Saidina Zaid bin Harithah

MENERUSI segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm pada hari Selasa jam 5.15 petang, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi kisah mengenai seorang lagi tokoh sahabat yang begitu dekat dengan Rasulullah SAW sehinggakan digelar ‘Kekasih kepada Rasulullah SAW’. Beliau juga pernah dikenali dengan panggilan Zaid bin Muhammad.
Pada satu hari, Su’da binti Sa’labah telah keluar dari rumahnya dengan harapan untuk menziarahi kaumnya, Bani Ma’an. Ketika itu, beliau ditemani oleh anaknya yang masih kecil, Zaid bin Harithah al-Ka’bi. Tidak lama setelah mereka bersama dengan ahli keluarga mereka di kampung halaman, tiba-tiba perkampungan tersebut telah diserang oleh sekumpulan angkatan perang dari Bani Qayn. Angkatan tersebut telah merampas segala harta dan menawan para wanita. Bahkan mereka juga turut menawan anak-anak kecil, termasuklah Zaid bin Harithah.
Zaid pada ketika itu yang masih kecil, berusia sekitar 8 tahun. Beliau telah dibawa ke Pasar ‘Ukkaz untuk dilelong dan akhirnya beliau telah dibeli oleh seorang pembesar Quraisy yang bernama Hakim bin Hizam bin Khuwailid dengan harga 400 Dirham. Turut dibeli sekumpulan anak-anak hamba sahaya dan kemudian dibawa pulang ke Makkah.
Ketika mana ibu saudara Hakim bin Hizam mengetahui kepulangan anak saudaranya, maka ibu saudaranya yang bernama Khadijah binti Khuwailid pergi menziarahi Hakim. Sesudah bertanya khabar dan menyapa antara satu sama lain, maka Hakim bertanya kepada ibu saudaranya “Wahai ibu saudaraku, aku telah membeli beberapa orang hamba sahaya di pasar. Pilihlah mana-mana hamba sahaya yang engkau inginkan”. Maka, wanita yang mulia itu memerhatikan satu-persatu anak-anak kecil hamba sahaya. Hatinya tertarik kepada Zaid bin Harithah kerana melihat tampak kecerdasan akal, kesihatan tubuh badan dan penampilan yang baik lalu dibawa Zaid bin Harithah pulang.
Tidak lama sesudah peristiwa itu, Khadijah binti Khuwailid telah berkahwin dengan Muhammad bin Abdullah, Rasulullah SAW. Untuk menyatakan kecintaannya kepada Baginda, maka beliau memikirkan sesuatu untuk diberikan hadiah sebagai tanda ikatan cinta antara mereka berdua dalam perkahwinan. Beliau tidak mendapati satu pun yang lebih baik daripada hamba sahayanya, Zaid bin Harithah. Lalu, dihadiahkan Zaid bin Harithah kepada Baginda Rasulullah SAW. Semenjak daripada itu, anak muda itu telah menjadi hak milik Rasulullah SAW. Mengecapi bimbingan dan asuhan daripada Baginda, juga mengecapi akhlak dan kemuliaan Baginda SAW kerana dibimbing langsung oleh Rasulullah SAW.
Dalam hal keadaan anak kecil itu gembira kerana diasuh dan dilayan dengan baik oleh Rasulullah SAW, ibunya Su’da dalam kesedihan sehinggakan tidak dapat melelapkan mata dan hilang selera makan kerana merindui puteranya, Zaid bin Harithah yang tidak diketahui apakah perkhabaran puteranya itu. Apakah Zaid telah menjadi korban ketika peperangan dahulu ataupun Zaid masih lagi hidup dan memberikan satu sinar harapan kepadanya agar satu hari nanti, beliau dapat kembali bersua dengan Zaid, puteranya itu.
Begitu juga dengan bapanya, Harithah yang saban hari mencari puteranya yang hilang itu. Keresahannya itu membuatkan beliau telah mengolah satu rangkap syair yang sangat indah dan meruntun perasaan. Syairnya bermaksud :

Zaid aku tangisi, tidak ku ketahui,

Apakah dia masih hidup, ataupun dia sudah bersemadi,

Demi Allah, aku tidak mengetahui dan aku akan sentiasa terus mencari,

Apakah engkau wahai Zaid, telahpun ditelan bumi,

Ataupun engkau di balik gunung ganang telahpun dilindungi,

Teringat daku akan Zaid saat sinar matahari pagi,

Bahkan, aku masih kepingin melihat Zaid saat terbenamnya mentari,

sentiasa mengingati.

Aku akan terus mencari Zaid bersungguh-sungguh di seluruh pelusuk bumi,

Aku tidak akan penat mencari sehinggalah untaku penat bawaku mencari,

Datangnya ajalku, akan tetap kuteruskan cita-cita ini.

Dengan takdir Allah SWT, dalam satu musim haji, kumpulan keluarga daripada Zaid bin Harithah ini pergi melaksanakan ibadah haji. Ketika mereka sedang melakukan tawaf, salah seorang daripada penduduk kampung asal Zaid ini melihat kepada Zaid. Sekembalinya mereka daripada mengerjakan haji, maka mereka terus memaklumkan kepada Harithah mengenai puteranya yang kini berada dalam jagaan Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutallib. Maka dengan segeralah Harithah mempersiapkan harta bendanya dan segala keperluannya untuk pergi menebus puteranya.
Lalu Harithah bergegas ke kota Makkah bersama saudaranya Ka’ab dan menemui Rasulullah SAW dan beliau mengatakan “Wahai putera kepada Abdullah bin Abdul Mutallib, kalian merupakan tetangga Allah. Kalian juga memberikan kecukupan kepada orang yang memerlukan bantuan. Kalian juga memberi makan kepada orang-orang yang lapar. Kami datang kepadamu, mengharapkan dapat menebus putera kami yang berada di tanganmu. Kami membawa beberapa harta yang cukup untuk kami tebusnya. Maka, layanilah kami dengan baik dan tenangkanlah kami”.
Lantas Rasulullah SAW bertanya “Siapakah anak kamu berdua yang kamu maksudkan?”. Lalu, kedua-duanya mengatakan, budak suruhanmu, Zaid bin Harithah. Maka Rasulullah SAW bertanya “Bagaimana sekiranya saya tawarkan sesuatu yang lebih baik pada kalian?”. Maka, mereka bertanya “apakah itu wahai Muhammad”. Rasulullah kemudian memanggil Zaid bin Harithah agar beliau sendiri yang membuat keputusan untuk memilih samada pulang ke pangkuan keluarga atau kekal bersama Baginda. Keluarga Zaid mengatakan “Begitu baik dan adil kamu wahai Muhammad kerana mengizinkan Zaid untuk membuat keputusannya sendiri”. Setelah ditanya mengenai pilihan Zaid di hadapan bapanya, lantas tanpa teragak-agak beliau terus memilih untuk kekal tinggal bersama Muhammad SAW.
Dengan keputusan itu, maka terkejutlah bapanya kerana Zaid tidak memilih untuk bersama bapanya. Lalu Zaid berkata “Aku dapati terdapat sesuatu yang istimewa mengenai lelaki ini dan aku tidak mengetahui apakah keistimewaan itu. Aku berjanji, aku tidak akan meninggalkannya”. Tatkala Rasulullah SAW melihat akan kegelisahan bapa Zaid yang risau akan kehidupan Zaid yang menjadi hamba sahaya, lalu Rasulullah SAW menarik tangan Zaid dan membawanya ke hadapan Kaabah lantas menyeru “Wahai kaum Quraisy, bersaksilah bahawa ini adalah anakku dan aku akan mewarisi segala hartanya dan dia juga akan mewarisi segala hartaku”. Maka pada ketika itu, tenanglah bapa Zaid ketika mengetahui bahawa Zaid bukan lagi seorang hamba tetapi menjadi anak kepada Muhammad bin Abdullah. Bermula pada saat itu, mereka memanggilnya dengan nama Zaid bin Muhammad sehingga akhirnya Islam membatalkan panggilan itu dengan turunnya ayat Al-Quran yang menyuruh agar anak angkat di bin kan dengan nama bapa asalnya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 Februari 2017
\"\"
Scroll to Top