya. Ketika membicangkan tajuk  ‘ Minda Kepoh ‘ dalam rancangan Pesona D’ Zahra pada minggu lepas, Ustaz Muhammmad Abdullah Al- Amin berkata apabila hendak berfikir seseorang itu perlu memperlengakpkan diri dengan  ilmu dan  idea atau buah fikiran. Kedatangan Islam membawa gesaan menuntut, menyebar dan memuliakan ilmu. Tujuan menuntut ilmu bukanlah bermatlamat ilmu semata-mata tetapi ia merupakan wasilah atau jalan  untuk memahami dan menguasainya bagi melaksanakan ubudiyyah kepada Allah SWT.  Oleh sebab itulah menuntut ilmu adalah fardhu bagi setiap muslim. Terdapat banyak dalil  yang terkandung di  dalam Al-Quraan dan hadis  yang menyeru    umat Islam tentang kewajipan  menuntut ilmu.  Misalnya, Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya pula.” (Hadis Riwayat  Bukhari dan Muslim). Selain itu, perlu diingatkan bahawa peningkatan aktiviti dalam mencari  ilmu pengetahuan perlu berterusan. Menambah ilmu akan merangsang minda dan sekaligus memandu manusia agar bijak  berfikir.
Bila kita mula berfikir ia akan membentuk idea dan menghasilkan satu proses mencari makna serta mencapai keputusan yang wajar . Proses ini bertujuan membina ilmu dan kefahaman yang secara langsung melibatkan mental dalam minda kita .  Justeru, dalam sesebuah keluarga, ibu bapa yang peka dan prihatin  terhadap anak-anaknya adalah yang sentiasa membantu menyelesaikan masalah dan mencari jalan keluar atau memberi idea  kepada anak mereka. Idea yang  muncul dalam minda seseorang itu muncul daripada dua sumber sama ada  yang memberi ilham ataupun membuat kita dalam  keadaan resah gelisah dan mengundang rasa was was.Tiada manusia di dunia ini yang tiada masalah dan dari hadirnya  masalah itulah yang mendorong manusia untuk manusia berfikir mengapa dan kenapa. Untuk berfikir secara positif  ibarat satu beban berat bagi sesetengah orang ,mungkin kerana sikap ego yang tinggi atau ada sahaja yang menghasut  serta cuba untuk kita kekalkan syak wasangka dan terus berfikiran negatif. Sudah pastilah apabila kita sentiasa berfikiran negatif, ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada orang sekeliling, seterusnya mereka menjauhkan diri.Jiwa juga sentiasa kacau sekiranya seseorang membiarkan perasaan dan pemikiran negatif menguasai dirinya.Sebaliknya, jika dalam kehidupan ini kita sentiasa bersikap positif, cuba melakukan terbaik dan bersyukur dengan apa yang ada, tentu kehidupan kita menjadi lebih bermakna dan bahagia.
Menurut Muhammad, berburuk sangka, merungut dan dendam adalah antara sifat-sifat yang menggambarkan diri seseorang itu tidak dapat berfikir secara baik. Mereka sudah termakan dengan pujukan dan bisikan syaitan untuk terus melakukannya. Islam itu indah, perkara prasangka pun telah di tetapkan dalam Islam. Su’udzon yang membawa maksud berprasangka negatif, menyangka buruk atau menaruh curiga terhadap seseorang yang belum terbukti orang tersebut melakukan kesalahan. Sebahagian dari prasangka adalah dosa. Sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka kepada sesama Islam, maka ia wajib bertaubat dan beristiqfar kepada Allah SWT.Seterusnya, kita juga dianjurkan untuk tidak merungut. Ia  merupakan satu manifestasi kemarahan dan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu keadaan atau isu. Namun demikian, ada baiknya jika manifestasi kemarahan itu dizahirkan secara berhemah dan bijak.
Elakkan menggunakan perkataan kalau, jika, sekiranya , seandainya atau perkataan yang seumpama dengannya  ketika merungut  kerana ia dikatakan akan membuka pintu amalan syaitan. Sebagaimana Baginda  SAW  telah bersabda “  Jangan kamu berkata: “Kalau aku buat begini,akan jadi begini.” Tetapi katakanlah “Ini takdir Allah ,apa yang Dia kehendaki akan berlaku.” Sesungguhnya ‘kalau’  membuka pintu syaitan. Akhir sekali jauhkanlah diri daripada  berdendam. Sifat ini berlaku disebabkan sempitnya hati, dangkalnya iman, tidak  memiliki rasa murah hati sehingga sulit memaafkan kesalahan orang lain Akibatnya hanya akan kembali kepada dirinya sendiri, di mana dirinya akan selalu mendapatkan kesulitan atas perbuatan dendamnya. Selain itu dendam  akan menyebabkan perpecahan dan pertikaian. Kesimpulannya, memiliki minda yang  berserabut  atau ‘kepoh’ akan menjadikan diri  kita jauh daripada mendapat perlindungan Allah SWT, akhlak semakin buruk dan asyik menyalahkan orang di sekeliling. Semoga  kita dikurniakan akal fikiran yang sihat untuk kita kaya berjaya di dunia dan akhirat. Insya- Allah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 Februari 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top