Urusan pembayaran Dam dan perlaksanaan Qurban untuk semua pendeposit TH menerusi Aplikasi THiJARI

\"\" \"\"

MEKAH, 28 Mei (IKIM) – Musim haji tahun 1444H ini merupakan tahun kedua penggunaan maksimum urusan kewangan “cashless” bagi memenuhi keperluan semasa untuk semua Jemaah haji samaada semasa berada di Mekah atau Madinah. Pengarah Operasi Kewangan, En Shamsul Bahar bin Shamsudin berkata, “Bagi tahun ini tiada kaunter pengeluaran dibuka dan semua urusan pengeluaran wang boleh di lakukan menerusi kad debit Bank Islam di mana-mana bank yang menyediakan perkhidmatan visa atau pembelian menerusi aplikasi payWave.”

Selain daripada itu, TH juga menyediakan perkhidmatan pembayaran Dam dan Qurban bagi Jemaah haji 1444H menggunakan perkhidmatan THiJARI. Pembayaran Dam yang diterima ialah untuk Dam Haji Tamattu’ dan Dam Haji Qiran di mana daging Dam ini akan diagihkan kepada penduduk yang layak di Tanah Suci Makkah. Manakala daging qurban akan diagihkan oleh Bank Pembangunan Islam (IDB) kepada penduduk Islam yang layak terutama di benua Afrika.

Pembayaran Dam adalah pada kadar RM725 manakala pembayaran qurban ialah pada kadar RM900 bagi seekor kibas. Pada tahun ini TH menganggarkan sebanyak 10,000 penyertaan untuk ibadah Qurban.

Pembayaran Dam akan berakhir pada 7 Muharam 1444H bersamaan 25 Julai 2023 manakala qurban pula berakhir pada 6 Zulhijjah 1444H bersamaan 25 Jun 2023. Kesemua transaksi ini boleh dilaksanakan melalui THiJARI dan pendeposit juga boleh membuat bayaran di mana-mana pejabat TH Cawangan di seluruh negara.

Pelaksanaan Qurban ini adalah kerjasama hampir 10 tahun TH dengan IDB yang berpangkalan di Jeddah. Ia juga buat julung kalinya bukan sahaja dibuka kepada bakal-bakal haji tetapi kepada semua pendeposit TH.

 

Norhayati Paradi, Mekah Al-Mukaromah

Scroll to Top