Kos bahan mentah tidak jejas kualiti makanan jemaah haji

\"\"

Mekah, 8 Jun (IKIM) – Peningkatan kos bahan mentah makanan di Arab Saudi tidak menjejaskan kualiti dan kuantiti hidangan yang disediakan untuk jemaah haji muassasah pada tahun ini.

Ini kerana Tabung Haji (TH) telah melaksanakan beberapa pendekatan bagi mengimbangi kenaikan tersebut supaya kebajikan jemaah haji terus menjadi keutamaan.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, antaranya dengan mengurangkan kos bayaran pekerja di syarikat katering melalui penggunaan rempah ratus pra campur (premix) dalam penyediaan masakan dan penggunaan beberapa peralatan canggih.

“Contohnya untuk memotong bawang, kentang, sayur-sayuran dengan menggunakan mesin dapat dibuat dalam masa singkat, tanpa pekerja ramai dan dapat sediakan untuk 4,000 sajian.

“Nak masak ayam dan ikan tak perlu panaskan minyak, goreng angkat satu persatu kerana menggunakan oven khas yang boleh masak ratusan ketul ayam dan menjimatkan masa penyediaan makanan,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan ke tiga syarikat katering yang menyediakan hidangan untuk jemaah haji di sini.

Sementara itu, beliau berkata, pada tahun ini TH turut menambah jumlah menu makanan daripada 28 jenis kepada 42 jenis menu masakan citarasa Malaysia.

 

Katanya, menu-menu tersebut cukup untuk pusingan hidangan bagi dua minggu sebelum Jemaah bertemu dengan menu yang sama pada hari yang ke-15.

 

Dato Sri Syed Saleh berkata, 18 tukang masak yang berpengalaman dari Malaysia turut dibawa bertugas di syarikat katering supaya penyediaan makanan mengikuti piawaian ditetapkan.

 

Dalam perkembangan sama, katanya, beberapa penambahbaikan turut dilakukan dalam pembungkusan makanan agar kualiti dapat dikekalkan.

 

“Cetakan pada penutup hidangan dinyatakan makanan untuk makan tengah hari atau malam serta maklumat hidangan,” katanya pada tahun ini sebanyak 2 juta pek makanan disediakan untuk jemaah haji Malaysia.

Beliau berkata, kesemua usaha itu dilakukan bagi memastikan jemaah mendapat makanan yang terbaik agar mereka dapat fokus kepada ibadat yang ingin dilakukan.

Sementara itu, jemaah haji yang ditemui ternyata berpuas hati dengan hidangan yang disediakan TH kerana memenuhi citarasa mereka.

 

 

NORHAYATI PARADI

Melaporkan dari Mekah al-Mukarramah

\"\"

\"\"
Scroll to Top