Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di Tanah Suci

MEKAH, 27 Mei (IKIM) – Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 284  orang tiba di Mekah selepas berada di Madinah selama enam hari melakukan ibadat dan menziarahi tempat-tempat bersejarah dan makam Nabi Muhammad SAW. Mereka yang menaiki bas dari Madinah bermula pada pukul 8.30 pagi dan selamat tiba pada pukul 3.30 petang di Hotel Abraj Al-Janadriyah yang terletak kira-kira 1000 meter dari Masjidil Haram di sini.

\"\"

Ketibaan jemaah di sambut oleh Ketua Rombongan Haji Malaysia YBhg Dato’ Sri Syed Salleh Syed Abdul Rahman dan pihak Muassasah daripada Syarikat Muassasah Mashariq di iringi qasidah dan taburan kelopak mawar.

Seramai 1,160 bakal Jemaah haji yang masuk ke Mekkah dan bakal di tempatkan di dua bangunan iaitu di Hotel Abraj Al-Janadriyah bagi KT 01 dan KT 02 serta di Land Premium untuk KT 03 dan KT 04.

Sesampainya mereka di lobi hotel, mereka diberikan jamuan alu-aluan dan seterusnya diberi kunci bilik untuk mereka beristirehat sebelum memulakan ibadah Umrah Wajib atau umrah pertama pada sebelah malamnya dengan di bimbing oleh Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (PIHTAS).

Talbiah bermula, para jemaah membelah malam memulakan langkah pertama meninggalkan perkarangan hotel bagi melaksanakan umrah pertama mereka. Semoga Allah permudahkan segala urusan dan di kurniakan umrah yang makbul.

 

Norhayati Paradi, Mekah Al-Mukaromah

Scroll to Top