Islah Diri

SETIAP manusia dituntut untuk melakukan islah dalam kehidupan Mereka. Membuat perubahan kearah yang lebih baik dari keadaan diri yang sedia ada. Sentiasa berusaha memperbaiki dan meningkatkan kualiti diri ke arah kebaikan semaksima mungkin.
Melalui rancangan Tarbiah yang disiarkan pada hari Jumaat jam 10.15 pagi di radio IKIMfm, Ustazah Norhafizah Musa menjelaskan bahawa gedung kebaikan itu umpama sebuah rumah terkunci yang perlu dibuka oleh seseorang manusia untuk memasuki ke dalamnya. Manusia yang hidupnya penuh dengan kebaikan akan mendapat rahmat, panduan dan kelapangan dalam kehidupannya.
Justeru setiap mukmin perlu faham apakah kunci untuk mendapat kebaikan agar hidup tenang dan sentiasa mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat. Bahkan kehidupan yang dilimpahi kebaikan akan menjadikan manusia itu mudah mendekatkan dirinya dengan Allah, seterusnya menjadi insan yang bertaqwa di sisiNya.
Hakikatnya kejahatan pastinya akan membawa seseorang hamba ke lembah kehinaan, kesakitan dan kehidupan akan berakhir di neraka yang maha pedih dan sakit. Oleh itu seseorang mukmin perlu mempunyai panduan bagi mendapatkan kebaikan di dunia ini.
Menurut Ustazah Norhafizah, seseorang mukmin yang mahu menjadi baik perlu jujur dan bersifat benar. Setiap mukmin hendaklah menanam niat, harapan dan keinginan yang betul terhadap niat mereka. Niat yang ikhlas dan jujur hanya kerana Allah SWT akan dipandu oleh ilmu dan kefahaman yang benar dari Allah SWT.
Manusia yang hidupnya mendahului kehendak Allah akan sentiasa terpelihara dari godaan syaitan, bahkan akan mendapat kefahaman tentang kebenaran ilmu Allah SWT. Sebaliknya manusia yang hidupnya untuk perhatian manusia tidak akan memperolehi kebaikan dalam erti kata yang sebenar kerana perbuatannya itu terikat dengan pandangan mata manusia.
Justeru, tanamlah niat yang sejujurnya mahu berubah menjadi baik kerana Allah, kerana dalam kejujuran  itu pasti akan memberi impak besar dalam hidup manusia. Kejujuran juga akan memelihara hati manusia untuk selalu berdamping dengan kebaikan dan meninggalkan segala kemurkaanNya.
Seseorang manusia yang sentiasa memperbaiki niat walaupun sering diuji dengan pelbagai ujian, akan selalu melihat ujian itu sebagai sebahagian dari kehendak Allah yang mahu membersihkan niat hambaNya agar sentiasa benar dan jujur terhadap diri sendiri.
Sesungguhnya setiap ujian Allah itu berupa bentuk kasih sayangNya terhadap manusia agar benar-benar menjadi manusia yang jujur dan ikhlas dalam islah diri kerana Allah. Sebagai manusia yang tidak sempurna, ada kala niat yang asalnya baik tetapi jika tidak ikhlas dan jujur kerana Allah akan merubah apabila berdepan dengan situasi yang tidak seperti yang diharapkan. Sebagai contoh, seorang isteri yang berniat menjadi isteri solehah yang didambakan oleh suami tetapi apabila berkahwin dengan seorang suami yang tidak seperti yang diharapkan terus bertukar menjadi isteri yang tidak taat. Walhal jika seorang wanita itu dari awal berniat hanya mahu meraih keredhaan Allah SWT pastinya akan terus memberi ketaatan walau siapapun suami mereka.
Begitu juga seseorang yang benar dalam keinginan dan niatnya. Mengharapkan kebaikan Allah SWT, yakin dengan kebenaran Allah dalam menetapkan kebenaran pada niat nescaya mendapat perlindunganNya di dunia ini.
Manusia yang benar dan jujur dalam niat mereka akan didapati mereka ini adalah orang yang selalu mendapat hasil yang baik dalam kehidupan, bahkan berlaku sesuatu yang luar biasa dalam hidup mereka. Sebab itulah dalam menunaikan seluruh tanggungjawab sebagai seorang hamba, seseorang manusia perlu taat akan segala perintah Allah, berusaha menunaikan tanggungjawab sebagai insan dan meninggalkan segala larangan Allah.
Mengasingkan diri atau uzlah pada waktu-waktu tertentu seperti pada pertengahan malam, merintih dan bermuhasabah diri bertujuan memperbaiki diri adalah suatu yang sangat dituntut dalam agama. Begitu juga uzlah atau menyendiri hati bertujuan untuk mendidik jiwa supaya sentiasa kuat hubungan dengan Allah SWT.
Syurga bukan eksklusif untuk orang-orang tertentu. Syurga itu adalah untuk semua orang mukmin beriman kepada kepada Allah. Justeru, berusahalah memperbaiki diri untuk kebaikan kerana jalan kebaikan itu sangat luas, begitu juga jalan ke syurga sangat banyak. Yakin dengan Allah, perbaiki niat baik setiap hari untuk menuju ke jalan Allah yang benar pasti akan dipandu dengan segala rahmat kebaikan Allah di dunia ini.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 Februari 2017
Scroll to Top